Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesanan tegas filem ‘Oppenheimer’ buat saintis

Jul 24, 2023 | 5:30 AM
CHRISTOPHER NOLAN: Berharap filem ‘Oppenheimer’ akan membawa kesedaran kepada saintis dan pengkaji di Lembah Silicon agar bertanggungjawab terhadap teknologi baru yang dicipta dan boleh membawa bahaya kepada manusia.
CHRISTOPHER NOLAN: Berharap filem ‘Oppenheimer’ akan membawa kesedaran kepada saintis dan pengkaji di Lembah Silicon agar bertanggungjawab terhadap teknologi baru yang dicipta dan boleh membawa bahaya kepada manusia. - Foto AFP
SERBA SALAH: Filem ‘Oppenheimer’ menyelongkar kisah pakar fizik, J. Robert Oppenheimer, yang rasa bersalah mengenang bom yang dicipta boleh memusnahkan kota sebagaimana yang berlaku di Hiroshima.
SERBA SALAH: Filem ‘Oppenheimer’ menyelongkar kisah pakar fizik, J. Robert Oppenheimer, yang rasa bersalah mengenang bom yang dicipta boleh memusnahkan kota sebagaimana yang berlaku di Hiroshima. - Foto UIP

Ketika pakar fizik, J. Robert Oppenheimer, mengetahui bahawa kota Hiroshima sudah pun musnah ekoran ledakan bom, beliau mula menyesali peranannya dalam mencipta bom.

Oppenheimer malahan menangis dan melahirkan rasa kesalnya kepada Presiden Amerika Syarikat pada ketika itu, Encik Harry S. Truman, dalam satu pertemuan bersama tokoh negara itu.

Encik Truman pula mengejeknya kerana cengeng dan enggan menemuinya lagi.

Kisah sebenar itulah yang membuatkan pengarah dan penulis naskhah filem terkini Oppenheimer, Christopher Nolan, 52 tahun, berharap apabila saintis di Lembah Silicon menyaksikan filemnya yang ditayang di pawagam sejak Jumaat lalu, mereka akan dapat mengaitkan diri mereka dengan takrifan peristiwa yang cuba disampaikannya.

Nolan menyertai panel saintis dan salah seorang penulis buku American Prometheus (buku yang mencetus idea buat filem Oppenheimer), Kai Bird, untuk berbincang mengenai filem itu selepas sesi pratonton Oppenheimer baru-baru ini, lapor laman The Verge.

Kebanyakan hadirin di acara itu adalah saintis yang tertawa tentang gurau senda dan ego pakar fizik dalam filem itu. Beberapa wartawan hadir di acara berkenaan.

Apabila ditanya moderator forum, Chuck Todd, daripada rancangan Meet The Press, apa yang beliau harap Lembah Silicon dapat belajar daripada filem itu, Nolan yang mengarah filem Inception dan Interstellar berkata:

“Saya fikir saya ingin mereka di Lembah Silicon belajar tentang konsep bertanggungjawab. Lagi-lagi dengan wujudnya kecerdasan buatan (AI). Ia adalah kemungkinan yang menakutkan. Sangat menakutkan.”

Beliau merujuk pada pelbagai inovasi teknologi yang dibangunkan Lembah Silicon sedang syarikat-syarikat di situ pula enggan mengesahkan bahaya yang mereka secara berulang wujudkan dengan ciptaan baru atau eksperimen mereka.

Walaupun Nolan tidak merujuk kepada sebarang syarikat, tidak sukar untuk mengenal pasti yang mana menjadi sasarannya. Syarikat seperti Google, Meta dan Netflix bergantung pada algoritma untuk mendapatkan dan mengekalkan pengguna. Kerapkali pula, wujud kesan berbahaya daripada pergantungan itu.

Yang paling ketara adalah sumbangan Meta pada pembunuhan beramai-ramai di Myanmar.

Kini, jelas Nolan, ramai pengkaji AI merujuk pada tempoh yang mereka hadapi kini sebagai ‘detik Oppenheimer’.

“Mereka lihat pada filem saya ini dan tahu saintis mempunyai tanggungjawab kepada dunia apabila mereka membangun teknologi baru. Sebab, siapa tahu kadangkala ciptaan mereka itu boleh menjahanamkan dunia. Oppenheimer adalah filem yang meminta anda berjaga-jaga,” ujar Nolan lagi.

Filem itu dibintangi Cillian Murphy, Robert Downey Jr., Florence Pugh dan Emily Blunt.

Watch on YouTube
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg