Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Perang emosi demi misi menyelamat di Somalia

Pelakon karisma M’sia hidupkan filem perjuangan ‘Malbatt Misi Bakara’
Aug 18, 2023 | 5:30 AM
PASANG SURUT EMOSI: Shaheizy Sam (kanan) menghidupkan watak tentera penyelamat  Lans Koperal Ramlee yang berantakan emosinya khususnya apabila perlu memujuk sahabatnya dari Mogadishu, Abdalle (Musa Aden), yang kehilangan isteri.
PASANG SURUT EMOSI: Shaheizy Sam (kanan) menghidupkan watak tentera penyelamat Lans Koperal Ramlee yang berantakan emosinya khususnya apabila perlu memujuk sahabatnya dari Mogadishu, Abdalle (Musa Aden), yang kehilangan isteri. - Foto MBO CINEMAS/GV
BERDEPAN DENGAN MISI BESAR: Kisah perjuangan tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam menyelamatkan renjer Amerika Syarikat disingkap dalam filem Malbatt Misi Bakara ini.
BERDEPAN DENGAN MISI BESAR: Kisah perjuangan tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) dalam menyelamatkan renjer Amerika Syarikat disingkap dalam filem Malbatt Misi Bakara ini. - Foto MBO CINEMAS/GV

Apakah anda sudah bersedia untuk masuk ke dalam zon perang dan berjuang?

Ini yang terlintas di fikiran penulis sebelum memasuki pawagam GV Suntec City untuk menyaksikan filem arahan Adrian Teh, Malbatt Misi Bakara, baru-baru ini.

Jangkaan tinggi diletakkan bagi filem ini setelah menyaksikan rekod kecemerlangan Teh bagi filem terdahulu yang mencetus fenomena, Paskal, The Assistant dan Wira.

Yang saya puji adalah jalan cerita yang bersandarkan kisah sebenar di mana 19 tentera Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD), rejimen paling mapan dalam tentera Malaysia dihantar bagi misi berbahaya untuk menyelamatkan 70 renjer Amerika yang terperangkap di Pasar Bakara sekitar Somalia sewaktu perang sivil pada 1993. Ada yang tewas dalam perjuangannya. Ada yang mampu dijulang sebagai perwira.

Merekalah perwira sebenar dalam misi Black Hawk Down yang diketengah dalam filem Hollywood.yang dibintangi Josh Hartnett.

Mengikut konteks sejarah, kita dapat lihat kesungguhan RAMD dalam menjalankan misi mereka. Kadangkala timbul rasa rendah hati yang menyelinap kerana mereka berasakan diri mereka kecil di sisi tentera negara lain dan kuasa besar Amerika di mata dunia.

Namun, kecil-kecil cili padi. Berkat kerjasama, tekad bulat dan kekuatan nawaitu dalam hati, segala misi dapat dijalankan.

Teh bijak memanfaatkan kekuatan pelakon berkarisma dan serba boleh dalam soal penguasaan emosi dalam filem ini. Boleh dikatakan hampir setiap pelakon yang beliau ketengahkan memberi impak pada filem ini yang merupakan antara filem termahal Malaysia dengan bajet RM20 juta ($5.85 juta).

Hairul Azreen sering ditampilkan Teh kerana keserasiannya pada babak aksi. Kali ini, beliau adalah Leftenan Ismail. Shaheizy Sam, seorang lagi pelakon aksi serba boleh Malaysia, adalah Lans Koperal Ramlee. Bront Palarae yang memiliki karisma layar perak pula adalah Mejar Adnan, manakala watak Mejar Abdul Samad digalas dengan cekap oleh Tony Eusoff. Fauzi Nawawi pula hadir sebagai Mejar Osman.

Pelakon Paskal, Gambit Saifullah dan Taufiq Hanafi, turut menjayakan filem yang dari awal hingga akhir tidak sepi daripada babak perang, tembak-menembak, kejar mengejar dan sembunyikan diri.

Pelakon dalam filem ini memang tidak menghampakan. Sam khususnya menampakkan emosi pasang surut seorang tentera yang berjuang dan diselubungi rasa bimbang, cemas dan keinginan ingin membolos segala yang ditetapkan dalam hati demi misi menyelamat ini.

Kesungguhan RAMD tidak boleh dipertikai. Dalam setiap kesulitan, mereka mampu menanganinya dengan sabar.

Apa yang menjadikan Malbatt Misi Bakara ini lebih hidup adalah kehadiran pelakon asal Mogadishu, Musa Aden, selaku penterjemah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) untuk RAMD, Abdalle. Emosinya yang resah untuk membolehkan tentera Melayu masuk ke rumahnya ketika dijejak musuh begitu menghidupkan lagi jalan cerita filem ini. Wataknya hidup termasuk ketika beliau kehilangan isteri.

Cuma mungkin terlalu banyak babak tekanan membuak-buak dalam filem ini yang meresahkan jika anda bukan peminat filem perang. Secara peribadi, saya sudah menonton filem perang yang masih mampu menyisipkan kisah cinta dan kemanusiaan. Dalam filem ini, tidak banyak. Yang disingkap hanya kerinduan watak pada keluarga di Malaysia atau kisah lucu tentera yang terpikat pada wartawan perang wanita.

Ada yang membandingkan filem ini dengan filem perang Hollywood, Saving Private Ryan atau Black Hawk Down. Mungkin belum sampai ke tahap itu tetapi memadai bagi filem ini menceritakan tentang usaha pihak kecil seperti RAMD untuk tampil mengorbankan nyawa demi keselamatan pihak ‘raksasa’ (Amerika) di kala mereka memerlukan di Somalia.

Satu perkara yang mungkin boleh diperbaiki pada masa depan adalah imej janaan komputer (CGI) dan kesan khas dalam filem agar kita benar-benar ‘dibawa lari’ dalam zon berbeza yang sarat bahaya. – HARYANI ISMAIL

Laporan berkaitan
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg