Subuh
5:38
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pesta Perdana: Berkorban apa saja demi kelainan 'Raksasa', 'Kultus' bawa ganjaran buat pengarah

M. Raihan Halim, Mahfuz Mazlan, kongsi jerih payah arah kerja seni terbaik dengan kemenangan terbesar
Mar 06, 2021 | 06:37 PM



PENGARAH dan penulis naskhah drama dan telefilem, M. Raihan Halim dan Muhammad Mahfuz Mazlan, dikenali sebagai karyawan kreatif yang berani meneroka idea baru di luar zon selesa kisah sosial masyarakat Melayu.



Kesungguhan memacu nyala rasa dan inovasi ilham mereka membawa pada kejayaan terbesar pada acara meraikan dunia televisyen Melayu Singapura, Pesta Perdana ke-16, di Teater Mediacorp pada Jumaat (5 Mac).



Telefilem cereka sains ngeri Raksasa arahan dan tulisan Raihan, 39 tahun, daripada Papahan Films, yang disajikan sempena ulang tahun ke-20 Suria, memenangi empat anugerah.



Ia adalah  bagi kategori Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Khas/Antologi) dengan kemenangan buat Lim Kay Tong; Drama Khas Terbaik; Skrip Terbaik (Drama) buat Raihan dan Alia Farhana serta Suntingan Terbaik buat Zaini Nasser.



Siri drama Kultus terbitan Konxepz Productions yang terhasil daripada semangat ingin tahu Mahfuz, 46 tahun, sebagai pengarah yang terbaca tentang kumpulan kultus di kawasan Upstate New York pula meraih tiga anugerah.



Ia adalah bagi kategori Drama Terbaik; Arahan Terbaik (Drama) dan Videografi Terbaik (Drama) buat Shaiful Reezal Tajri.



'RAKSASA' KESINAMBUNGAN KENALKAN PEMBAHARUAN SUSULI 'FIRASAT', 'SR115'



Ketika ditemui selepas acara tersebut, Raihan berkata:



“Kami menganggap Raksasa, sebuah telefilem cereka sains dengan skrip dwibahasa Melayu dan Inggeris yang ditayangkan serentak bagi dua saluran berbeza, Suria dan Channel 5, sebagai berkongsi dunia yang sama dengan projek awal kami, Firasat.



“Alhamdulillah, Suria berani mengambil cabaran merealisasikan projek ini. Saya harap usaha Papahan Films dapat membantu pihak penerbitan lain pun memikirkan ilham baru untuk disajikan buat penonton Singapura.



“Saya gembira melihat Konxepz Productions menghasilkan Kultus dan kini Distopia. Justeru, sajian televisyen kita akan sentiasa ada evolusi. Kami sendiri melihat peredaran drama yang keluar dari kebiasaan drama sosial – Firasat, 9 Nyawa, SR115 dan Raksasa.”



Beliau gemarkan persaingan sihat antara syarikat penerbitan berbeza di Singapura. Tujuannya adalah agar mereka saling dapat mendorong satu sama lain ke arah menjana pembaharuan dalam dunia televisyen Melayu Singapura.



“Cabaran  menghasilkan Raksasa terletak pada mewujudkan  kesan visual yang berkesan. Kami mendapatkan khidmat karyawan animatronik dari Thailand.



“Secara peribadi pula, memandangkan penggambaran dibuat di kelong, selama tiga hari saya tertekan sampai tidak boleh tidur,” jelas Raihan.



PROJEK AKAN DATANG PAPAHAN FILMS...



Papahan Films bakal mengusahakan telefilem buat Channel 5, Sephia dan drama saspens ‘thriller’ Identiti yang mengisahkan tentang budak lelaki yang hilang 20 tahun lalu tetapi tiba-tiba muncul dan membawa persoalan apakah dia seorang penyamar?



“Kami masih dalam rundingan menentukan pelakon Identiti, sama ada ingin mendapatkan pelakon kacukan legenda dari seberang, Susan Lancaster atau Deanna Yusoff.



“Mudah-mudahan konsep penceritaan yang berbeza dapat menarik nama besar ini. Setiap kali saya teringatkan kisah orang hilang dan kemudian didapati mati seperti kes pembunuhan Felicia Teo yang digali semula selepas 13 tahun, bulu roma saya berdiri.



“Idea Identiti sudah terbetik di fikiran sejak dua tahun lalu. Sepatutnya penggambaran dirancang di Eropah tetapi pandemik mengubah segalanya. Inilah norma baru dunia penerbitan yang menguji kreativiti. Tak perlu berkeluh-kesah...kita buat sahaja yang terbaik,” ujar Raihan lagi.



Beliau juga tidak sabar menanti filem seram arahannya Ibu yang dibintangi model seberang Tambak, Alicia Amin dan bakat remaja, Nur Sabrina Nasir, ditayangkan dalam bentuk video permintaan (VOD) dan pawagam. Tayangan yang sepatutnya dibuat tahun lalu ditunda kerana pandemik Covid-19.



Mengulas harapannya buat dunia penerbitan televisyen Melayu, beliau berkata:



“Saya harap kami semua akan terus pacukan semangat bikin sesuatu yang kreatif dan berbeza bagi menghiburkan penonton di sini. Meneroka sesuatu di luar kebiasaan memang menawarkan cabaran yang sangat menarik."



KEMENANGAN 'KULTUS' DATANG DENGAN PENGORBANAN KERINGAT, JIWA RAGA ...



Mahfuz pula melihat kemenangan Kultus sebagai membawa pengertian besar dek pengorbanan seisi pasukan termasuk pelakon dan kru penerbitan yang meninggalkan keluarga sebulan bagi menjalani penggambaran di Amerika.



“Kami berdepan dengan bermacam cabaran. Ada yang sakit berminggu tetapi terus berlakon. Ada yang hampir kehilangan kaki kerana luka beku dalam cuaca serba dingin.



Kultus adalah drama yang menelan kos banyak dan menggunakan logistik berskala besar di luar kampung halaman kita di Singapura. Ia tidak semudah bikin drama cinta romantis.



“Kali pertama saya usulkan idea ini kepada penerbit eksekutif Salleh Abdul Samad dan penerbit Iskandar Ramli, timbul tanda tanya, "Ah?" dan mereka payah menghadamnya. 



“Tapi dek pujuk rayu saya ‘si gila ni’, Alhamdulillah, Kultus direalisasikan dan inilah hasil penat lelah dan pengorbanan kami sepasukan,” tambahnya.



Antara cabaran yang dihadapi adalah mencari lokasi penggambaran terpencil di tengah hutan yang pastinya tidak dikunjungi pelancong. Ada juga perkara darurat yang perlu dilakukan apabila seorang pelakon pembantu tiba-tiba menyatakan beliau ingin mengundurkan diri.



“Pada waktu darurat itulah, saya meletakkan lampiran pos di Facebook, mencari siapa yang kenal pelakon Singapura yang bekerja di New York. Kami kemudian perlu buat penyesuaian mengubah pelakon pembantu yang sedia ada dan diberikan watak 'upgrade' ini  buatnya,” ujar Mahfuz.



Bergerak sebagai syarikat kecil dengan keterbatasan sumber tetapi idea nekad dan berani, risiko diambil dengan keyakinan segalanya dapat diatasi.



“Tidur di besmen yang lebih sejuk daripada peti sejuk pada paras suhu - 28 darjah Selsius terpaksa diharungi kerana tiada tempat lain. Pelakon utama Syarif kata suhu besmen lebih sejuk daripada peti sejuk buat beliau simpan 'churros' Chulop (perniagaan kendalian Syarif di Singapura)! Peti sejuk Chulop hanya -22 darjah Selsius.



“Dengan kemenangan ini, saya hargai segala pengorbanan pelakon dan kru kerja Kultus.



“Harapan saya agar semua rakan seperjuangan dalam sektor penerbitan drama dan telefilem akan terus berkarya dengan berani kerana tanpa faktor ini, kita tidak dapat menghasilkan sesuatu yang berbeza.



“Kini banyak wadah penstriman seperti Netflix, iflix dan Nurflix. Produk di negara lain semakin meningkat mutunya.



“Kalau kita di Singapura terlalu selesa, kita akan ketinggalan. Terharu saya lihat usaha pihak penerbitan seperti Papahan Films, Poetry In Motion, Adara Pictures dan By Apparatus meneroka sesuatu yang baru.



“Siapa tahu suatu hari nanti, lebih banyak rancangan televisyen Melayu Singapura dapat ditayangkan di wadah penstriman raksasa bagi tatapan penonton bukan Melayu?” kata Mahfuz lagi, menaruh harapan besar.



Sebanyak 30 anugerah disampaikan pada Pesta Perdana tahun ini.



Di dalam satu klip yang dirakam awal, Menteri Perhubungan dan Penerangan, Encik S. Iswaran, yang juga Menteri Bertanggungjawab bagi Hubungan Perdagangan, mengucapkan tahniah kepada semua calon Pesta Perdana di atas kerja seni yang boleh dicontohi.



Mengimbas kembali cabaran Covid-19, beliau menghargai usaha industri media mendidik dan menghibur menonton dalam tempoh sukar ini.



*****



SENARAI PEMENANG PESTA PERDANA



Anugerah Perdana Emas (Pencapaian Sepanjang Hayat): Suhaimi Jais



Personaliti Wanita Paling Popular: Nurul Aini



Personaliti Lelaki Paling Popular: Norman Ishak



Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Bersiri): Rosita Hussin (Tekan Minyak Siri 2)



Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Bersiri): Sufian Ahmad (Bujang Hantar)



Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Pembantu (Drama Bersiri): Marisa Yasmin (Poskad Dari Alhambra)



Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Pembantu (Drama Bersiri): Wan Hanafi Su (Forensik)



Pelakon Wanita Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Khas/Antologi): Rosita Hussin (Mamaku Bibikku)



Pelakon Lelaki Terbaik Dalam Watak Utama (Drama Khas/Antologi): Lim Kay Tong (Raksasa)



Pelakon Terbaik Dalam Watak Pembantu: Eka Mairina (Mamaku Bibikku)



Pelakon Terbaik Dalam Watak Komedi: Mastura Ahmad (Runcit)



Pelakon Harapan Terbaik: Farah Lola (Lesung Siri 2)



Pengacara Terbaik (Rancangan Hiburan): Najip Ali (Muzika Ekstravaganza 2019)



Pengacara Terbaik (Rancangan Informasi): Mastura Ahmad (Wahhhnita)



Bintang Cilik Terbaik: Nik Aqimi (Couple Cosmo)



Drama Terbaik: Kultus (Konxepz Productions)



Drama Khas Terbaik: Raksasa (Papahan Films)



Rancangan Hiburan Terbaik: Te Ra Seh! 4.0 (Mediacorp Eaglevision)



Rancangan Informasi Terbaik: Hak Siapa Siri 2 (Bigtree Pictures)



Rancangan Kanak-Kanak Terbaik: Mama Ku Sayang (Oak3 Films)



Rancangan Audio Terbaik: Tamu Warna: Expresso Warna (Mediacorp Warna 942; Segmen ini dikendalikan deejay Warna, AB Shaik, Mariam Mas'od)



Arahan Terbaik (Drama): Muhammad Mahfuz (Kultus)



Arahan Terbaik (Rancangan Hiburan): Fadila Abdul Wahid (Suria Elektra 2020)



Skrip Terbaik (Drama): M. Raihan Halim/Alia Farhana (Raksasa)



Skrip Terbaik (Rancangan Hiburan): Netty Fiona Othman (Suria Elektra 2020)



Skrip Terbaik (Rancangan Informasi): Najip Ali, Umie Isa (Semangat Emas)



Videografi Terbaik (Drama): Shaiful Reezal Tajri (Kultus)



Suntingan Terbaik (Drama): Zaini Nasser (Raksasa)



Lagu Tema Terbaik: Cinta Tersembunyi (Hilang Kasih Di Sarajevo) - Marcell Siahaan (Komposer dan Penyanyi), Adrian Kitut Purwanto (Komposer), Chandra 'Che' Johan (Penulis Lirik)



Rancangan Paling Popular: Kek Champion Siri 2 (The Moving Visuals Co)



 



 



 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >