Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Popular dengan peminat, Ustaz Tamliikhaa tahu 'jaga diri'

Selain pujian, perkongsian di media sosial turut terima kecaman
Aug 24, 2020 | 5:30 AM
PERKONGSIAN DI MEDIA SOSIAL: Ustaz Tamlikhaa percaya perhatian yang diterimanya melalui dakwah dan pendekatan melalui media sosial membuatnya lebih terangsang untuk memaparkan keindahan Islam melalui tingkah lakunya. Beliau bergambar bersama isteri, Cik Marghfirah. - Foto ihsan USTAZ TAMLIKHA KAMSANI
PERKONGSIAN DI MEDIA SOSIAL: Ustaz Tamlikhaa percaya perhatian yang diterimanya melalui dakwah dan pendekatan melalui media sosial membuatnya lebih terangsang untuk memaparkan keindahan Islam melalui tingkah lakunya. Beliau bergambar bersama isteri, Cik Marghfirah. - Foto ihsan USTAZ TAMLIKHA KAMSANI -

BELIAU dibesarkan dalam keluarga yang menitiberatkan agama dan mengutamakan Al-Quran.

Namun, Ustaz Tamliikhaa Khamsani akui pernah wujud detik dalam kehidupan beliau apabila Al-Quran 'diabaikan'.

"Pada masa itu, saya belajar di luar negara. Pada mulanya memang macam seronok kerana kita bebas, tapi lama-lama rasa kosong," katanya.

Buntu pada masa itu, seperti hilang arah tujuan, menurut Ustaz Tamliikhaa, 29 tahun.

Beliau perlahan-lahan kembali kepada Al-Quran, dimulakan dengan salah satu surah paling ringkas: Surah Annas.

"Saya bukanlah seorang yang alim warak, memang banyak kesilapan dan dosa. Saya ingin berkongsi supaya tak nak orang lain lakukan perkara yang sama," katanya dalam satu temu ramah dengan Berita Harian baru-baru ini.

Menurutnya lagi, asatizah muda biasanya tahu cara yang lebih berkesan untuk mendekati golongan belia dan berkongsi ilmu pengetahuan.

"Memang saya tidak mewakili semua asatizah muda. Tetapi sebagai seorang yang muda, kita biasanya lebih bertenaga, kita tahu cara lebih berkesan untuk dekati golongan belia melalui media sosial.

"Kita tahu lingo perbualan mereka dan ini dapat memudahkan kita, tapi sebagai seorang yang muda juga biasanya ilmu itu ada tapi kurang pengalaman," katanya.

Justeru, mereka perlu berhati-hati apabila ingin menyatakan sesuatu dan perlu mendapatkan lebih banyak pendedahan dan pemahaman tentang masyarakat dan juga melalui kajian sendiri.

AKTIVITI MEDIA SOSIAL

"Sejujurnya, saya mula IG ini bukan untuk mendekali belia pun, gambar pertama saya adalah kerepek Hari Raya," selorohnya.

Namun, lama-kelamaan, pengikut atau followers berkembang dan kini Instagram beliau diikuti lebih 19,000 orang.

Katanya, beliau mula sedar followersnya semakin berkembang pada 2017.

"Lama-kelamaan saya lebih berhati-hati di media sosial kerana apa kita kata orang akan ikut, mungkin kerana orang rasa sama frequency.

"Tapi takut juga kalau saya kata perkara yang salah dan orang ikut," ujarnya.

Perhatian yang bertambah itu turut menambah rasa tanggungjawab sosialnya.

"Kesopanan kita kena jaga, dan secara tak langsung ini mendidik saya untuk jadi lebih berhemah dan beradab.

"Kita tak nak orang lihat kita tak tentu arah, tapi kita juga tak nak Allah lihat kita sebagai seseorang yang tak jaga agama," katanya.

Ustaz Tamliikhaa juga kini menganjurkan sesi IG Live - yang biasanya ditonton sekitar 1,000 orang pada satu-satu masa - yang membincangkan isu-isu sosio-agama termasuk jodoh dan mistik.

Beliau akui ada yang berpendapat topik-topik tersebut remeh, terlalu berulang dan hanya clickbait.

"Topik-topik ini walaupun berulang, ia tak lapuk dek zaman. Perkara ini berterusan.

"Kadang-kadang soalan yang saya terima juga sama, tapi jawapan yang akan saya beri sekarang berbanding dengan tiga tahun dulu mungkin berbeza," ujarnya.

POPULARITI

Apabila ditanya mengenai reaksi isterinya terhadap populariti beliau, Ustaz Tamliikhaa tersenyum sambil menjeling ke arah isterinya, Cik Marghfirah Md Mokhtar, 26 tahun, yang turut hadir bersama semasa temu ramah tersebut.

"Memang secara umum, nisbah pengikut lelaki kurang berbanding pengikut perempuan.

"Kadang-kadang mereka follow kerana suka dengan kandungan yang dimuat naik, tapi saya khususnya kena jaga diri, mungkin ada yang hanya berbual biasa tapi bagi isteri, pandangannya dah lain. Jadi saya yang kena tahu batasannya," katanya.

Namun secara am, reaksi keluarga terhadap aktivitinya di media sosial baik dan mereka hanya ingin beliau melakukan yang terbaik.

"Ayah sering ingatkan saya, sebelum jawab apa-apa soalan selidik dahulu, kalau tak tahu diam-diam.

"Ada kalanya bila tersalah fakta atau dalil, mereka akan tegur saya, dan ingatkan untuk selalu bertanya dengan orang yang lebih arif," katanya.

Ustaz Tamliikhaa adalah keluarga enam beradik dan kesemuanya terdidik dalam ilmu Al-Quran.

Walaupun secara umumnya beliau menerima sambutan baik terhadap inisiatif perkongsiannya di media sosial, Ustaz Tamliikhaa akui turut menerima kecaman serta tohmahan dari orang ramai.

Beliau akur pada mulanya berasa marah.

"Kadang-kadang orang komen memang sakitkan hati, ada kalanya tak relevan pun.

"Tapi saya percaya kita tak boleh nak gembirakan semua orang di dunia, mana yang gembira OK, Alhamdulillah. Kalau tak, tak mengapa... nak buat apa?"

Beliau menambah, kini bila beliau memuatnaik sesuatu, beliau akan mempersiap minda bahawa pujian, kecaman semua boleh tiba-tiba datang, jadi tidak menggelabah dan melenting jika menerima kecaman.

BIODATA

Nama: Ustaz Tamlikhaa Khamsani

Usia: 29 tahun

Keluarga: Berumah tangga dengan Cik Marghfirah Md Mokhtar, 26 tahun sejak 2019; baru dikurniakan seorang anak

Pendidikan: Madrasah Irsyad Zuhri Al-Islamiah

Madrasah Wak Tanjong Al-Islamiah

Universiti Malaya (UM), ijazah sarjana muda Pengajian Melayu

Universiti Nasional Singapura (NUS), Program Sarjana (Kajian)

Pekerjaan: Pengasas Islamic Value Meal, Pensyarah bebas dan guru Al-Quran

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg