Topik diikuti
Pergi ke BHkuPermintaan tuisyen bahasa Melayu terus meningkat, mula seawal tadika
Pengarah Pusat Nusa Bahasa saksi peningkatan sekitar 10 hingga 20 peratus setiap tahun sejak 2023; tutor bebas lihat kenaikan sekitar 20 hingga 30 peratus setahun sejak 2025
Permintaan tuisyen bahasa Melayu terus meningkat, mula seawal tadika
Cik Rina Abdullah memasukkan anak sulungnya ke dalam kelas tuisyen bahasa Melayu ketika anaknya itu di Darjah 1 setelah dia mendapat keputusan kurang memuaskan dalam ujian mata pelajaran tersebut.
“Saya sedar bahawa meskipun saya boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, mengajar anak saya bahasa tersebut merupakan satu cabaran yang berbeza,” kongsi pakar sumber manusia itu.
“Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang lebih arif dalam bidang ini,” tambahnya.
Ibu dua anak itu pun memasukkan anak bongsunya ke kelas sama, bermula lebih awal, ketika di Tadika 2.
Hasilnya, anak-anak Cik Rina, yang kini berumur 12 dan sembilan tahun, yakin bertutur dalam bahasa Melayu dan markah mereka di sekolah juga meningkat dengan ketara.
“Apa yang turut penting bagi saya ialah mereka selesa berkomunikasi dalam bahasa Melayu bukan sahaja dengan ibu bapa, malah dengan anggota keluarga lain dan rakan-rakan, terutama sekali ahli keluarga yang kurang fasih berbahasa Inggeris,” ujarnya.
Tuisyen bahasa Melayu kian diperlukan
Guru tuisyen bahasa Melayu yang dihubungi Berita Harian (BH) berkongsi pemerhatian lebih ramai ibu bapa menghantar anak mereka ke kelas tuisyen bahasa Melayu kebelakangan ini.
Pengarah Pusat Nusa Bahasa yang ditubuhkan pada 2012, Cik Hayati Abdullah, berkata beliau telah melihat peningkatan bilangan pelajar sekitar 10 hingga 20 peratus setiap tahun sejak sekurang-kurangnya 2023, apabila data mula dikumpulkan.
Pusatnya menawarkan kelas tuisyen dari peringkat Tadika 2 hingga Menengah 4.
Pada 2026, ia mempunyai hampir 2,000 pelajar yang mengikuti tuisyen bahasa Melayu atau penulisan karangan.
Tutor bebas, Cik Nur Hafizah Ibrahim, pula menyaksikan peningkatan sekitar 20 hingga 30 peratus setahun sejak 2025.
Kelas mingguannya yang dijalankan secara bersemuka dan di dalam talian bagi 2027 malah sudah penuh dengan 54 pelajar.
“Ada ibu bapa yang terpaksa berada dalam senarai menunggu untuk mendapatkan tempat. Ada juga yang bertanya tentang kelas persendirian, tetapi mulai tahun depan (2027) saya cuma jalankan kelas berkumpulan,” kata Cik Hafizah, yang membimbing murid sekolah rendah.
Seorang lagi tutor bebas dengan lapan tahun pengalaman, Encik Mohamad Noorhisyam Rohani, turut melihat lonjakan ketara bagi kelas persediaan Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) bahasa Melayu yang beliau anjurkan.
Pada 2026, beliau mempunyai 19 murid, naik daripada 11 pada 2025.
“Terdapat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan mendapatkan sokongan tambahan bagi pembelajaran bahasa Melayu untuk anak-anak mereka,” kata Encik Noorhisyam, yang mengendalikan kelas untuk murid sekolah rendah.
Tuisyen untuk tingkatkan, kekalkan prestasi
Antara sebab lebih ramai ibu bapa memasukkan anak mereka ke kelas tuisyen bahasa Melayu ialah penggunaan bahasa Inggeris yang lebih meluas dalam kehidupan harian telah mengakibatkan pendedahan yang agak terhad kepada bahasa Ibunda, kata tutor.
Ibu bapa juga semakin sedar bahawa penguasaan bahasa memerlukan latihan tekal, terutama dari segi kosa kata, pembinaan ayat, pemahaman dan penulisan, kata Encik Noorhisyam.
Selain itu, sukatan pelajaran Bahasa Melayu kini semakin mencabar, dan kurangnya bahan pembelajaran bahasa Melayu di luar menyukarkan kanak-kanak untuk membuat latihan tubi sendiri, kata Cik Hayati.
“Dan walaupun keluarga pelajar menggunakan bahasa Melayu di rumah, ini belum tentu dapat membantu pelajar dalam peperiksaan Bahasa Melayu. Mereka perlu khidmat profesional guru pakar dalam bahasa Melayu,” tambahnya.
Namun tutor turut menyebut tentang sekumpulan pelajar mereka yang sudah menunjukkan prestasi baik di sekolah tetapi masih menghadiri kelas tuisyen untuk memantapkan kemahiran dan memastikan keputusan mereka kekal tekal.
Ibu bapa ini mahu anak-anak mereka mempunyai kelebihan dan keyakinan apabila menduduki peperiksaan PSLE kelak, kata Encik Noorhisyam.
Malah, menurut Cik Hayati, beliau mempunyai segolongan pelajar cemerlang yang ingin mengasah kemahiran dan menyiapkan diri untuk memohon program Pengambilan Masuk ke Sekolah Secara Langsung (DSA) bahasa Melayu.
“Ibu bapa yang mencari tuisyen bahasa Melayu untuk anak mereka sebenarnya mempunyai matlamat yang berbeza-beza,” kata Cik Hafizah.
“Ada yang mahu anak mereka lulus kerana telah gagal ujian di sekolah, ada yang mahu keputusan yang lebih baik kerana anggap prestasi anak mereka sederhana sahaja, dan ada juga yang mahu anak mereka terus mengekalkan kecemerlangan,” tambahnya.
“Terdapat peningkatan dalam bilangan kanak-kanak yang mengikuti tuisyen bahasa Melayu kebelakangan ini kerana tuisyen bukan lagi untuk murid yang lemah sahaja,” ujarnya.
Tuisyen untuk bina asas kukuh
Jika dahulu ibu bapa cenderung mendapatkan bantuan tuisyen bagi mata pelajaran Bahasa Melayu apabila anak mereka menghampiri peperiksaan penting seperti PSLE atau Sijil Am Pelajaran (GCE) peringkat ‘O’, kebelakangan ini, guru tuisyen berkata semakin ramai ibu bapa yang menghantar anak mereka pada usia lebih muda, termasuk murid di peringkat tadika dan awal sekolah rendah.
Ibu empat anak, Cik Raudah Iskandar, menghantar anak sulungnya ke kelas tuisyen bahasa Melayu ketika kanak-kanak itu di Darjah 4, namun bagi tiga lagi anaknya, mereka masuk lebih awal.
“Anak-anak saya mengambil bahasa Mandarin di tadika dan hanya didedahkan kepada bahasa Melayu apabila memasuki sekolah rendah.
“Saya masukkan anak sulung saya ke tuisyen kerana saya tidak mempunyai cukup masa untuk membimbingnya, dan saya lihat dia pun mengalami kesukaran dengan subjek itu,” kongsi suri rumah itu.
“Pengalaman itu mengajar saya. Jadi apabila tiba giliran anak bongsu saya, saya memutuskan untuk memasukkannya ke dalam kelas tuisyen bahasa Melayu ketika berumur enam tahun untuk membantunya membangunkan asas lebih kukuh sebelum memasuki sekolah rendah,” tambahnya.
Kesedaran ibu bapa tentang pentingnya membina asas bahasa sejak kecil merupakan satu perkembangan positif kerana penguasaan bahasa merupakan proses yang bertahap, kata Cik Hayati.
“Kanak-kanak perlu terlebih dahulu memahami makna perkataan sebelum mereka dapat menggunakannya dalam ayat, memahami petikan atau menghasilkan penulisan yang baik,” kata Cik Hayati.
“Jika seorang murid mempunyai kosa kata yang sangat terbatas ketika di Darjah 4 atau Darjah 5, guru perlu membantu murid tersebut membina asas bahasa sambil mempersiapkannya untuk tuntutan peperiksaan yang semakin mencabar,” tambahnya.
Bagi Encik Noorhisyam, beliau mendapati ibu bapa biasanya mula mendapatkan khidmat tuisyen apabila anak-anak mereka mula menghadapi kesukaran dalam mata pelajaran Bahasa Melayu.
“Selalunya ini berlaku apabila murid di Darjah 3 kerana waktu inilah mereka akan mula mengambil ujian di sekolah,” ujarnya.
Namun ada juga ibu bapa yang memilih memulakan tuisyen lebih awal, iaitu ketika anak mereka di Darjah 1 atau Darjah 2, bagi memastikan asas bahasa yang baik, tambah beliau.
“Ini merupakan satu langkah yang positif. Pembelajaran bahasa tidak sepatutnya hanya diberikan perhatian apabila peperiksaan semakin hampir,” kata Encik Noorhisyam.
Cik Hafizah berkata keperluan menghantar anak lebih awal, iaitu di peringkat prasekolah, menjadi lebih mendesak bagi mereka yang kurang mendapat pendedahan kepada bahasa Melayu.
Ini termasuk mereka yang tidak mengikuti pelajaran bahasa Melayu di prasekolah.
Selain itu, beliau melihat permintaan untuk tuisyen bahasa Melayu bagi kanak-kanak seawal lima tahun, terutama daripada ibu bapa yang mahu membuat persediaan untuk Ujian Kemasukan Madrasah (MET) yang diadakan pada pertengahan tahun Tadika 2.
Cabaran kosa kata lemah
Dalam membimbing murid yang memerlukan sokongan bagi subjek Bahasa Melayu, guru tuisyen menyebut penguasaan kosa kata yang terhad sebagai antara kesukaran yang paling kerap mereka temui.
“Kelemahan itu memberikan kesan berantai terhadap hampir semua aspek pembelajaran bahasa Melayu,” kata Cik Hayati.
Memberi contoh, Cik Hafizah berkata dalam pertuturan atau ujian lisan, ada murid mempunyai idea untuk dibincangkan tetapi sukar menyampaikan pendapat kerana tidak tahu perkataan untuk digunakan.
Akibatnya mereka sukar membina ayat lengkap dan bermakna, dan tidak dapat menghuraikan idea dengan jelas.
Dalam penulisan karangan pula, keterbatasan kosa kata menyebabkan murid cenderung menggunakan perkataan dan ayat yang mudah.
Ada juga yang menggunakan bahasa percakapan yang kurang sesuai dalam penulisan karangan.
Mereka juga sukar mengembangkan idea dan menceritakan sesuatu peristiwa dengan lebih terperinci atau deskriptif, menjadikan jalan cerita mendatar dan kurang baik.
“Keterbatasan kosa kata seolah-olah membuat murid terperangkap dalam satu kitaran yang sukar diputuskan.
“Melainkan mereka diberi lebih banyak pendedahan, peluang untuk menggunakan bahasa Melayu dan bimbingan yang berterusan,” kata Cik Hafizah.
Bagi murid Darjah 6, Encik Noorhisyam mendapati bahagian penulisan karangan dan kefahaman memerlukan perhatian yang lebih.
Ini kerana murid bukan sahaja perlu memahami petikan atau gambar yang diberikan malah perlu mampu mengembangkan idea, menggunakan kosa kata yang sesuai dan menyusun jawapan dengan baik.
“Satu perkara yang saya selalu tekankan kepada murid ialah mereka perlu memahami bahasa, bukan sekadar menghafal jawapan. Tidak guna menghafal frasa berbunga jika tidak tahu cara menggunakannya,” tambah beliau.
Sementara itu bagi pelajar peringkat menengah, Cik Hayati berkata kelemahan kosa kata akan diburukkan lagi dengan masalah kurang pengetahuan am tentang isu semasa yang amat diperlukan untuk cemerlang dalam lisan dan karangan.
Perlu pemikiran kritis, manfaatkan teknologi
Dalam masa beberapa tahun akan datang, Cik Hafizah menjangkakan penguasaan bahasa Melayu bukan lagi sekadar tentang mengetahui kosa kata dan tatabahasa, atau membina ayat yang betul.
Murid turut diharapkan dapat berfikir secara kritis, mengembangkan idea dan menyampaikan pandangan dengan jelas serta teratur dalam bahasa Melayu.
“Tuntutan dalam peperiksaan juga semakin menekankan kemahiran berfikir.
“Misalnya, dalam ujian lisan, murid bukan sahaja perlu memahami situasi yang diberikan, tetapi juga mengenal pasti nilai yang sesuai, mengaitkannya dengan situasi tersebut dan menghuraikan pandangan mereka,” kata Cik Hafizah.
Selain itu, kecerdasan buatan (AI) dijangka menjadi sebahagian daripada pembelajaran bahasa Melayu pada masa hadapan.
Murid malah sudah pun menggunakan AI untuk mencari maksud perkataan atau membantu mereka menyampaikan idea dalam bahasa Melayu.
Cik Hayati berkata beliau amat menggalakkan pelajar untuk memanfaatkan teknologi untuk membantu pembelajaran mereka.
“Alat atau aplikasi penterjemahan boleh membantu mereka untuk menyampaikan idea dengan lebih baik.
“Proses pencarian makna itu sendiri merupakan proses pembelajaran yang akan membantu mereka mendapatkan dan mengingat kosa kata baharu,” katanya.
Cik Hafizah pun tidak menafikan keupayaan menggunakan teknologi dengan bijak akan menjadi salah satu kemahiran penting dalam pembelajaran bahasa Melayu.
“Walau bagaimanapun, saya berharap dalam kita bergerak ke arah pembelajaran yang lebih moden, kita tidak mengetepikan asas penguasaan bahasa.
“Murid tetap perlu mempunyai kosa kata yang mencukupi, menguasai tatabahasa dan mampu menyampaikan idea sendiri, sama ada secara lisan mahupun penulisan. Mereka juga perlu diberi lebih peluang untuk menggunakan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian,” kata Cik Hafizah.
Encik Noorhisyam pun berpendapat bahawa asas pembelajaran bahasa tidak akan berubah, dan kanak-kanak masih perlu membaca, menulis, mendengar dan bertutur untuk menguasai sesuatu bahasa.
“Teknologi boleh membantu mempercepatkan proses pembelajaran, tetapi ia tidak boleh menggantikan kepentingan komunikasi sebenar dan interaksi antara manusia,” ujarnya.
Panduan oleh guru tuisyen: jadikan bahasa Melayu sebahagian kehidupan keluarga
Budayakan amalan membaca buku Melayu
– Bacakan buku kepada bayi, baca buku bersama anak di peringkat prasekolah, sediakan bahan bacaan untuk anak di peringkat sekolah rendah, sesuai dengan tahap mereka. Buku dwibahasa pun sesuai dibaca.
– Cari makna perkataan bersama-sama jika tidak tahu. Ini dapat menunjukkan contoh yang baik kepada anak-anak
– Untuk pelajar menengah, wajibkan anak baca ‘Berita Harian’ setiap hari
Tonton rancangan atau video dalam bahasa Melayu bersama
– BoBoiBoy, Ejen Ali dan Upin & Ipin sesuai untuk anak di peringkat sekolah rendah. Anak dapat mendengar bahasa Melayu digunakan dalam pelbagai situasi harian dan melihat bahawa bahasa Melayu juga boleh menjadi bahasa yang menyeronokkan serta dekat dengan kehidupan mereka, bukan sekadar subjek yang perlu dipelajari untuk peperiksaan.
Berbual menggunakan bahasa Melayu
– Lakukan kerja rumah bersama, contohnya mengemas dan memasak, dan gunakan bahasa Melayu – apa yang mampu dan tidak perlu baku atau gramatis sepenuhnya
– Galak anak ceritakan semula sesuatu pengalaman dalam bahasa Melayu. Walaupun perbualan tersebut ringkas, ia dapat membantu mereka membina keyakinan dan memperluas kosa kata.
– Jangan takut untuk gunakan bahasa Melayu di rumah walaupun dalam bentuk bahasa pasar dan rojak. Apa yang lebih penting ialah pendedahan kepada kosa kata yang digunakan dalam kehidupan seharian.
Bercuti di Malaysia
– Lihat dan dengar penggunaan bahasa Melayu dalam kehidupan seharian
Bagi ibu bapa yang kurang yakin berbahasa Melayu:
– Gunakan buku cerita, bahan bacaan dan sumber digital sebagai panduan
– Minta anak ajar mereka perkataan baharu yang dipelajari di sekolah. Ini menjadikan pembelajaran bahasa kegiatan bersama dan bukannya tanggungjawab anak semata-mata.
– Galak anak bercerita tentang kegiatan harian mereka dalam bahasa Melayu. Berikan mereka masa untuk menyusun kata-kata dan bersabar ketika mendengar, walaupun mereka mengambil masa untuk menyampaikan sesuatu. Sokongan dan galakan sebegini dapat membantu anak membina keyakinan untuk bertutur dalam bahasa Melayu.
“
“Terdapat kesedaran yang semakin meningkat dalam kalangan ibu bapa tentang kepentingan mendapatkan sokongan tambahan bagi pembelajaran bahasa Melayu untuk anak-anak mereka.”“
“Saya sedar bahawa meskipun saya boleh bertutur dan menulis dalam bahasa Melayu, mengajar anak saya bahasa tersebut merupakan satu cabaran yang berbeza... Saya sendiri tidak tahu bagaimana hendak memulakannya. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk mendapatkan bantuan daripada mereka yang lebih arif dalam bidang ini.”