Kanak-kanak yang lahir pada 2020 meluangkan dua hingga tiga tahun pertama kehidupan mereka dalam dunia yang jauh lebih kecil.

Pada tempoh ketika kanak-kanak belajar paling banyak tentang orang lain, mereka kurang berpeluang ke taman permainan, menghadiri majlis hari jadi atau berinteraksi dengan orang dewasa yang tidak dikenali.

Ramai yang berbulan-bulan melihat orang dewasa memakai pelitup yang menutup bahagian bawah wajah ketika mereka sedang belajar memahami ekspresi muka.

Sebahagian besar interaksi sosial awal mereka juga berlaku melalui skrin. 

Mereka dapat melihat dan mendengar, tetapi tidak mengalami interaksi timbal balik yang membina naluri sosial.

Ada juga yang memulakan prasekolah lebih lewat berbanding kohort terdahulu, di peringkat Nurseri 1 atau Nurseri 2 dan bukannya playgroup ketika berusia 18 bulan.

Ini menyebabkan mereka kehilangan beberapa bulan pengalaman belajar dalam kumpulan.

Kurikulum kami menunjukkan jurang ini dengan jelas kerana banyak aktiviti dibangunkan berasaskan kerjasama antara kanak-kanak.

Misalnya, dalam Hands-On Discovery Projects, di mana satu kelas meneroka satu persoalan besar sepanjang satu penggal, lebih ramai kanak-kanak menunggu untuk diberikan peranan daripada mengambil inisiatif memilih peranan sendiri.

Dalam kohort terdahulu, kanak-kanak berebut untuk menentukan siapa melakukan apa dan ini merupakan sebahagian daripada keseronokan kegiatan tersebut.

Selain itu, sepanjang proses penyesuaian diri seperti sesi orientasi, kegiatan bermain dan hari pertama persekolahan, kanak-kanak ini memerlukan lebih banyak masa untuk membiasakan diri dengan perpisahan daripada ibu bapa mereka.

Bukan kerana ia lebih sukar atau lebih beremosi, tetapi kerana tempoh penyesuaian mereka menjadi lebih panjang.

Proses yang sebelum ini mengambil masa seminggu kini boleh mengambil masa hingga tiga minggu.

Namun, kumpulan murid-murid ini juga mempunyai banyak kekuatan. 

Mereka lebih selesa menggunakan alat digital dan mengikuti rutin yang tersusun, sering mempunyai hubungan yang sangat rapat dengan keluarga, dan telah melalui pengalaman menghadapi gangguan besar dalam kehidupan sejak kecil.

Keupayaan menyesuaikan diri itu ada, cuma ia belum banyak diuji dalam persekitaran yang dipenuhi orang yang tidak dikenali.

Lebih sokongan bangunkan kemahiran

Kanak-kanak ini memerlukan lebih banyak sokongan dalam perkara seperti pengurusan emosi; rundingan dan penyelesaian konflik dengan rakan sebaya; keupayaan menyuarakan keperluan sendiri, contohnya, memberitahu orang dewasa bahawa mereka tidak memahami sesuatu; dan keupayaan menghadapi situasi yang tidak dijangka.

Namun, sebenarnya ini bukan empat masalah yang berasingan. 

Di sebalik semuanya terdapat satu perkara utama iaitu keyakinan diri.

Keyakinan diri bukan bermaksud seseorang itu lantang bersuara atau suka menjadi tumpuan. 

Ia adalah kepercayaan dalaman kanak-kanak bahawa mereka boleh mencuba sesuatu, dan jika mereka menghadapi kesukaran, mereka boleh meminta bantuan.

Kanak-kanak yang mempunyai kepercayaan ini lebih mudah mengawal emosi, berunding dengan orang lain dan menyuarakan pendapat, kerana mereka tidak menganggap perkara tersebut sebagai sesuatu yang menakutkan.

Sebaliknya, kanak-kanak yang tidak mempunyai keyakinan tersebut akan menghadapi kesukaran dalam empat aspek itu, walaupun setiap kemahiran diajar secara berasingan.

Pupuk keyakinan diri

Kemahiran literasi dan numerasi sememangnya penting.

Namun, kemahiran ini jarang menjadi masalah utama pada permulaan persekolahan awal tahun.

Kemahiran yang paling membantu kanak-kanak mengharungi penggal pertama ialah keyakinan diri, dan perkara yang menarik tentang keyakinan diri adalah ia bukan sifat semula jadi yang dimiliki atau tidak dimiliki seseorang kanak-kanak.

Ia terdiri daripada beberapa komponen khusus yang boleh diajar termasuk:

– Mengurus diri sendiri seperti membawa beg sekolah, membeli makanan dan pergi ke tandas tanpa bantuan

Ini dilakukan melalui rutin harian yang membina kebebasan sejak peringkat playgroup lagi, berasaskan prinsip kami yang membenarkan kanak-kanak bergelut terlebih dahulu sebelum campur tangan orang dewasa

– Berani bercakap dengan orang dewasa yang tidak dikenali

Ini dilakukan dengan memberi peluang kepada setiap kanak-kanak untuk bersuara dalam suasana yang tidak memberi tekanan

– Ikut arahan dan kekal fokus pada tugasan yang mencabar dengan membina daya tahan untuk duduk, mendengar dan memberi perhatian mengikut tahap perkembangan yang sesuai

– Mampu menerima kesilapan atau apabila tidak menjadi yang terbaik

– Menyertai dan kekal dalam kumpulan kanak-kanak yang tidak dikenali

– Sesuaikan diri melalui Lawatan Pengalaman Sekolah Rendah bagi murid Tadika 2 yang memberi pengalaman seperti beratur di kantin, menggunakan tandas dan membiasakan diri dengan saiz kampus sebelum Januari bermula.

Persekitaran yang hanya berasaskan permainan mungkin menghasilkan kanak-kanak yang ceria dan mampu meluahkan diri, tetapi mereka berisiko ketinggalan menjelang penggal dua di sekolah rendah jika asas akademik tidak dibina.

Sebaliknya, persekitaran yang terlalu menumpukan latihan akademik boleh menghasilkan kanak-kanak yang berkemampuan tetapi tidak berani mengangkat tangan untuk bertanya kerana mereka melihat kesilapan sebagai sesuatu yang perlu dielakkan.

Seorang kanak-kanak mungkin memperoleh markah tinggi, tetapi jika dia tidak tahu cara menyertai sekumpulan kanak-kanak yang sedang bermain, dia mungkin menghabiskan setiap waktu rehat bersendirian.

Tiada jumlah kerja rumah yang mampu mengatasi masalah itu.

Cabaran bulan pertama di Darjah 1

Cabaran utama ialah skala persekitaran baru, dan kesannya terhadap keyakinan diri.

Seorang kanak-kanak berpindah daripada kelas yang mempunyai kira-kira 20 murid bersama dua orang dewasa yang dikenali, kepada kelas yang mempunyai 30 orang murid atau lebih, di mana guru yang mengajar bertukar beberapa kali sehari, dan tiada siapa yang sentiasa memeriksa sama ada mereka benar-benar memahami arahan yang diberikan.

Sebab itulah murid Tadika 2 di sini mengikuti lawatan Pengalaman Sekolah Rendah. 

Beratur di kantin dan menggunakan tandas di bangunan yang tidak dikenali buat kali pertama pada November adalah pengalaman yang sangat berbeza berbanding melakukannya pada 2 Januari, hari pertama persekolahan.

Selain itu, antara cabaran yang paling kerap dikongsi oleh ibu bapa ialah:

– Di kantin sekolah

Kanak-kanak perlu memilih makanan, beratur, mengendalikan wang dan makan di kantin sekolah dalam tempoh yang singkat.

Ramai kanak-kanak pulang ke rumah dalam keadaan lapar pada beberapa minggu pertama, dan ia jarang berpunca daripada makanan itu sendiri.

– Dengar arahan

Di prasekolah, arahan biasanya disampaikan terus kepada kanak-kanak.

Di Darjah 1, kanak-kanak perlu memberi perhatian kepada arahan tersebut sendiri.

– Urus barang

Kanak-kanak harus ingat apa yang perlu dibawa ketika berpindah dari satu bilik ke bilik lain.

Sebahagian besar tekanan awal sebenarnya berkaitan perkara-perkara pentadbiran yang kecil.

– Bina persahabatan

Cabaran ini terutama bagi kanak-kanak yang memasuki sekolah seorang diri tanpa rakan daripada prasekolah yang sama.

– Keletihan

Ini merupakan cabaran terbesar dan hampir selalu kelihatan di rumah. Kanak-kanak menangis pada waktu petang, cepat marah atau enggan ke sekolah pada pagi Isnin.

Ramai ibu bapa menganggapnya sebagai masalah berkaitan sekolah, sedangkan biasanya ia hanyalah proses tubuh menyesuaikan diri dengan hari yang lebih panjang.

Tiga perkara untuk diberi tumpuan

Ketiga-tiga perkara ini sengaja diselaraskan dengan apa yang sedang berlaku di dalam bilik darjah kerana pembelajaran hanya benar-benar berkesan apabila ia dipraktikkan di sekolah dan di rumah.

– Beri semula peluang untuk berdikari

Apa sahaja yang masih dilakukan oleh orang dewasa untuk si anak, seperti berpakaian, mengemas beg sekolah, mengurus keperluan ke tandas, membuka bekas makanan atau menghabiskan makanan dalam tempoh tertentu, perlu diserahkan tanggungjawab itu kepada mereka sekarang, ketika kesilapan masih tidak membawa sebarang akibat yang besar.

Ia akan mengambil masa lebih lama dan mungkin menjadi berselerak, tetapi itulah tujuan sebenarnya.

Setiap tugas yang diserahkan semula kepada anak merupakan satu langkah kecil dalam membina kepercayaan bahawa mereka mampu mengurus diri sendiri.

– Bina kemahiran sosial dan emosi secara sengaja

Di sekolah, perkara ini berlaku apabila kanak-kanak perlu berkongsi bahan, membahagikan peranan dan belajar untuk tidak bersetuju, tanpa menyebabkan keseluruhan aktiviti gagal.

Di rumah, bentuk latihan yang setara ialah mendedahkan anak kepada kumpulan yang tidak dikenali, membenarkan mereka memesan makanan sendiri, bertanya kepada pustakawan atau menyapa penjaga kedai.

Latih satu ayat sehingga menjadi kebiasaan:

“Maaf, saya perlukan bantuan.”

Biarkan mereka kalah dalam permainan.

Biarkan mereka cuba menyelesaikan pertikaian kecil sendiri sebelum orang dewasa campur tangan.

– Tetapkan rutin dan waktu tidur

Mulai sekitar November, ubah waktu tidur dan bangun secara beransur-ansur, bukannya secara mendadak pada Januari.

Bantu anak membina keupayaan untuk duduk dan memberi perhatian selama kira-kira 20 hingga 25 minit.

Bacalah bersama-sama setiap hari, bukan untuk menguji pencapaian tetapi untuk keseronokan, dan berjalan-jalan bersama anak ke kawasan sekolah, lihat pintu pagar sekolah dan persekitarannya. 

Kebiasaan dengan sesuatu tempat merupakan cara paling mudah untuk membina keyakinan diri.

Jangan terlalu menekan anak dengan latihan yang berlebihan.

Semangat yang sudah pudar pada November sukar untuk dipulihkan semula apabila tiba Mac.

Biar anak belajar melalui pengalaman

Jangan lihat tahun 2020 sebagai satu kekurangan yang perlu ditebus.

Generasi ini memulakan kehidupan mereka dalam keadaan yang luar biasa, tetapi peluang untuk belajar berinteraksi dengan orang lain masih belum tertutup. 

Apa yang mungkin terlepas dari segi pengalaman berulang masih boleh diperoleh di taman permainan, di ruang awam kejiranan, di rumah saudara-mara dan di dalam bilik darjah yang dipenuhi tiga puluh wajah baharu.

Kanak-kanak bukanlah individu yang rapuh. 

Mereka cuma mempunyai kurang pengalaman, dan pengalaman boleh diperoleh di mana-mana.

Berikan tumpuan kepada keyakinan diri sebelum kandungan pembelajaran.

Kanak-kanak yang percaya bahawa, “saya boleh mencuba, dan jika saya menghadapi kesukaran saya boleh meminta bantuan”, akan dapat mempelajari perkara lain kerana mereka tidak takut untuk mencuba.

Sebaliknya, kanak-kanak yang mahir tetapi takut untuk mencuba tidak akan berkembang sepenuhnya, tidak kira seawal mana mereka mula belajar membaca.

Pembelajaran ialah perjalanan mereka. 

Biarkan mereka menerokainya.

Galakkan mereka bertanya.

Benarkan mereka bergelut.

Sokong proses pemikiran mereka.

Setiap satu daripada prinsip ini sebenarnya merupakan panduan kepada orang dewasa, bukan kepada kanak-kanak.

Dan yang paling sukar untuk diamalkan oleh kebanyakan orang dewasa ialah membenarkan anak-anak bergelut dan belajar melalui pengalaman mereka sendiri.

Penulis ialah ketua pemerolehan di Little Paddington Preschool.