Subuh
5:41
Syuruk
6:59
Zuhur
1:05
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Pingat Budaya puncak jaya bakti seni 60 tahun RAHIMAH

Nov 25, 2021 | 05:30 AM



SEKITAR 55 tahun lalu pada 1966, penghibur legenda Singapura, Rahimah Rahim, mencipta sejarah dengan menjayakan drama Melayu pertama di kaca televisyen Channel 5, Pak Awang Temberang.



Putaran masa yang terasa pantas tetapi penuh diselubungi jerih payah dan suka duka membawanya beredar merentasi fasa dunia hiburan Singapura dan serantau yang berbeza tahun demi tahun.



Cukup ikonik dalam kalangan warga Nusantara, Rahimah, yang bakal mencecah usia 66 tahun pada 9 Disember nanti, kekal relevan seiringan dengan malar segarnya lagu-lagu sajiannya, Gadis dan Bunga, Bebas, Hati Yang Rapuh, Cabaran Cinta serta Selamat Berhari Raya.



Malah, dalam tempoh mencabar pandemik, beliau terus menghiasi kaca televisyen dengan membawa pesan penting dalam klip video Sudah Divaksinasi?, sebagai gesaan buat warga emas segera mendapatkan suntikan vaksin Covid-19.



Semalam, bakti setianya selama enam dekad kepada dunia seni dan hiburan Singapura diiktiraf apabila beliau disampaikan Presiden Halimah Yacob dengan anugerah berprestij Pingat Budaya yang ditadbir Majlis Seni Kebangsaan (NAC) di Istana.



Seorang lagi penerima Pingat Budaya tahun ini adalah penulis novel pembangunan sejarah dan kebudayaan Singapura, Encik Chia Joo Ming, 62 tahun.



Diperkenalkan pada 1979, Pingat Budaya mengiktiraf individu dengan kecemerlangan artistik serta sumbangan dan komitmen pada seni yang memperkaya dan mencorak landskap budaya Singapura.



Sejauh ini, 130 penggiat seni daripada pelbagai disiplin telah menerima Pingat Budaya.



Setiap penerima Pingat Budaya diberi akses memanfaatkan hingga $80,000 daripada Dana Pingat Budaya bagi mengendalikan projek atau inisiatif memajukan kesenian di Singapura.



Ketika ditemui di Esplanade, Rahimah terharu dek pengiktirafan yang diberi kepadanya sebagai menjunjung warisan arwah ibu bapanya, penyanyi Rahim Hamid dan pelakon Mariam Baharum.



Beliau juga berterima kasih kepada sahabat seninya, Rudy Djoe, kerana mencalonkannya bagi anugerah ini dengan kerjasama Wadah Seni Entertainment, konsultan media Encik Suhaimi Jais, Majlis Pertubuhan Wanita Singapura (SCWO) dan pertubuhan tidak mengaut untung, WINGS (Inisiatif Wanita dalam Meningkat Usia dengan Berjaya).



Pada 2017, Rahimah dipilih SCWO sebagai anak seni yang diabadikan dalam Balai Kemasyhuran Wanita Singapura.



Selain menjadi juruhebah aplikasi radio 'orang lama', Vintage Radio SG, Rahimah juga membantu memperkasa wanita melalui kelas latihan vokal bersama WINGS.



Beliau juga teruja dilibatkan dalam Perbarisan Hari Kebangsaan (NDP).



"Apabila menerima Pingat Budaya ini, saya terharu dan serta-merta teringatkan arwah ibu bapa saya yang memperkenalkan seni dan mengasuh saya sebagai anak seni sejak usia saya enam tahun lagi.



"Tidak sedetik pun saya menyesali 60 tahun berada dalam bidang ini kerana ia banyak membina kekuatan, keyakinan dan semangat positif saya.



TIDAK SEGLAMOR MANA



"Jadi anak seni tidak seglamor mana seperti yang disangka sesetengah orang. Ia kerjaya yang memerlukan pengorbanan. Ia satu tanggungjawab dan amanah besar yang saya pegang teguh sampai hari ini.



"Ia datang bersama disiplin, komitmen, pengurusan masa, keikhlasan, semangat memberi dari hati dan nyala rasa yang sentiasa mencari sesuatu yang baru dalam bentuk ilmu untuk dipelajari agar kekal relevan.



"Ibu bapa saya terapkan dalam diri saya semangat dan nilai anak seni, yang walau sesusah mana pun, akan terus mencuba. Pada usia 14 tahun, saya dah mula ikut bapa saya menyanyi. Saya amati cara bapa saya menyanyi dan menghiburkan orang di kelab. Kalau orang gembira atau tersentuh dengan persembahan kita, ia amat bermakna.



"Jangan pernah rasa diri ini bagus dan hebat. Ibu saya garang dan dia bukan jenis yang akan memuji kerja seni saya. Lebih banyak kritiknya daripada kata-kata pujian. Namun, saya tetap hargai kerana ia buat saya tidak mudah lupa diri," jelas Rahimah, yang bermula dalam dunia seni pada usia enam tahun menerusi filem Cathay-Keris, Korban Kasih, pada 1961.



Dunia menyanyi membawanya jauh dalam kembara seni susuli terbitan album EP pertamanya, Mana Ibumu, di bawah terbitan Panda Records dan hasil bimbingan arwah bapa saudaranya, Allahyarham Datuk Ahmad Daud.



Rahimah memenangi peraduan Kimi Koso Star di Tokyo, Jepun, pada 1974 dan mula menjadi artis rebutan dengan peminat dari Singapura, Malaysia dan Brunei.



Beliau memiliki 12 album solo dan beberapa album EP dengan lagu 'hit' yang sesetengahnya dihasilkan penulis lirik seperti Datuk Habsah Hassan bagi menggambarkan luahan rasa dan kisah hidupnya.



"Saya bertuah mempunyai rangkaian kenalan yang akrab dalam kalangan komposer dan penulis lirik, Fauzi Marzuki, Datuk Johari Salleh dan Kak Chah (panggilan buat Habsah). Mereka sahabat dan mereka mengenali jiwa saya. Mereka kaji cita rasa penyanyi.



"Kak Chah, misalnya, tahu kisah hidup saya. Apabila beliau tulis lirik, kata-katanya tepat dan ini membuatkan penjiwaan saya 'sampai' ke hati pendengar," tambahnya.



Menyanyi di kelab malam dan mewakili Singapura bagi pelbagai pesta lagu antarabangsa dan sambutan Hari Singapura juga membawa kaki Rahimah melangkah ke negara luar yang warna-warni seninya dapat dirasakan.



TEBARKAN SAYAP



"Saya pernah bertemu Gloria Estefan dari Miami Sound Machine yang merendah hati walaupun bertahap antarabangsa.



"Saya pernah tonton Diana Ross membuat persembahan dengan auranya yang luar biasa di Amerika. Setiap kali ada kesempatan mengembara, saya akan timba ilmu atau menonton artis antarabangsa membuat persembahan.



"Kita belajar daripada cara mereka menghibur, menyanyi dan berinteraksi dengan penonton.



"Malah, saya berpesan kepada bakat seni Melayu kita agar jangan setakat lihat persada seni Melayu sahaja untuk anda salur bakat. Dunia hiburan luas. Tebarkan sayap ke peringkat nasional dan antarabangsa jika boleh. Jangan setakat di zon selesa.



"Saya banyak belajar daripada visi dan misi karyawan muzik seperti Dick Lee dan Jeremy Monteiro. Kita biasakan diri kita menyesuaikan diri dengan budaya kerja dan konsep pemikiran golongan bukan Melayu. Saya pun berpengalaman menyanyi genre Cantopop dan jaz.



"Pokoknya, jangan berhenti belajar dan terima pembaharuan seperti tuntutan bikin rancangan digital.



"Apabila saya diberi peluang mengendalikan rancangan nostalgia bagi Vintage Radio SG, saya sahut cabaran baru kerana ingin belajar ilmu penyiaran dan mengajak warga sebaya saya pun ambil tahu tentang penuaan aktif, kesihatan fizikal dan minda, program warga emas dan isu semasa.



"Proses pembelajaran saya malah tidak terhenti. Sekarang sedang belajar piano pula," jelasnya.



Dengan ganjaran yang diterima bagi Pingat Budaya, Rahimah bertekad mengusahakan projek seni penerusan warisan berupa rakaman lagu dengan artis sebayanya seperti Sanisah Huri, artis generasi muda dan cucu-cucunya.



"Pokoknya, projek saya akan bersifat inklusif dengan jenama Singapura, menggabung lama dan baru serta turut mengetengahkan warisan seni keluarga saya.



"Kedua-dua anak saya tidak berminat ikut jejak saya dalam bidang seni. Tetapi, dalam kalangan tiga cucu saya, ada juga menampakkan kecenderungan menyanyi, main muzik dan berseni," kongsinya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >