Menduduki peperiksaan utama buat kali pertama memang mencabar dan menggentarkan.
Firdaous Shaqeel Mohamad,12 tahun, yang bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada hujung 2025, berkata:
“Adakalanya, saya mengambil masa lebih satu jam untuk menjawab satu soalan Matematik yang agak rumit.
“Mata pelajaran Matematik dan Sains memang begitu mencabar untuk saya.
“Saya rasa sedih dan hampir putus asa.”
Dia bimbang ia akan menjejas prestasinya semasa menjawab soalan untuk kededua mata pelajaran tersebut ketika peperiksaan itu nanti.
Kegusaran itu turut dirasai oleh ibu bapanya.
Bapanya, Encik Mohamad, berkata: “Apa yang saya pelajari dahulu di sekolah mungkin tidak lagi sesuai kerana cara menyelesaikan soalan untuk topik-topik yang diajarkan masa kini sudah banyak berubah.
“Kami dapati semakin sukar untuk memahami konsep-konsep baru yang diperkenalkan, terutamanya untuk mata pelajaran Matematik dan Sains.
“Saya rasa agak kecewa kerana tidak dapat membantu Firdaous mengatasi masalah yang dihadapinya.
“Pada mulanya, saya beli banyak buku ujian rampaian tapi ia tidak berkesan malah menambahkan tekanan kepada Firdaous. Nasib baik saya terjumpa maklumat tentang program tuisyen kendalian Mendaki.”
Skim Tuisyen Mendaki (MTS) telah diperkenalkan pada 1982 untuk membantu pelajar meraih prestasi lebih baik dalam peperiksaan sekolah dan di peringkat nasional.
Selaras dengan kurikulum Kementerian Pendidikan (MOE), MTS dibuka kepada pelajar Darjah 1 hingga Menengah 5 dan berlangsung selama 32 minggu.
Pada 2002, bersama Majlis Bantuan Pembangunan Masyarakat Cina (CDAC) dan Persatuan Pembangunan Masyarakat India Singapura (Sinda), Mendaki memperkenalkan Program Tuisyen Kerjasama (CTP) untuk membolehkan pelajar pelbagai bangsa mengikuti program tuisyen yang ditawarkan oleh badan-badan bantu diri tersebut.
Pada 2022, kesemua program tuisyen dan bimbingan telah disepadukan dan diberi nafas baru di bawah nama Program Tuisyen Mendaki (MTP).
Selain tuisyen, MTP menawarkan bimbingan untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris dan Matematik, dan penyeliaan kerja rumah oleh pembimbing bertauliah di Mendaki Homework Café untuk mata pelajaran Bahasa Inggeris, Matematik dan Sains.
Mujur, Firdaous mendapat bantuan tuisyen Mendaki sejak Darjah 3.
Pendekatan awal sebegitu penting dan lebih berkesan kerana ia memberi peluang untuk memantau sejauh manakah pendedahan tersebut meninggalkan kesan yang diharapkan.
Satu lagi faktor yang perlu diambil kira ialah cara belajar dan tahap kemampuan yang berbeza bagi setiap pelajar.
Oleh itu, kaliber tutor atau pembimbing juga memainkan peranan penting untuk menyediakan persekitaran yang menyokong suasana belajar.
Ini termasuk kemampuan untuk merangka bimbingan yang bersesuaian mengikut tahap kemampuan setiap pelajar.
Sejak 2015, Mendaki telah memperkenalkan rangka etika penjagaan, atau dikenali sebagai Ethics of Care (EoC) yang perlu diamalkan oleh kesemua tutor dan pembimbing MTP.
EoC menekankan rasa empati dan keprihatinan kepada emosi pelajar dan tidak hanya tertumpu kepada kemahiran akademik sahaja.
Itulah yang telah mendorong Encik Muhammad Faizal Mokhtar, seorang tutor MTP sejak 2020, untuk meneroka kaedah lain yang boleh disesuaikan dengan keperluan individu dan merangsang pelajar di bawah bimbingannya.
Sebagai tutor mata pelajaran Sains bagi Firdaous, beliau menggunakan kaedah interaktif seperti video untuk menerangkan konsep sains yang agak rumit dan mencabar.
“Saya dapati Firdaous seorang pelajar yang lebih cenderung dengan kaedah pembelajaran visual.
“Oleh itu, saya menggunakan video untuk menerangkan konsep sains yang rumit supaya ia lebih mudah difahami.
“Saya juga padankan beliau dengan pelajar lain yang boleh membantu sekiranya beliau menghadapi masalah memahami apa yang sedang diajarkan dalam kelas,” kata beliau.
Firdaous akur yang kaedah tersebut telah memberi kesan positif kepada dirinya.
“Dengan menonton video, saya dapat memahami konsep-konsep sains yang pada mulanya kelihatan sukar, dengan lebih mudah.
“Ia juga banyak membantu saya kerana ia memberi penerangan yang lebih jelas bagaimana untuk menjawab soalan-soalan yang mencabar dan ini membuatkan saya rasa lebih bersemangat untuk belajar.”
Encik Mohamad turut menyedari Firdaous mula mengamalkan beberapa tabiat baik sejak mengikuti kelas bimbingan MTP.
Antaranya, beliau lebih berminat dengan kertas latihan dan kian proaktif dalam melakukan ulang kaji pelajarannya dengan lebih kerap dan konsisten.
Berkat latihan dan bimbingan daripada tutor serta sokongan ibu bapanya, Firdaous kini lebih bersedia menduduki PSLE pada hujung 2025.
Sejak menyertai MTS, prestasi pelajarannya juga telah menunjukkan peningkatan.
“Saya berasa lebih yakin dan optimistik untuk PSLE tahun ini (2025).
“Tidak kira apa jua keputusannya nanti, saya akan berusaha dan lakukan yang terbaik semasa peperiksaan nanti.
“Nasihat saya, jangan cepat putus asa walaupun berdepan dengan sesuatu yang mencabar. Kalau boleh, jangan biarkan tekanan mengambil alih fikiran kita,” tambahnya.
Melalui program MTP, Firdaous menunjukkan peningkatan akademik yang membanggakan.
Beliau berjaya naik satu gred dalam subjek Sains dan dua gred dalam mata pelajaran Matematik.
Program MTP merangkumi penilaian berstruktur sebelum, semasa dan selepas program yang selari dengan sukatan pembelajaran.
Ini membolehkan pendidik menilai kemajuan pelajar dengan tepat serta melaksanakan campur tangan yang bersesuaian pada masanya.
Pendekatan itu memastikan setiap pelajar menerima sokongan yang diperlukan, sekali gus membuktikan keberkesanan program dalam memperkukuh pembelajaran dan pembangunan pelajar.
Program MTP menawarkan pendidikan bermutu dan mudah disertai.
Ia bertujuan membantu meningkatkan prestasi akademik pelajar dalam peperiksaan sekolah dan di peringkat nasional.
Yurannya juga telah disemak semula daripada $210 setahun kepada $10 setahun untuk setiap pelajar Melayu/Islam mulai 2022.
Sejak diperkenalkan lebih empat dekad lalu, ia telah membantu lebih 270,000 pelajar.
Untuk maklumat lanjut, sila layari laman web www.mendaki.org.sg.
Artikel ini disumbang oleh Yayasan Mendaki.
“
Saya berasa lebih yakin dan optimistik untuk PSLE tahun ini (2025). Tidak kira apa jua keputusannya nanti, saya akan berusaha dan lakukan yang terbaik semasa peperiksaan nanti. Nasihat saya, jangan cepat putus asa walaupun berdepan dengan sesuatu yang mencabar. Kalau boleh, jangan biarkan tekanan mengambil alih fikiran kita.Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg