PERDANA Menteri Lee Hsien Loong telah mengucapkan selamat Hari Jururawat menerusi satu pos di laman Facebooknya pagi semalam.
Beliau turut menyampaikan penghargaannya kepada semua yang memilih untuk berkhidmat sebagai jururawat, satu kerjaya yang amat mencabar, menurutnya.
"Jururawat kita berkerja keras di sebalik tabir, menjaga mereka yang sakit serta membantu para doktor dalam merawat pesakit.
"Tugas tersebut (dan juga pesakit) mungkin mencabar, dan tidak ramai yang sanggup dengan waktu pekerjaan yang begitu lama dan mempunyai ketabahan untuk berjaya dalam bidang ini," katanya.
Tambahnya, jururawat bukan sahaja menyediakan penjagaan yang terbaik tapi akan melakukan apa sahaja untuk memastikan keselesaan pesakit dan juga keluarga dan mereka yang tersayang.
Mengakhiri pos tersebut, Encik Lee berkata:
"Terima kasih atas kerja keras anda untuk menyediakan penjagaan, keselesaan dan keceriaan kepada mereka yang memerlukan.
"Jika anda mengenali seorang jururawat atau pernah dibantu oleh mereka, tunjukkan penghargaan anda kepada mereka!"
Singapura menyambut Hari Jururawat pada 1 Ogos setiap tahun sempena mengenang permulaan kejururawatan di negara ini pada 1885.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg