Tidak lama lagi, kecohlah ruangan media sosial saya dengan komen pedas mahupun melucukan rakan Facebook, Instagram dan X mengenai peraduan realiti yang akan menceriakan penghujung November dan sepanjang Disember pencinta dunia hiburan Nusantara.
Saya sudah pun mendengar rasa teruja sesetengah daripada mereka yang biasanya akan tidur awal pada Ahad kerana keesokan harinya bekerja.
“Mulai 24 November, dah tak tidur siang lagi setiap Ahad. Dah siap beli kerepek pedas, emping kentang dan siap kopi untuk minum bercawan-cawan. Sebab Gegar Vaganza (GV) nak mula lagi di saluran Astro Ria,” jelas seorang teman.
Yang seorang lagi menanti 3 Disember sebab akan bermulalah adu bakat 24 peserta Singapura yang memang boleh melantun suara mereka dengan baik di samping memiliki kemahiran menularkan diri di media sosial.
Nama peraduannya, Kaki Nyanyi, sebagai susulan pada populariti siri program realiti, Berani Nyanyi!, yang diadakan selama dua musim.
Konsep program realiti memang menarik pengikut yang tidak berfikir dua kali untuk ‘park’ diri mereka di depan televisyen dan menonton sampai ke penghujungnya aksi bintang-bintang kegemaran.
Jika saya kaji sejarah program realiti di Internet, tidak dapat disangkal lagi bahawa konsep realiti ini sudah wujud sejak zaman dahulu kala apabila saya membesar dengan menonton program lucu 30 minit, Candid Camera.
Kamera video tersembunyi merakam aksi spontan orang yang tidak menyedari dalam sesuatu situasi yang melucukan, memalukan atau membingitkan.
Kadangkala pula, pengacara akan bertemu kanak-kanak berusia tiga atau empat tahun yang tidak begitu endahkan jawapan yang mereka beri.
Tahu-tahu, si pengacara akan memberitahu individu yang disasarkan ini: “Smile! You’re on Candid Camera!”
Candid Camera dengan pengacara ikonik, Allen Funt, boleh disifatkan sebagai program hiburan realiti pertama di kaca televisyen. Ia disiarkan antara 1948 dengan 2014.
Cuma sejak memasuki dunia televisyen baru lebih dua dekad lalu, kita terdedah pada bermacam program realiti seperti Survivor, Amazing Race, Hell’s Kitchen, Running Man, The Bachelor dan The Bachelorette.
Bagaimanapun, kerana keterbatasan masa yang saya miliki kerana komitmen tugas, saya seperti ramai orang lagi, lebih senang dengan peraduan nyanyian realiti daripada genre lain seperti sukan, memasak, percintaan dan kembara.
Bagi saya, ada beberapa sebab mengapa program seperti GV dan saya yakin Kaki Nyanyi dapat menyuntik satu unsur kebangkitan seni buat industri hiburan mahupun bagi seseorang peserta atau artis yang melibatkan diri.
GV menjadi ruang bagi artis yang kadangkala terasa ‘mendak’ atau ‘hidup segan mati tak mahu’ (dari segi kerjaya) untuk kembali ke pentas lebih gah dengan ramai pengikut.
Juara GV2, Siti Nordiana Alias dan juara GV4, Datuk Wan Aishah Wan Ariffin, pernah sepi suatu ketika sebelum bergelar juara.
Orang hanya memutar lagu Memori Berkasih (Siti Nordiana dan Achik Spin) dan Janji Manismu (Aishah) berulang kali menerusi wadah penstriman atau di corong radio tetapi pada masa itu, orang tak banyak lihat mereka di acara-acara untuk khalayak ramai.
Nama mereka kembali meletup kerana masih memiliki suara emas yang disenangi ramai.
Siti Nordiana menjadi lebih aktif bahkan dibuka rezekinya dalam bidang lakonan dan pengacaraan. Kini, beliau juga nampaknya rajin di media sosial mengetengahkan sembang selambanya bersama anak bujangnya, Muhammad Rayyan Nakhaie.
Aishah pula, walau diulit pelbagai kontroversi kerana komen jujurnya, masih mempunyai sebilangan peminat yang sukakan suara merdu dan sebutan jelas lirik yang dilontarkan.
Saya lihat senarai lagu yang beliau hasilkan selepas kemenangannya di GV4 pun menggalakkan – ada sekitar lima atau enam lagu yang dirakam, lantas mengubati rasa rindu peminat.
Beliau juga pernah bikin video ‘cover’ beberapa lagu malar segar dan yang baru (oleh Budak Baru Nak Up) tetapi diberi sentuhan ‘orang lama’.
Platform peraduan seperti ini memang baik. Nak harapkan bintang kesayangan anda bikin konsert setiap tahun, manalah mampu dek kos tinggi yang diperlukan.
Justeru, boleh sahaja tonton mereka bikin persembahan yang tidak pernah anda duga seperti keluar dari zon selesa menerusi konsert mingguan GV.
Misalnya, nak tengok guru vokal dan juara GV5, Noryn Aziz, yang biasa dengan irama jaz dan R&B nyanyi lagu hip hop, GV menjadi pentas menunjukkan kemahiran. Jangan sangka artis ‘classy’ tak boleh ‘rap’ ya?
GV juga memberi peluang bagi penonton Malaysia dan Indonesia mengenali artis Singapura berbakat seperti juara GV6, Hady Mirza, Hazrul Nizam dan Fuad Rahman menyerlah.
Sewajarnya, peraduan realiti menjadi wadah menyegarkan semula atau mencipta kembali jenama seseorang artis, baik yang lama sudah tidak muncul atau ‘one-hit wonder’ (terkenal hanya kerana satu lagu).
Ketika bersembang dengan peserta Kaki Nyanyi, Sunny Jackson, atau nama sebenarnya, Kamsani Jumahat, beliau menjelaskan meskipun sudah banyak menyertai peraduan di luar negara dan tempatan, peraduan itu tetap membekalkannya dengan kemahiran generasi baru untuk memasarkan karya.
“Budak-budak ni ajar saya macam mana nak buat blog video dan TikTok secara berkesan. Saya amati dan perhalusi apa yang diperlukan penghibur masa kini untuk terus kekal relevan,” jelasnya.
Lebih menarik lagi, peraduan realiti juga menyediakan peluang bagi bakat-bakat yang menyertainya untuk bekerjasama dalam projek lagu akan datang.
Ada yang pandai menulis lagu dan ada yang bijak mencipta irama. Jadi apa kata ketepikan perbezaan dan sama-sama majukan persada seni dengan karya lebih inovatif?
Justeru, di luar pemikiran yang biasa terpahat dalam minda bahawa peraduan realiti lebih sensasi dan sarat kontroversi kerana akan timbul kisah peserta bermasam muka, kita ambil sahaja unsur positifnya.
Kalau baik, dijadikan teladan. Kalau buruk, jadikanlah sempadan. Peraduan realiti ibarat kem ‘reboot’ atau ruang latihan semula bintang yang dikhuatiri pudar ditelan masa.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg