Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Perjuangan seni Papa Rok jalan terus dengan album baru

Sep 24, 2020 | 05:30 AM



INI bicara seni bukan keluhan seni tetapi perjuangan seni.



Setiap kata yang keluar dari mulut legenda rok Datuk Ramli Sarip bak mutiara berharga untuk dibawa pulang sebagai pedoman hidup.



Baik ketika berbicara dengannya mahupun tatkala mendengarkan bait-bait lirik lagu barunya Cinta Di Sebalik Musim dilontar dengan penuh penjiwaan - segalanya terasa tenang dalam kekalutan pandemik koronavirus yang belum reda.



Lagu tersebut antara yang bakal dimuatkan dalam album studio baru yang sedang diusahakan pihak pengurusannya Rasa Karya Sdn Bhd dan diterbitkan syarikat penganjur acara setempat, Boss Production Pte Ltd.



Kali terakhir Ramli, 67 tahun, muncul dengan album 10 lagu ialah pada 2003 (Kalam Kesturi).



Beberapa lagu lain yang sudah siap bagi album studio ke-21 Ramli itu dirakam di Kuala Lumpur sebelum wujudnya Covid-19.



Lagu-lagunya adalah Srikandi Zaman, Sentosa Di Kubah Hayat, Surat Cinta Kuala Lumpur dan Bersimpul Di Serambi.



Baki lima lagu lagi akan dirakam di Singapura.



Menjelaskan lebih lanjut tentang album yang akan diedarkan secara digital di samping dicetak sebagai album fizikal dalam jumlah terhad, Ramli yang ditemui di bangunan Vertex@33 Ubi Avenue 3, berkata:



"Seni sudah menjadi sebahagian kehidupan, kerja dan peranan saya. Kerjaya seni ini memang mencabar tetapi sebagai anak seni, kita kena terima setiap cabaran secara positif.



"Dalam tempoh pandemik ini, saya lihat sebilangan teman seperjuangan dan adik-adik saya terjejas kerana tiada pekerjaan. 'Show' dibatalkan, kelab malam ditutup. Ramai yang bergerak dalam talian kini.



"Saya jarang duduk lama di rumah di Singapura. Biasanya pulang dari Sabah dan Sarawak atau Semenanjung Malaysia, saya duduk sehari dua di Singapura sebelum kembali bekerja di seberang Tambak.



"Sebelum diberi Notis Jangan Keluar Rumah (SHN) selama 14 hari, saya berangkat dari Kuala Lumpur ke Bandung... ada juga niat ke Jakarta untuk bertemu teman-teman seni bagi berbincang tentang rakaman tetapi ia terpaksa dibatalkan apabila keluarga dan teman yang prihatin minta saya pulang ke Singapura kerana Covid-19 yang melanda.



"Apabila menjalani kuarantin, saya banyak berpuasa. Kemudian mengibaratkan diri saya persis seekor burung yang perlu keluar dari sangkar, saya merasakan saya harus terus bekerja. Tiada kekata persaraan dalam kamus hidup atau kosa kata saya."



Ramli bersyukur bertemu dengan insan-insan yang melalui jerih payah lantas memberinya inspirasi berkarya. Mereka termasuk bintang bola sepak yang menjadi sahabat karibnya, Fandi Ahmad.



"Saya dapat merealisasikan impian saya untuk terus berkarya apabila bertemu dengan Boss Production. Banyak benda rasanya kena buat khususnya di Singapura.



"Anak-anak muda atau pencinta seni tidak sepatutnya hanya duduk diam dalam tempoh pandemik ini atau merajuk, kecewa dan malas.



"Kalau perasaan ini ada dalam diri karyawan dan seniman, lupakan sahaja misi untuk terus berjuang dalam arena seni. Kita perlu berpandangan jauh dan tinggi dengan harapan kita dapat meninggalkan satu kesan mendalam buat generasi akan datang," kata Ramli lagi.



Lagu-lagu yang disajikan disifatkan sebagai membawa kelainan dalam era moden ini. Ia merupakan santapan halwa telinga yang dipanggil lagu purba yang moden atau ancient pop.



Setelah bergelar anak seni selama lebih 50 tahun, Ramli merasakan kesihatan dan kekuatan minda yang Allah beri kepadanya harus dimanfaatkan selagi mampu.



"Saya ambil contoh artis dari Barat. Kisah pengorbanan dan etika kerja mereka amat saya hargai demi membangun terus kerjaya mereka.



"Bob Dylan, Eric Clapton dan penyanyi Led Zeppelin, Robert Plant... mereka bukannya tiada duit...sudah bergelar jutawan tetapi kerana mereka ingin menyumbangkan sesuatu pada masyarakat, mereka terus bekerja.



"Secara tidak langsung, mereka juga menjana pekerjaan buat kru penerbitan dan ramai karyawan lain yang menyokong kerjaya muzik mereka.



"Kalau nak jadikan kerja seni ini satu kerjaya serius, kita bukan sahaja perlu ada bakat tetapi harus berani keluar dari kepompong dan fahami karakter muzik bagaimana yang kita nak pasarkan," tambah Ramli lagi.



Kesyukuran itu menjadi basahan hidupnya apabila beliau menyifatkan rezekinya terus mengalir tanpa mengira skala projek tersebut sepanjang tempoh pandemik ini.



Hujung minggu ini, Ramli bahkan akan terlibat dalam penggambaran filem tempatan tentang kematian pesakit Covid-19 yang memerlukannya hanya mengucapkan dua atau tiga baris dialog.



"Sebelum ini, memang saya ada tawaran berlakon tetapi biasanya tidak diterima kerana saya merasakan peranannya belum cukup 'menggigit'.



"Tapi bagi projek ini, saya tak mampu menolak pelawaan penerbitnya yang menyatakan personaliti saya kena dengan watak yang ingin dihidupkan dan beliau tidak mampu tidur kerana sering membayangkan saya sebagai watak itu.



"Saya menerimanya kerana merasakan ada sesuatu yang ingin disampaikan dalam kisah tentang kematian dalam suasana pandemik ini," kongsi Ramli yang juga dalam proses menyiapkan vlog buat peminatnya daripada generasi muda yang mesra YouTube dan media sosial.



Pengarah Urusan Boss Production, Encik Muhammad Rizal Rasudin pula tertarik dengan jenama Ramli Sarip serta budaya kerja legenda itu yang tidak mengenal erti penat dan tidak pernah bersara dari zaman kepopularan Sweet Charity lagi.



"Saya berharap album yang diusahakan Datuk Ramli akan membakar semangat artis lain agar tidak berputus asa berkarya dan mewarnai arena seni.



"Saya juga akan ingat pesanannya tentang ketulusan dan kejujuran berkarya di samping amanah dan tanggungjawab anak seni yang tidak boleh diperlekehkan," katanya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >