Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Peraduan pidato dorong si cilik lebih yakin tutur dalam bahasa Melayu

‘Petah Spontan 2025’ tonjol bakat, kreativiti pelajar sekolah rendah, menengah
Oct 2, 2025 | 5:30 AM
Leia Safiyyah Mohamad Faisal, petah spontan
Meskipun Leia Safiyyah Mohamad Faisal (depan, kiri) jatuh sakit beberapa hari sebelum peraduan, ‘Petah Spontan 2025’, dia tidak patah semangat dan berjaya menjuarai peringkat sekolah rendah peraduan itu. Dia bergambar bersama ayahnya, Encik Faisal Ishak (kiri); ibunya, Cik Umie Isa; abangnya, Ayden Farish (kanan); dan adiknya, Rey Rumaysaa; di Kelab Masyarakat Keat Hong pada 27 September. - Foto BH oleh IZWANDI AZMAN

Bercakap seorang diri di hadapan cermin mungkin kelihatan pelik, tetapi bagi Leia Safiyyah Mohamad Faisal dan Daania Eiliyah Akbar Ali, ia adalah rahsia bagaimana mereka berjaya bergelar juara peraduan ‘Petah Spontan 2025’.

Peraduan berpidato secara spontan itu dianjurkan Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Keat Hong yang berlangsung pada 27 September.

Diadakan di CC Keat Hong sempena acara Bulan Bahasa @ Keat Hong 2025, ia bertujuan menggalak peserta yang terdiri daripada murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah untuk berpidato dalam bahasa Melayu di atas pentas di hadapan khalayak ramai.

Kedua-dua Leia dan Daania merupakan antara lebih 30 peserta murid sekolah rendah dan pelajar sekolah menengah yang mengambil bahagian dalam peraduan berpidato edisi kedua anjuran MAEC CC Keat Hong itu.

Leia, 10 tahun, dan Daania, 13 tahun, dinobat juara ‘Petah Spontan 2025’, bagi peringkat sekolah rendah dan sekolah menengah masing-masing.

Bagi Leia, perjalanan ke pentas tidak mudah kerana dia jatuh sakit beberapa hari sebelum peraduan itu.

Namun, semangatnya tidak luntur.

Anak kedua dalam tiga beradik itu berkata dia langsung tidak rasa gementar pada hari peraduan kerana sudah membuat persiapan yang cukup selama sekitar seminggu.

“Saya banyak membaca di luar waktu sekolah dan berlatih dengan guru.

“Di rumah, saya berdiri di depan cermin dan bercakap dengan diri sendiri dan kucing saya selama beberapa jam setiap hari.

“Saya rasa gembira kerana boleh meluahkan diri dalam bahasa sendiri. Ini penting kerana bahasa Melayu adalah identiti kita,” kata murid Darjah 4, Sekolah Rendah Henry Park itu.

Menurutnya, dia berpidato tentang tempat-tempat menarik di Singapura.

Ibunya, Cik Umie Isa, 44 tahun, seorang penulis skrip, membantu Leia membuat persiapan untuk peraduan itu dengan memastikan dia meluangkan masa lapang dengan berlatih dalam penyampaiannya.

“Namun saya tidak mendesaknya untuk berlatih terlalu banyak kerana dia kurang sihat pada masa itu, jadi saya pun fahamlah... asalkan Leia seronok, itu sudah cukup,” jelasnya.

Ayah Leia, Encik Faisal Ishak, 55 tahun, seorang pengarah filem, jelas terharu dengan pencapaian anak keduanya.

“Walaupun kami jarang bertutur dalam bahasa Melayu di rumah, saya sangat berterima kasih kepada guru Leia kerana melihat potensinya dan mendorongnya mengambil Bahasa Melayu Lanjutan.

“Selepas melihat dia berlatih di depan cermin meskipun tidak sihat, saya rasa kami sebagai ibu bapa juga harus berusaha lebih untuk menggalaknya menggunakan bahasa Melayu,” ujarnya.

Pelajar Menengah 1, Sekolah Menengah Chua Chu Kang, Daania Eiliyah Akbar Ali (kiri), bergambar bersama Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Keat Hong, Cik Jurainah Yusof, setelah dinobat juara peraduan, ‘Petah Spontan 2025’, di Kelab Masyarakat Keat Hong, pada 27 September.
Pelajar Menengah 1, Sekolah Menengah Chua Chu Kang, Daania Eiliyah Akbar Ali (kiri), bergambar bersama Pengerusi Jawatankuasa Eksekutif Kegiatan Melayu (MAEC) Kelab Masyarakat (CC) Keat Hong, Cik Jurainah Yusof, setelah dinobat juara peraduan, ‘Petah Spontan 2025’, di Kelab Masyarakat Keat Hong, pada 27 September. - Foto MAEC CC KEAT HONG

Berbeza dengan Leia, Daania hanya mengambil masa empat hari untuk membuat persiapan bagi peraduan tersebut.

Menurutnya, dia mengetepikan kira-kira 10 minit setiap hari untuk berlatih.

Namun, cabaran utamanya adalah mengawal rasa gugup.

“Semasa giliran saya, memang rasa gementar kerana peserta sebelum saya ada buat kesilapan.

“Saya juga jangka saya akan silap. Tetapi saya memberitahu diri sendiri supaya bertenang, dan mujur ia membantu,” kongsi Daania, anak sulung dua beradik.

Menurut pelajar Menengah 1, Sekolah Menengah Chua Chu Kang itu, dia berpidato selama kira-kira tiga minit berkenaan topik pencapaian Singapura dalam beberapa tahun kebelakangan ini.

Namun, di sebalik rasa gugup, pengalaman itu menghasilkan keyakinan baru baginya.

“Apa yang paling saya suka bila bercakap dalam bahasa Melayu ialah saya dapat belajar perkataan baru.

“Dulu saya tiada minat, tetapi sejak masuk pertandingan ini, saya rasa bahasa Melayu menyeronokkan.

“Saya jadi lebih yakin untuk bercakap dengan orang lain dalam bahasa Melayu,” tambahnya.

Ayah Daania, Encik Akbar Ali Syed Mohamed, 45 tahun, seorang pengurus kejuruteraan, turut memainkan peranan penting dalam persiapannya menjelang peraduan itu.

Beliau berkata: “Saya nasihatkan Daania untuk tutup pintu bilik, berdiri depan cermin dan bayangkan cermin itu penonton.

“Ramai peserta suka baca skrip di atas pentas, tetapi Daania hafal skrip sepenuhnya.

“Itu memang sesuatu yang sukar dilakukan, tetapi saya kata padanya, ‘Persembahan datang daripada hati, bukan skrip’.”

Bagi Leia dan Daania, pengalaman bertanding dalam ‘Petah Spontan 2025’ bukan sahaja membuat mereka lebih yakin bertutur dalam bahasa Melayu, malah berminat menyertai peraduan serupa pada masa depan.

Menurut Pengerusi MAEC CC Keat Hong, Cik Jurainah Yusof, beliau mendapati ramai kanak-kanak Melayu/Islam lebih cenderung dan selesa bertutur dalam bahasa Inggeris daripada bahasa Melayu.

Justeru, jawatankuasa penganjur bagi Bulan Bahasa @ Keat Hong 2025 berhasrat mengadakan kegiatan yang menggalakkan belia lebih berminat untuk menggunakan bahasa Melayu.

“Bukan kanak-kanak generasi ini sahaja, saya juga banyak bercakap dalam bahasa Inggeris.

“Menerusi kegiatan yang kami anjurkan, kami ingin kanak-kanak mengenali jati diri budaya dan bahasa sendiri,” jelasnya.

Bulan Bahasa @ Keat Hong, yang kini memasuki edisi ke-12 dengan tema, Aku Masih Fasih, Terus Gemilang, memperkenalkan Cerminan Bahasa, reruai bagi penduduk menampal kertas ke kadbod dan menyumbang pantun, sajak, atau peribahasa.

Selain itu, acara sehari tersebut turut menampilkan bacaan pantun beramai-ramai yang mencatat rekod dalam, Buku Rekod Singapura, bagi bacaan pantun oleh paling ramai orang.

Pengerusi Jawatankuasa Bulan Bahasa yang juga Penasihat GRC Chua Chu Kang (Keat Hong), Encik Zhulkarnain Abdul Rahim, hadir selaku tetamu terhormat dan menyampaikan anugerah pengiktirafan rekod berkenaan.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg