BANGKOK: Pertubuhan Pentadbiran Wilayah Phuket (PAO) pada 2 Disember telah menguji kumpulan bas elektriknya, yang dibeli untuk mengurangkan pencemaran udara, meredakan kesesakan lalu lintas dan menggalakkan pembangunan bandar pintar.
Projek bernilai 121.7 juta baht ($4.8 juta) itu bertujuan menggantikan 24 trak penumpang atau songthaew, dengan bas elektrik membawa penduduk tempatan serta pelancong yang ingin ke tarikan pelancong, sekolah atau kawasan beli-belah.
Sebagai permulaan, bas baru itu akan melalui tiga laluan merentas pulau peranginan tersebut, iaitu dari Taman Saphan Hin ke pusat beli-belah Central Phuket, dari Jeti Chalong ke pasar Super Cheap, dan dari Jeti Rassada ke kawasan kejiranan Suan Nam.
Pegawai PAO berkata lebih banyak laluan akan ditambah kemudian, seperti dari Lapangan Terbang Antarabangsa Phuket ke Pantai Rawai.
Tambang akan ditetapkan pada 15 baht seorang untuk warga Thailand dan warga asing, manakala percuma bagi pelajar, sami, warga emas dan orang buta.
Bas tersebut dijangka beroperasi sepenuhnya menjelang Januari atau Februari 2025.
Presiden PAO Phuket, Encik Rewat Areerob, berkata projek itu penting untuk menangani masalah lalu lintas dan pencemaran udara, yang boleh dikaitkan dengan pertumbuhan ekonomi yang tinggi dan jumlah penduduk yang melonjak.
Setiap bas, yang memuatkan 21 penumpang, dilengkapi dengan ciri canggih, termasuk Sistem Kedudukan Sejagat (GPS), pengecasan USB, kamera litar tutup (CCTV) dan aplikasi telefon pintar untuk melihat jadual. – Agensi berita.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg