Subuh
5:46
Syuruk
7:04
Zuhur
1:10
Asar
4:27
Maghrib
7:13
Isyak
8:24

Percubaan sulung penyanyi rap S'pura terajui drama 'Anak Met'

Teka Kata
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Markah anda: Bagus! Markah anda: Hebat! Markah anda: Out Of 3
Gaya Hidup
31
0

Percubaan sulung penyanyi rap S'pura terajui drama 'Anak Met'

Qis Maraj, muka baru ditawar watak utama dalam drama jenama besar 'Anak Metropolitan 4.0'
Jun 26, 2022 | 05:30 AM

PENYANYI rap Singapura, Qis Maraj, enggan meletakkan sebarang jangkaan tinggi pada setiap projek seni yang dijayakan setelah berulang kali gagal dalam pertandingan adu bakat setempat.

Gadis yang nama sebenarnya, Nurbalqis Mohamed Muzamil, 21 tahun, justeru itu, membiarkan jiwa mudanya bebas meneroka adunan bunyian yang diinginkan bagi muzik yang dipasarkan secara digital.

Sebagai anak muda yang masih lagi bertatih dalam dunia seni dan dahagakan bimbingan golongan yang lebih berpengalaman, Qis tidak pernah menjangkakan daripada muzik, beliau dapat beralih ke bidang lakonan pula.

Apatah pula, lulusan Diploma Teknologi Muzik dan Audio daripada Politeknik Singapura (SP) ini diberi watak utama sebagai Abil dalam drama dengan jenama besar, Anak Metropolitan 4.0, yang akan disiarkan melalui aplikasi meWATCH dan TikTok 'live' esok disusuli dengan siaran di Suria lusa.

Ia sesuatu di luar jangkaannya yang menyangka hanya layak memegang watak sampingan kerana masih hijau dalam bidang lakonan.

Ketika ditemui Berita Minggu di pejabat SPH Media baru-baru ini, Qis yang dikenali menerusi kolaborasi dengan rapper legenda Mawar Berduri bagi lagu KakakAdik, berkata:

"Hati saya sebenarnya berdebar-debar sekarang menanti siaran Anak Metropolitan 4.0. Tak tahu bagaimana reaksi ramai sebab saya sendiri risau dengan penampilan sulung saya sebagai 'Anak Met' dalam drama itu.

"Sebabnya, saya tidak pernah berlakon sebelum ini... Ada tak ada cuma muncul beberapa minit dalam projek filem teman-teman ketika di Institut Pendidikan Teknikal (ITE) Kolej Timur. Saya ambil kursus kejuruteraan mekanikal ketika itu.

"Ingatkan apabila pihak Eaglevision minta klip video uji bakat, pastinya saya diberi watak tambahan sahaja. Tahu-tahu saya jadi Nabila atau Abil, satu-satunya perempuan gengster dalam kisah kumpulan samseng dengan jenayah berskala besar itu."

Menurut Qis, beliau diberitahu pemilihannya adalah kerana wajah baru ingin diketengahkan bagi Anak Metropolitan 4.0, yang sama sekali tidak menyambung kisah tiga musim Anak Metropolitan sebelum ini.

"Saya rasa lakonan saya masih banyak yang tidak sempurna dan perlu diperhalusi dan diperbaiki.

"Mungkin kerana penampilan saya yang banyak tindikan telinga dan nampak lasak ini memenuhi apa yang mereka tetapkan bagi watak Abil, maka saya dipilih.

"Cukup gementar apabila berlakon dengan dua pelakon bukan calang-calang yang sudah tidak dapat dinafikan bakat lakonannya, Abang Rafaat Hamzah dan Kak Ariati Tyeb Papar. Mereka jadi ibu bapa saya.

"Abang Rafaat 'cool' dan banyak tunjuk ajar. Selalu layan saya main TikTok. Kak Ariati pun banyak nasihat.

"Orang kata, beliau kalau sudah serap watak garang memang bahaya...beri tamparan betul-betul. Confirm sakit kena sepak dengannya. Nasib baik saya tiada adegan ditampar Kak Ariati!" jelas Qis seraya tertawa.

Qis menghidupkan watak Abil yang ditinggalkan ibu bapanya yang kededuanya penjenayah yang dipenjara.

Pada usia muda, Abil terpaksa menjaga adik perempuannya dan rasa marah dengan tindakan tidak fikir panjang ibu bapanya.

Daripada seorang budak baik, Abil bertukar menjadi jahat dan terjebak dalam kumpulan samseng kerana terhutang budi pada ketua samseng bernama Jack (lakonan Najib Soiman).

Anak Metropolitan 4.0 turut membentangkan pergolakan hidup dua lagi belia, Nick (Danial Ashriq) dan Rico (Iskandar Shah) sehingga mereka terjebak dalam kegiatan kongsi gelap.

Beberapa isu jenayah masa kini melibatkan penipuan kereta dan jenayah belia berskala besar dipaparkan.

Sebagaimana kata Qis, anak sulung tiga beradik:

"Drama kali ini sudah tidak sama lagi dengan tiga musim sebelumnya yang hanya condong menceritakan tentang pergaduhan budak nakal dan kes jenayah melibatkan mereka seperti mencuri, menyerang orang dan menagih serta mengedar dadah. Ia berlegar di sekitar jenayah lebih canggih mengikut trend era baru.

"Budak jahat pun dah tak lagi dipaparkan sebagai yang bertatu tetapi lebih pada yang mukanya nampak baik tetapi sebenarnya kaki tangan dalam perut atau ada kesuraman dalam hidupnya."

Ditanya mengenai cabaran membawa watak Abil, Qis menjelaskan watak itu banyak menangis dan ada juga adegan tarik-menarik rambut dan situasi sesudah diperkosa.

"Menangis banyak kali memang payah. Tarik-menarik rambut boleh jadi aksi sebenar tetapi kadangkala dalam adegan tarik-menarik, boleh lebam-lebam badan.

"Mana-mana adegan yang saya kurang selesa boleh dibincangkan dengan pengarah.

"Alhamdulillah, saya amat hargai jasa dan bimbingan tiga pengarah, Abang Faisal Ishak, Abang Khairudin Samsudin dan Abang Azroy Sultan.

"Abang Faisal amat memahami dan selepas beliau perlu ke Malaysia untuk projek lain pun, beliau masih bertanya khabar dan memastikan kami semua baik-baik sahaja di sini dan tidak lupakan pesanannya.

"Abang Khairudin suka berlawak dan buat saya selesa manakala Abang Azroy paling garang dan tegas tetapi membina semangat saya agar gigih mencuba.

"Bagi saya, kalau tak berani terima kritikan, tak perlulah masuk bidang seni.

"Saya sudah biasa dikecam bagi muzik sepanjang dua tahun terlibat secara profesional dalam bidang seni.

"Maka, ditegur dalam lakonan adalah perkara biasa demi peningkatan diri saya," katanya yang juga mengajar kegiatan sepatu roda kepada orang awam.

Beliau akur kadangkala ada yang memperkecilkan bakatnya atau ingin mengambil kesempatan di atas usia muda, kedudukannya sebagai wanita yang masih baru dalam bidang seni.

"Apa-apa pun, saya berpegang pada pesanan ibu bapa saya agar tidak mudah lupa diri, gilakan kejayaan semalaman atau senang terpedaya sampaikan sanggup menggadai maruah diri.

"Saya tak sampai ke tahap ini kalau tiada doa ibu ayah saya. Pastinya saya ingat jasa mereka. Saya bersyukur kerana dikelilingi orang yang baik-baik dan ikhlas seperti Kak Mawar Berduri, Uncle Sam (2KangKata) dan penerbit muzik, Sazery Suhady. Kami macam keluarga besar yang saling menyokong," tambahnya.


  • Nota: 'Anak Metropolitan 4.0' akan disiarkan di aplikasi meWATCH dan TikTok 'Live' mulai esok manakala siaran di televisyen setiap Isnin hingga Rabu, 10.30 malam di Suria.

SEKILAS INFO

  • Anak Metropolitan merupakan drama terkenal dengan musim pertamanya disiarkan pada 2002.
  • Ia mengupas pergolakan emosi remaja daripada tekanan keluarga dan sekolah sehingga menyebabkan mereka terjebak dalam kegiatan samseng.
  • Drama dijayakan Nadia Fazlini, Nam Rizuan, Suzairhe Sumari, Norseha Sani, Suhaillah Salam dan Khairiyah Sabar.
  • Ia drama terbitan Eaglevision Productions yang dihasilkan dengan kerjasama Majlis Pencegahan Jenayah Kebangsaan (NCPC).
  • Musim kedua pada 2003 pula dijayakan Suzairhe, Nina Halim, Haikal Aziz, Dawn Prima Ria dan Adiputra.
  • Musim ketiga diperkenalkan pada 2012 dengan barisan pelakon Ikah Jamil, Lydia Izzati, Syarif Sleeq, Erwin Shah Dawson, Nadiah M. Din, Lydia Asyiqin dan Nufail Sazali.

Video Baru

Teka Kata

=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3