Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Pesta Buku Kanak-Kanak angkat karya pengarang, pelukis ilustrasi tempatan

Pesta diadakan dari 20 hingga 22 Jun, pelbagai kegiatan menarik diatur buat seisi keluarga
Jun 19, 2025 | 5:30 AM
pesta buku kanak-kanak, nafa, karya tempatan 
Bengkel ‘Memupuk Minat Membaca Melalui Penceritaan’ direka khas untuk ibu bapa dan pendidik meneroka bagaimana kegiatan penceritaan dapat menyemai minat membaca dalam kalangan kanak-kanak kecil. - Foto FACEBOOK SBPA

Pesta Buku Kanak-Kanak Singapura (SCBF) kembali pada 2025 dengan bengkel, perbincangan, pelancaran buku dan pengalaman menarik untuk pembaca muda dan keluarga mereka.

Pesta yang akan diadakan di Akademi Seni Halus Nanyang (Nafa) dari 20 hingga 22 Jun itu dianjurkan sempena sambutan ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura (SG60).

Ia memberi tumpuan kepada suara dan warisan tempatan dengan mempromosikan buku kanak-kanak oleh pengarang dan pengilustrasi tanah air yang mencerminkan kepelbagaian budaya di negara ini.

Bengkel, perbincangan dan kegiatan akan diadakan pada ketiga-tiga hari, manakala pameran pelukis ilustrasi buku berlangsung setiap hari dari 21 Jun hingga 6 Julai, dari 12 tengah hari hingga 7 malam.

Ini tahun kedua SCBF diadakan setelah pertama kali dianjurkan pada 2024.

Pesta itu dianjurkan oleh Persatuan Penerbit Buku Singapura (SBPA) dan Nafa, Universiti Seni Singapura (UAS).

Pelancaran buku

Dua buku bergambar kanak-kanak akan dilancarkan di SCBF 2025, iaitu Sly the Fly dan Nasi Lemak Emak.

Ilustrasi bagi kedua-dua buku ialah penerima Hadiah Buku Pengilustrasi Pelajar pada 2024.

Sly the Fly merupakan karya R.S. Robbie dan dilukis pelajar Nafa, Debbie Yuen dan Jessley Sim.

Nasi Lemak Emak ditulis Elda Zarifah Zamri, seorang guru sekolah rendah dan dilukis pelajar Nafa, Elly Sabrina Arun dan Leow Jiayee.

Projek itu membolehkan pengilustrasi pelajar melihat karya mereka dihidupkan melalui penerbitan, daripada penghasilan konsep kepada karya seni yang dicetak.

Bengkel Kanak-Kanak

Keluarga boleh menjangkakan 12 bengkel menarik untuk kanak-kanak, daripada membuat mainan berbentuk kucing kepada menghasilkan makhluk fantasi.

Dalam sesi yang diilhamkan karya pengilustrasi, Jemma Dreams of Sushi misalnya, kanak-kanak berpeluang mengukir susyi mereka sendiri menggunakan tanah liat berwarna-warni.

Kegiatan lain termasuk membuat siput menggunakan manik dan barangan kraf lain, yang bertujuan merangsang minda muda melalui seni, permainan dan penerokaan imaginatif.

Perbincangan Panel

Ceramah di pesta itu akan meneroka topik yang dekat dengan hati ramai, termasuk peranan penting datuk dan nenek dalam kesusasteraan, humor dan celik emosi, serta kuasa penceritaan dwibahasa.

Peserta berpeluang mengikuti perbincangan panel ‘Kuasa Nenek – Mengapa Nenek Menjadi Watak Yang Menarik’ (Ah Mah Power – Why Grandmothers Make Compelling Characters) pada 21 Jun.

Pengarang akan membincangkan bagaimana nenek, dengan kebijaksanaan, kemesraan dan cara mereka yang unik, telah menjadi watak yang dicintai dalam sastera kanak-kanak.

Ceramah itu turut menyentuh tema keluarga, warisan dan penghijrahan yang terdapat dalam kisah, Grandpa Yeh’s Journey South, yang menceritakan perjalanan seorang datuk dari Swatow (dikenali juga sebagai Shantou), China, ke Singapura.

Hadirin juga dapat mendengar pandangan daripada penulis terkenal termasuk pengarang yang memenangi anugerah, Emily Lim-Leh; pencipta siri, My BFF Is an Alien, Vivian Teo; dan pengilustrasi yang meraih ilham daripada warisan, Quek Hong Shin.

Kegiatan dalam bahasa Melayu atau dwibahasa

Komikkan Ceritaku – Bengkel Penulisan Kreatif: Membina Dunia Cerita Kita

Bengkel ini mengundang pelajar berusia 10 hingga 15 tahun menyertai dan mempelajari cara memperhalusi jalan cerita dan watak serta membangun dunia cerita.

Program ini dikendalikan oleh penulis siri, Zac Rushd dan Haron dan Holmes, Hassan Hasaa’Ree Ali.

Tarikh dan masa: 21 Jun, 9.30 pagi hingga 12.30 tengah hari

Bayaran: $10 seorang

Daftar melalui e-mel: komikkanceritaku@gmail.com

Memupuk Minat Membaca Melalui Penceritaan

Bengkel ini direka khas untuk ibu bapa dan pendidik meneroka bagaimana kegiatan penceritaan dapat menyemai minat membaca dalam kalangan si cilik.

Sesi selama sejam setengah itu akan memperkenalkan peserta kepada pelbagai pendekatan membaca yang digunakan di prasekolah, serta menunjukkan cara menjadikan penceritaan lebih bersifat interaktif, menyeronokkan dan bermakna.

Bengkel itu akan menampilkan segmen penceritaan menarik, kegiatan kraf, perkongsian daripada pendidik, sesi soal jawab interaktif, serta persembahan penceritaan istimewa oleh kanak-kanak.

Buku yang diketengahkan dalam acara ini termasuk, Feri Menjaga Kelestarian Laut dan Kayan Perlu Bantuan, hasil karya Raudhah Alias.

Tarikh dan masa: 21 Jun, 4 hingga 5.30 petang

Bayaran: $20 seorang

Daftar di laman web: www.scbf.sg

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg