Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Penyanyi S'pura Adam Azali kongsi isi hati dalam lagu terbaru

Feb 11, 2023 | 5:30 AM
UNSUR POP-ETNIK: Single terbaru penyanyi Adam Azali ini berunsur pop-etnik. Beliau menulis sendiri lirik untuk lagu barunya itu yang kemudian digubah oleh komposer Hardi Aris dengan arahan dan susunan lagu oleh Amri Amin. - Foto PUJA ASTAWA
UNSUR POP-ETNIK: Single terbaru penyanyi Adam Azali ini berunsur pop-etnik. Beliau menulis sendiri lirik untuk lagu barunya itu yang kemudian digubah oleh komposer Hardi Aris dengan arahan dan susunan lagu oleh Amri Amin. - Foto PUJA ASTAWA -

BAKAT Adam Azali terserlah dalam pelbagai bidang hiburan.

Sejak dari kecil lagi beliau bercita-cita untuk menjadi seorang penghibur kerana meminati bidang nyanyian, lakonan dan tarian.

Walaupun cuba ditentang oleh orang tuanya sendiri, Adam tetap turutkan hasrat ceburi bidang seni walaupun beliau sendiri akur ia bukan satu perjalanan yang mudah.

Payah jerih yang dilaluinya itu bak membuahkan hasil baru-baru ini.

Terbaru, Adam, 40 tahun, mengeluarkan lagu singleMencari Kasih yang berunsur pop-etnik.

Menurut Adam, yang sudah berkecimpung dalam bidang seni sejak umurnya belasan tahun lagi, lagu terbaru ini bukanlah lagu cinta tetapi 'kasih' yang dimaksudkan dalam tajuk lagu ini sebenarnya bermaksud mencari erti dan panggilan yang sebenar untuk seseorang.

Adam menulis sendiri lirik untuk lagu barunya itu yang digubah oleh komposer Hardi Aris dengan arahan dan susunan lagu oleh Amri Amin.

Selain menyanyi, Adam juga memang berbakat dalam bidang penulisan lirik dan lagu. Beliau sering diundang untuk menulis lirik untuk drama-drama tempatan termasuk lagu tema Mamaku Bibikku, Aduh Bibikku dan lain-lain lagi. Lagu Cinta Tak Bernoktah tulisannya yang dinyanyikan oleh Eka Mairina, pernah mendapat nominasi dalam kategori lagu tema terbaik pada Pesta Perdana 2021.

Mengenai penulisan lagu, Adam terangkan:

"Lagu-lagu yang saya tulis kebelakangan ini punya makna tersirat... dan apabila saya menulis sesebuah lagu, ia mesti ada ceritanya tersendiri. Ia mungkin datang daripada pengalaman sendiri, ada tentang putus cinta, ada tentang menginginkan sesuatu atau mencapai sebuah impian."

Adam merupakan anak kepada seorang guru Melayu yang sudah pencen iaitu Cikgu Zanal Saleh dari Sekolah Rendah Rosyth. Beliau berkata bapanya tekun mengajarnya bahasa Melayu dan beliau selalu dapat markah tertinggi dalam mata pelajaran itu.

"Semasa kecil saya sering membeli kaset atau cakera padat album penyanyi kegemaran saya, dan suka membaca lirik di dalamnya. Saya akan menggunakan perkataan-perkataan baru yang telah saya pelajari untuk karangan saya," kata Adam.

Ini bukanlah kali pertama Adam mengeluarkan single. Pada tahun 2011, Adam pernah mengeluarkan sebuah mini album yang berjudul Aku Penghiburmu, dan pada tahun 2019 pula, beliau telah menghasilkan single Hanya Dia yang berentak balada.

Sidang media yang diadakan di Stamford Arts Centre minggu lepas untuk mengumumkan single terbarunya itu, dihadiri ramai teman-teman termasuk artis tempatan seperti Rahimah Rahim, Rozie Rahim, Melissa Sidek dan Danial Baharin.

"Lagu ini memang ada ciri-ciri yang tersendiri dan susunan yang baru. Kalau selalu dimainkan di radio pasti akan meletup," jelas penyanyi veteran Rahimah Rahim yang juga merupakan idola Adam, selain penyanyi Aishah dan Ziana Zain. Seorang lagi artis yang juga teman baik Adam, Melissa Sidek pula berkata:

"Lagunya unik, rancak dan saya boleh berdansa bersama lagu ini. Saya harap Adam akan meneruskan perjuangannya sebagai artis, sehingga semua orang tahu bakat dan lagu-lagu ciptaan Adam."

Selain menyanyi dan menggubah lagu, Adam juga terkenal sebagai koreografer dan penari. Beliau telah mendapat pendedahan awal dan latihan semasa menjalani perkhidmatan negara, dimana beliau mengenali Superintenden Amri Amin, yang merupakan pengarah Muzik Pancaragam Pasukan Polis Singapura (SPF) yang telah membantunya dalam penerbitan lagu Mencari Kasih ini.

Yang menariknya, walaupun cenderung ke arah seni, Adam memilih melanjutkan pelajarannya dalam bidang masakan dan mempunyai sijil diploma dari Shatec, melayakkannya untuk digelar Cef. Beliau juga pernah muncul dalam rancangan memasak popular di Suria Kualinari selain mengambil tempahan membuat kuih sekali-sekala bila masa mengizinkan.

"Saya datang dari keluarga pendidik, dan pada waktu itu orang tua saya menganggap kerja dalam bidang seni tidak mendatangkan hasil, jadi saya tukar haluan dan mengambil sijil dari Shatec," kata Adam lagi.

Lagu terbaru Adam Azali Mencari Kasih boleh didapati di Spotify, Apple Music dan YouTube.

"Lagu-lagu yang saya tulis kebelakangan ini punya makna tersirat... dan apabila saya menulis sesebuah lagu, ia mesti ada ceritanya tersendiri. Ia mungkin datang daripada pengalaman sendiri, ada tentang putus cinta, ada tentang menginginkan sesuatu atau mencapai sebuah impian." - Adam Azali.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg