Haruman minyak wangi yang semerbak kadangkala menyimpan seribu kenangan.
Semangat Tahun Baru 2025 mencetus ilham dalam benak penulis lirik dan penyanyi muda, Shareefa Aminah Abdul Shariff, atau lebih dikenali sebagai Shazza, untuk mengabadikan perjalanan seninya dalam botol minyak wangi.
Sebelum ini, penyanyi muda itu mencatat kejayaan cemerlang menerusi lagu-lagunya yang lunak didengar dan bertaraf antarabangsa seperti Pity Party, Right Person, Wrong Time dan Be Kind.
Hingga akhbar ini diterbitkan, Right Person, Wrong Time sudah distrim hampir 2.2 juta kali di platform penstriman Spotify.
Pada 3 Januari lalu, Shazza, 24 tahun, tidak hanya melancarkan jenama minyak wanginya, malah ‘single’ terbaru berjudul Perfume di Ruang Legar, Esplanade.
Beliau yang ditemui Berita Minggu (BM) berkata:
“Sebenarnya, saya sudah cipta lagu Perfume ini sejak setahun yang lalu (2024).
“Ayah saya yang memberi inspirasi untuk mengeluarkan minyak wangi ciptaan sendiri bersama lagu terbaru ini.
“Saya fikir ia idea yang sangat bernas sekali kerana saya juga ingin peminat saya memiliki sesuatu dengan sentuhan saya, sebagai satu penghargaan terhadap sokongan mereka selama ini.
“Anggap ini suatu ‘comeback’ (kemunculan semula) setelah setahun tidak mengeluarkan lagu baru.”
‘Single’ terbarunya, Perfume, menyelongkar pergolakan dalaman yang dialami ketika membuat keputusan untuk meninggalkan pasangan yang tidak setia.
Dalam pada itu, ada juga gambaran tentang kesukaran luar biasa untuk melepaskan diri daripada hubungan toksik atau tidak sihat.
Berbanding karya-karya sebelumnya, lagu ini memperlihatkan Shazza meneroka sisi baru dalam perjalanan seninya dari segi bunyi dan daya muzikal.
Shazza pula bekerjasama dengan Sifr Aromatics untuk menghasilkan minyak wangi, Perfume: by shazza.
Sifr Aromatics ialah jenama yang dikelolakan generasi ketiga pemilik jenama minyak attar, Jamal Kazura, iaitu Encik Johari Kazura.
Tambahan lagi, jenama minyak wangi Jamal Kazura sudah lama menjadi pilihan keluarga Shazza dan merupakan jenama yang mereka percayai selama bertahun-tahun lamanya.
Baginya, kolaborasi ini mempunyai nilai sentimental yang mendalam, melambangkan kesetiaan dan sokongannya terhadap jenama tersebut.
“Sesi untuk membuat minyak wangi ini tidak mengambil masa yang lama. Cuma, saya perlu mengkaji wangi-wangian dan haruman untuk saya sertakan dalam minyak wangi ini.
“Yang pastinya, ia haruslah sesuai dengan kisah dan pesanan yang ingin disampaikan sebagaimana saya utarakan melalui lagu yang saya cipta berjudul Perfume,” tambah Shazza.
Secara tidak langsung, pelancaran ini menjadikan beliau sebaris dengan selebriti lain di Barat yang melancarkan minyak wangi.
Antaranya, termasuk tiga penyanyi dan penggubah lagu muda, Billie Eilish, 23 tahun; Ariana Grande, 31 tahun, dan Sabrina Carpenter, 25 tahun.
Mengenang pencapaian paling bermakna pada 2024, Shazza menceritakan tentang video tular lagi spontan sewaktu beliau diminta berduet dengan kumpulan Crash Adams dari Canada.
Penerima Anugerah Jauhari Harapan Berita Harian 2023 bagi belia cemerlang juga menghargai peluang membuat persembahan di Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP) bersama personaliti televisyen tempatan, Ebi Shankara.
Walau bagaimanapun, sepanjang beliau berkarya, tidak semua pengalaman manis-manis belaka.
Dengan imej bertudung, Shazza sedar beliau kadangkala menjadi sasaran cemuhan segelintir masyarakat yang payah menerima bintang berhijab.
Namun, Shazza tidak menjadikan pandangan serong ini sebagai benteng yang menghambat dirinya untuk terus cemerlang dalam kerja seni.
“Sebelum menceburi dunia seni, saya sudah menjangkakan akan ada yang tidak senang dengan saya, lebih-lebih lagi dengan imej berhijab ini.
“Saya sedar, saya membawa tanggungjawab sebagai wakil wanita lain yang serupa dengan saya.
“Inilah sebabnya saya memilih untuk menghasilkan lagu dalam bahasa Inggeris. Saya mahu karya saya dikenang semua kaum.
“Sekali gus, saya mahu membuktikan bahawa sebagai seorang wanita berhijab, saya mampu menggapai cita-cita seni.
“Selagi niat saya lurus, saya hanya akan memberi tumpuan kepada mereka yang benar-benar peduli dan menyokong usaha saya,” jelas Shazza.
Buat masa ini, mahasiswa komunikasi Universiti Teknologi Nanyang (NTU) tahun kedua itu sedang mengambil cuti ketidakhadiran dalam pengajiannya.
Bagaimanapun, Shazza menjelaskan beliau tiada niat menghentikan pengajiannya. Sebaliknya, beliau sedang menumpukan perhatian terhadap kerja seni yang siap untuk dilancarkan sepanjang 2025.
Menyentuh tentang harapan bagi persada muzik Singapura, beliau mengulas:
“Saya berharap agar bakat tanah air lebih berani menghasilkan karya segar dan menepati citarasa masyarakat tempatan sekali gus melambangkan keunikan gaya muzik di Singapura.”
Minyak wangi Perfume: by shazza boleh ditempah menerusi laman web Sifr Aromatics dan hanya dijual dalam tempoh terhad hingga akhir Februari. Sebotol minyak wangi berharga $130.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg