Dua hari cuti umum yang jatuh pada Jumaat – Hari Buruh (1 Mei) dan Hari Krismas (25 Disember) – bakal mewarnai tahun 2026, selain Good Friday yang merupakan sebahagian daripada hujung minggu panjang. Ini membuka ruang bagi warga Singapura untuk menikmati percutian hujung minggu yang singkat ke negara jiran.

Selalunya, Malaysia atau pulau-pulau Indonesia seperti Batam dan Tanjung Pinang menjadi sasaran utama percutian yang pantas, ringkas dan mesra bajet.

Meskipun kedua-dua lokasi ini menyimpan daya tarikan tersendiri, kenaikan harga tiket feri baru-baru ini membuatkan hasrat ke Batam tergendala. Justeru, pandangan saya mula beralih ke destinasi yang lebih dekat: Johor Bahru.

Saat bercuti, keutamaan saya adalah keselesaan hakiki. Kemudahan hotel yang dicari termasuklah kolam renang yang menyegarkan, tab mandi yang menenangkan, bilik yang luas dan tentu saja pemandangan yang mendamaikan.

Jika boleh, saya mahukan suasana mewah tanpa membebankan dompet.

Forest City Golf Resort sering muncul dalam carian – dan gambarnya menjanjikan cita rasa yang dicari. Lebih memikat, harga penginapan kurang S$100 semalam, termasuk sarapan untuk dua orang.

Forest City ialah projek pembangunan mega meliputi pangsapuri, ruang komersial, pusat beli-belah dan hotel. Ia dibangunkan oleh China Country Garden bersama Esplanade Danga 88, syarikat Malaysia yang disokong kerajaan negeri Johor, menurut laman web rasminya.

Dilancarkan pada 2016, projek ini digambarkan sebagai bandar pintar dan mesra alam, direka untuk menampung lebih 700,000 penduduk.

Namun, bandar yang dilaporkan menelan belanja pembangunan sehingga AS$100 bilion ini, mula menerima gelaran ‘bandar hantu’ dalam beberapa tahun kebelakangan ini, terutamanya ketika pandemik COVID-19. Keadaan ini juga dikaitkan dengan sekatan aliran keluar modal yang dikenakan kerajaan China sejak 2017.

Di Google Maps, Forest City Golf Resort terletak kira-kira 12 minit dari kawasan pembangunan perumahan Forest City.

Perjalanan ke resort di Iskandar Puteri itu, yang lebih elok dilalui melalui imigresen Tuas, terasa panjang dan sunyi – seakan-akan menjauhkan kami dari hiruk-pikuk kota.

Namun, keraguan itu hilang apabila hotel mula kelihatan. Dan sebaik melangkah masuk ke lobi yang masih ramai tetamu, suasana yang menyambut amat meyakinkan.

Satu kelegaan

Di atas tanah seluas 800 hektar, Forest City Golf Resort berdiri megah dengan 298 bilik, termasuk bilik King, Twin, tiga suite Presiden, dan satu suite keluarga. Tarikan utamanya sudah pasti padang golf eksklusifnya, dengan kebanyakan tetamu adalah penggemar golf yang bercuti bersama keluarga.

Reka bentuk bilik-bilik hotel tidak mengecewakan: luas, moden, dan dilengkapi perabot mewah.

Bilik airnya pula mempunyai tab mandi, satu kemudahan yang semakin jarang ditemui di hotel bandar, meskipun bertaraf lima bintang.

Untuk percutian yang singkat, hotel ini pilihan yang tepat, terutama bilik yang menghadap padang golf menghijau yang terbentang luas, menjanjikan ketenangan dan privasi yang sukar dicari.

Menurut Pengurus Jualan Forest City Golf Resort, Encik Fazly Ayub, kadar purata penghunian telah melonjak kepada 40 hingga 50 peratus, berbanding sekitar 20 peratus sebelum ini. Pada cuti panjang seperti Good Friday baru-baru ini, tempahan mencecah 70 peratus.

“Tetamu utama kami dari Singapura, tetapi kami juga menerima pelancong dari Korea, Jepun, dan China yang menetap di Singapura. Malah, syarikat-syarikat Singapura semakin ramai menggunakan dewan ballroom dan bilik majlis kami untuk program retreat korporat,” ulasnya.

Bagi yang tidak bermain golf, pilihan aktiviti di dalam resort agak terhad, selain kolam renang, gim, dan bilik karaoke. Namun, bagi yang memandu, AEON Bukit Indah hanya 25 km jauhnya untuk membeli-belah atau menjamu selera, manakala pusat bandar Johor Bahru dapat dicapai dalam sekitar 40 minit perjalanan.

Bagi keluarga dan peminat golf, Forest City Golf Resort menawarkan pengalaman percutian yang selesa –membawa ‘aura’ Desaru, tetapi lebih dekat dari Singapura, dan jauh lebih murah. Sebagai aktiviti santai, resort ini turut menawarkan pakej menyelami ‘Rahsia Hutan Bakau’ dan memancing.

Secara keseluruhannya, penginapan 2 hari 1 malam ini amat memuaskan dan berbaloi. Walau bagaimanapun, penambahan aktiviti riadah dalaman seperti meja snuker atau ping pong pasti akan meningkatkan lagi nilai pengalaman penginapan pada masa hadapan.