Pada awal kerjaya seninya, penyanyi, pemain piano dan penggubah lagu, Roberta Flack, dikenali sebagai anak seni yang mampu menyuntik kelainan pada lagu-lagu yang terlebih dahulu dirakam bintang lain.

Sehingga ke hari ini, pada saat Flack sudah meninggal dunia pada 24 Februari 2025, ramai yang masih menyangka Flack adalah penyanyi asal lagu balada menyentuh kalbu, Killing Me Softly With His Song.

Walhal, lagu ciptaan Charles Fox dan Norman Gimbel itu, dirakam buat julung-julung kalinya oleh seorang penyanyi lagu dendang rakyat, Lori Lieberman, pada 1972.

Menurut laman web, Songfacts, lagu tersebut tercipta selepas Gimbel bersembang dengan Lieberman dan mendapat tahu wanita itu terpaut pada persembahan penyanyi, Don McLean, yang terkenal dengan lagu hit, American Pie.

Lieberman telah menulis puisi pada kain pengesat mulut di restoran.

Bait-bait puisi itulah yang kemudian menjadi sumber ilham bagi lagu, Killing Me Softly With His Song.

Flack yang meninggal dunia pada usia 88 tahun selepas serangan jantung dalam perjalanan menuju ke hospital di Manhattan, sudah tiga tahun (sejak 2022), menghidap penyakit motor neuron (penyakit saraf yang menyebabkan kerosakan pada sel yang mengawal pergerakan otot dalam badan), dan tidak lagi dapat menyanyi.

Sebelum ini, beliau kerap membuat persembahan bagi mengumpul dana untuk golongan memerlukan yang disokong Yayasan Jaz Amerika.

Beliau turut diserang angin ahmar dan kerap keluar masuk hospital.

Saya pernah membaca beberapa rencana di laman web akhbar Britain, The Guardian, mengenai perjalanan seni Flack yang menjanda selama 55 tahun selepas berpisah daripada suaminya, Steve Novosel, pemain bes di kelab jaz dan guru muzik, pada 1972.

Perkahwinan mereka bertahan selama enam tahun tanpa cahaya mata.

Apa yang membuatkan Flack menjadi bintang idaman ramai artis lain adalah kemerduan suaranya dan usahanya menjadikan lagu ‘cover’ seperti miliknya sendiri.

Lagu duo Simon & Garfunkel, Bridge Over Troubled Water, yang dimuatkan Flack dalam album 1971, Quiet Fire, begitu menyentuh jiwa penyanyi legenda, Elton John, lantas beliau menulis sepucuk surat peminat buat Flack, bekas guru muzik dan bahasa Inggeris.

“Kepada Roberta. Saya tak pernah dengar lagu seindah ini sejak bertahun lamanya,” tulis John.

Seperti John, Flack adalah pemuzik yang belajar bermain piano klasik sebelum memasuki genre pop.

Beliau yang dilahirkan di North Carolina, Amerika Syarikat, tidak menyesal menceburi bidang nyanyian pada usia dewasa dan meraih lagu hit pertamanya pada usia 34 tahun.

Penyanyi, The First Time Ever I Saw Your Face, itu berbeza daripada penyanyi lain.

Beliau tidak perlu melontar suara pada nada tinggi dan mampu menenangkan penonton dengan cara nyanyiannya yang perlahan, penuh emosi dan santai-santai sahaja.

Album terakhirnya pada 2012 memuatkan lagu-lagu kumpulan, The Beatles.

Flack dilahirkan pada 10 Februari 1937 dan merupakan anak seorang pelukis pelan, Laron Flack, dan pemain organ di gereja, Irene Flack.

Ramai yang mengenalinya sebagai insan positif yang tidak akan membiarkan kekecewaan menguburkan cita-citanya dalam bidang seni.

“Ingatlah untuk sentiasa mencari cahaya dalam hidup anda. Bersikap jujur dalam menyuarakan isi hati anda dalam lagu.

“Kekal bijaksana dalam karya anda sebab amanah yang memerlukan anda sentiasa memberi kata-kata perangsang kepada pendengar lagu anda,” ujar Flack dalam wawancara bersama laman web, Entertainment Weekly, mengenai prinsip hidupnya.

Penyanyi seangkatannya, Dionne Warwick, 84 tahun, menjelaskan kepada laman web, Variety:

“Jika anda kehilangan sahabat yang ibarat anggota keluarga sendiri, rasanya amat berbeza.

“Saya harap Profesor Roberta Flack tenang di sana.

“Saya akan merindui perjalanan seni kami bersama dalam muzik. Kami berkongsi minat yang sama terhadap muzik. Saya akan merindui sahabat saya selamanya.”

Penyanyi, Kelly Rowland, 44 tahun, pula menambah: “Roberta Flack adalah nama yang disanjung, seorang individu yang meninggalkan kita dengan hati dan jiwa penyayangnya.

“Terima kasih kerana menghadiahkan kami dengan keindahan muzik dan suara anda.

“Saya gembira dan bersyukur kerana dapat meneladani komitmen anda pada muzik.”

Pada 2020, Flack yang sudah memenangi empat Anugerah Grammy, disampaikan dengan Anugerah Pencapaian Sepanjang Hayat pada majlis Anugerah Grammy ke-62 di Staples Center, Los Angeles.