Topic followed successfully
Go to BHkuPenyanyi veteran Zaiton Sameon rasa tersingkir, tolak andaian orang dirinya gila
Penyanyi veteran Zaiton Sameon rasa tersingkir, tolak andaian orang dirinya gila
Penyanyi veteran Zaiton Sameon rasa tersingkir, tolak andaian orang dirinya gila
KUALA LUMPUR: Impak kemalangan ngeri yang menimpa penyanyi sensasi, Zaiton Sameon lebih tiga dekad lalu masih membekas apabila beliau disahkan mengalami trauma kecederaan otak yang mengakibatkan hilang ingatan jangka pendek.
Keadaan itu membuatkan kerjaya seni Zaiton yang begitu memuncak suatu ketika dahulu, merudum hingga capai tahap beliau dituduh gila oleh segelintir pihak yang tidak tahu situasi sebenar menimpa dirinya.
Malah, disebabkan keadaannya itu, Zaiton atau lebih akrab disapa Kak Eton, terasa makin dipinggirkan apabila tawaran membuat pertunjukan pentas berkurangan dan tiada lagi pihak sudi bertanya khabar.
"Tawaran membuat persembahan ada tetapi tidaklah kerap seperti sebelum ini.
"Biasanya, kalau musim pilihan raya, saya kerap diundang menghiburkan penonton. Tetapi kali ini, satu undangan pun saya tidak terima.
"Saya juga sudah lama tidak terima bantuan kebajikan. Dahulu, ketika saya dirawat di hospital, ramai menziarah.
"Tetapi apabila saya keluar hospital, mana mereka semua?
"Mungkin mereka tidak tahu hendak hubungi sesiapa atau saya memang sudah dilupakan. Apabila dikenang kembali, rasa terkilan pun ada.
"Tetapi nak buat macam mana, kenalah terima. Apa yang saya lalui ini, tidak ubah seperti lagu nyanyian saya iaitu Diriku Yang Tersingkir," katanya kepada akhbar Berita Harian Malaysia (BHM).
Sudahlah terpaksa berdepan cemuhan ramai yang mempersendakan keadaan dirinya, penderitaan penyanyi Menaruh Harapan ini semakin bertambah apabila menjadi mangsa fitnah rakan seangkatan yang didakwa menyimpan hasad dengki terhadapnya.
"Ada seorang artis ini beritahu 'promoter' supaya jangan ambil saya untuk 'show' yang mereka anjurkan. Kononnya, saya tidak boleh menyanyi.
"Dia cakap saya akan 'lalok' atas pentas dan akan menyusahkan penganjur. Saya tidak gila dan saya boleh menyanyi dengan baik.
"Malah, saya boleh menyanyi dalam pelbagai bahasa seperti Inggeris, Arab dan Cina kerana saya pernah menyanyi di kelab malam.
"Saya juga masih boleh memandu dan mengaji mengikut hukum tajwid yang betul," katanya yang mula melakar kejayaan pada 1987 ini.
Zaiton ditemui pada majlis penyerahan kad orang kurang upaya (OKU) oleh Pengarah Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Che Samsuzuki Che Noh di pejabat JKM Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di ibu negara, baru-baru ini.
Mengulas status OKU yang diterimanya, Zaiton berkata, dia tidak perlu malu kerana kad itu memberi banyak manfaat dan memudahkan dirinya mendapatkan kediaman di bawah Program Perumahan Rakyat (PPR).
"Saya tiada rumah, harta, anak dan ibu bapa... Saya tiada semuanya. Memang saya ada adik-beradik, tetapi masing-masing sudah ada kehidupan sendiri.
"Saya sekarang tinggal dengan anak angkat, Ikah (Che Sikah Ismail) sejak 11 tahun lalu. Kami menyewa di Ampang dengan sewa bulanan sebanyak RM800.
"Dengan tiada pendapatan tetap, agak bebanlah untuk kami bayar sewa. Kadang-kadang terlewat hendak lunaskan duit sewa, namun, tidaklah sampai tertunggak.
"Sebelum ini, saya pernah mohon mendapatkan rumah PPR tetapi gagal disebabkan tiada pendapatan tetap.
"Apabila ada kad OKU, saya lega dan harapan punya rumah sendiri bakal menjadi kenyataan.
"Saya mohon unit PPR di Kepong kerana ramai kawan di situ," katanya.
Pada 1990, Zaiton terbabit dalam kemalangan ngeri yang mengakibatkan anak tunggalnya, Azirwan Abu Bakar, terkorban pada usia 13 tahun.
Kecederaan teruk yang dialami penyanyi yang melakar nama pada 1987 itu menyebabkan Zaiton terlantar koma di hospital selama tiga bulan.
Walaupun peristiwa menyayat hati itu sudah lama berlalu, namun, ingatan terhadap arwah anaknya tidak pernah luput.
"Tipulah kalau saya kata saya tak pernah teringatkannya. Selepas bercerai, kami hanya tinggal berdua.
"Sudah tentu banyak momen manis yang kami lalui bersama.
"Kadang-kadang apabila saya solat, ingatan terhadap arwah tiba-tiba menerpa. Saya juga pernah mimpi arwah.
"Dalam mimpi itu, saya lihat dia mendukung anak saudaranya sambil menciumnya.
"Itulah sekali saya mimpikan arwah. Kenangan lain yang tidak mungkin saya lupakan adalah ketika kami menghantar abah dan emak saya untuk pergi menunaikan ibadat Haji.
"Arwah ajak saya untuk mengerjakan ibadat Haji dan saya berjanji untuk membawanya ke sana pada tahun berikutnya, iaitu 1990.
"Tidak sangka arwah pergi meninggalkan saya pada tahun itu," katanya.
Selain menyanyi, Zaiton menjual rendang diberi nama 'Nasib' sebagai punca pendapatan.
Pernah berkahwin dua kali dan tidak berhasrat mendirikan rumah tangga walaupun ada yang sudi melamarnya. - BHM

