DARIPADA seorang guru vokal sambilan bernama Melissa yang mengharungi keperitan dijangkiti Covid-19 selama enam bulan kepada guru peragaan atau 'catwalk' veteran Shaun Salim yang pernah membimbing selebriti Rozita Che Wan.

Inilah antara peserta peraduan adu bakat realiti musim kedua All Together Now Malaysia 2(ATNMY2) yang bertarung kehebatan suara di hadapan 50 juri profesional berdasarkan sistem penjurian kalah mati.

Rancangan yang akan juga mengetengahkan anak penyanyi veteran Noorshila Amin, Daniel Durrany dan Banni Basyishar, yang akan bersaing dengan satu sama lain itu disiarkan di saluran Astro Ria (Saluran Singtel TV, 608) mulai 9 malam Ahad ini.

Ia pastinya menjadi penawar buat penonton yang rindukan sajian hiburan setiap hujung minggu selepas terlabuhnya tirai Gegar Vaganza 9 (GV9) pada 27 November lalu.

Datuk Syafinaz Selamat yang memikat ramai peminat kerana komen bernas dan humor bersahajanya sejak menjadi juri GV akan tampil sebagai Kapten Juri bagi musim ATNMY kali ini.

Pada musim lalu, Datuk AC Mizal merupakan Kapten Juri yang mengetuai penjurian peserta dengan Sherry Alhadad kekal sebagai hos program terkenal ini.

Berdasarkan format asal All Together Now terbitan BBC One dari United Kingdom, Astro mempersembahkan barisan juri yang dikenali ramai dengan 13 muka baru.

Mereka termasuk Datuk Aznil Haji Nawawi, Rozita Che Wan, Shila Amzah, Nikki Palikat, Marsha Milan, Reshmonu dan Vince Chong.

Dalam kenyataannya kepada Berita Harian, Ketua Saluran Astro Ria, Cik Norzeha Mohd Salleh, berkata:

"Dengan kejayaan yang dikecapi menerusi musim pertama, pertaruhan memadankan All Together Now (kepada versi Malaysia) berjaya dan menjadi.

"Konsep yang mengetengahkan bakat-bakat hebat rakyat Malaysia yang belum dicungkil bakatnya menarik minat dan hati penonton kami terutamanya pada siaran tahun lalu.

"Program realiti ini telah memupuk kebersamaan di kalangan rakyat majmuk dalam menyokong peserta-peserta yang terdiri daripada pelbagai bangsa dan latar belakang tatkala negara menghadapi saat-saat sukar akibat pandemik.

"Bahkan untuk musim kedua, bakat-bakat yang bertanding sekali lagi menyerlahkan aspek kepelbagaian.

"Ada yang menyertai sebagai peserta solo, duo atau kumpulan dan para peserta yang ada menunjukkan kerencaman dalam masyarakat berbilang budaya yang merupakan elemen penting yang kami mahu tonjolkan."

Antara yang anda pasti kagum tontoni adalah kanak-kanak 11 tahun, Yaadana, yang berbangsa India tetapi dapat menyanyikan lagu Ziana Zain dengan baik.

Melissa yang terlantar di hospital selama dua minggu selepas dijangkiti Covid-19 tahap kelima malah hampir ditidurkan ketika itu juga bangkit dengan semangat waja bagi pertandingan ini.

Anak Noorshila, Daniel Durrany, seorang jurulatih gim yang memiliki suara lunak persis penyanyi Indonesia, Tulus, pula memberi saingan kepada adiknya Banni Basyishar, seorang pemain saksofon yang pernah bekerjasama dengan Hujan dan Janna Nick.

Guru peragaan Shaun Salim, 64 tahun, pula adalah peserta paling veteran.

Hasil daripada ATNMY musim pertama, bakat baru seperti Meer Nash, Ajoi Zainal, Dem Lepak Boyz dan Idris Brown dapat dicungkil dan kini diuruskan label muzik di Malaysia.

Setiap juri mewakili dua markah. Dua peserta yang mendapat markah tertinggi pada setiap episod akan mara ke peringkat akhir ATNMY2 bagi merebut gelaran juara dan membawa pulang wang tunai RM50,000 ($15,411) dan piala.

Seramai 20 peserta akan bertanding dalam setiap episod. Setiap peserta akan diberikan 90 saat untuk membuat persembahan masing-masing.

Sekiranya juri suka dengan persembahan tersebut, mereka boleh mula memberikan markah kepada peserta sejurus selepas 30 saat pertama dengan menekan butang 'buzzer' yang disediakan lalu ikut berdiri dan menyanyi bersama-sama dari tempat masing-masing sebagai tanda sokongan.

Tiga peserta dengan markah tertinggi akan ditempatkan di tiga podium utama mengikut jumlah markah yang diterima.

Peserta dengan markah paling banyak akan ditempatkan di podium pertama sekali gus layak mara ke peringkat akhir secara automatik.

Peserta di kedudukan kedua dan ketiga pula akan berentap sekali lagi dalam pusingan 'Sing-Off' untuk menempah tempat ke peringkat akhir.

Syafinaz selaku ketua juri yang dibantu penasihat utama Ajai dalam ATNMY2 pula menjelaskan beliau mahu menyuntik unsur kepentingan nyanyian sebagai bidang yang akan dipandang tinggi seiringan dengan kerjaya lain.

"Saya tahu program ini relaks dan santai sahaja berbanding pertandingan nyanyian lain tetapi saya tetap mahu suntik unsur kepentingan nyanyian ini. Ia bukan bidang yang kita hanya suka-suka dan nak gembira sahaja.

"Seboleh-boleh saya nak jadikan rancangan ini berada di atas dan dipandang lebih tinggi dan bukan untuk berseronok sahaja," ujarnya yang berkata nyanyian adalah sumber cari makan yang serius dan tidak harus dipandang mudah.

"Saya tahu program ini relaks dan santai sahaja berbanding pertandingan nyanyian lain tetapi saya tetap mahu suntik unsur kepentingan nyanyian ini. Ia bukan bidang yang kita hanya suka-suka dan nak gembira sahaja.

Seboleh-boleh saya nak jadikan rancangan ini berada di atas dan dipandang lebih tinggi dan bukan untuk berseronok sahaja."

- Datuk Syafinaz Selamat, Kapten Juri 'All Together Now Malaysia 2'.