Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Projek Disney 'Trust Again' pupuk semangat muzik tanpa sempadan

Apr 22, 2021 | 05:30 AM



Kepercayaan dan persahabatan menjadi teras lagu dalam tiga bahasa, Inggeris, Tagalog dan Thai, Trust Again. Tercetus daripada kerencaman budaya Asia Tenggara yang dipaparkan dalam animasi terkini Disney, Raya and the Last Dragon, lagu ini dihidupkan empat artis bukan calang-calang, Raisa (Indonesia); YonnyBoii (Malaysia), Matthaios (Filipina) dan SPRITE (Thailand). Apakah pengertian lagu ini buat Raisa dan YonnyBoii? BERITA HARIAN melaporkan.



PENYANYI jelita Indonesia, Raisa Andriana, terkesan dengan bermacam peristiwa dunia menyayat hati berbaur perkauman dengan sentimen anti-Asia terasa.



Antara soalan yang terbetik di hatinya: "Mengapa harus warga keturunan Asia yang bermastautin di negara Barat ini dihina, dikecam dan dibelasah di khalayak awam?"



Dalam situasi dunia menjalani tempoh berkurung sewaktu pandemik Covid-19 belum reda, adalah lebih baik umat manusia tanpa mengira kaum, agama, negara dan warna kulit ini bersatu hati serta meyakini dunia yang tenat ini akan pulih suatu hari nanti, jelas Raisa.



Di atas ingatan inilah, pelantun lagu Kali Kedua itu berbesar hati dapat terlibat dalam projek lagu motivasi Trust Again yang menyatukan bakat Asia Tenggara dari empat negara, Indonesia, Malaysia, Filipina dan Thailand.



Projek Disney ini tercetus daripada kerencaman budaya Asia Tenggara yang dipaparkan dalam filem animasi Raya and the Last Dragon.



Lagu tiga bahasa (Inggeris, Tagalog dan Thai) ini menyampaikan pesanan tentang keupayaan mempercayai orang lain dan persahabatan.



Ia mengambil semangat wirawati utama animasi ini, Raya yang menetap di bumi fantasi Kumandra.



Raya adalah puteri pejuang yang menghidupkan ciri-ciri budaya Asia Tenggara.



Selain Raisa, rapper Malaysia, YonnyBoii, penyanyi pop Filipina, Matthaios serta rapper remaja Thailand, SPRITE, menyumbang suara pada Trust Again.



Dalam satu wawancara Zoom bersama Berita Harian yang diselaraskan label rakaman Universal Music, Raisa, 30 tahun, ibu seorang anak kecil, berkata:



"Apa sahaja projek Disney tidak akan saya tolak. Trust Again khususnya bermakna dengan di sana sini, kita berdepan dengan isu perkauman di mana wujud semacam sentimen kebencian terhadap warga keturunan Asia sejak akhir-akhir ini.



"Ia amat menyedihkan. Kalaulah kita boleh bersatu hati tanpa mengira warna kulit, kaum dan agama, situasinya lebih baik lagi daripada kita berdiri seorang diri.



"Ada pepatah Indonesia yang menjadi pegangan orang Melayu juga, 'Bersatu kita teguh, berpisah kita runtuh'.



"Trust Again mengingatkan saya tentang kepentingan kita saling mempercayai dan memperkasa satu sama lain. Usah kita jatuhkan sahabat-sahabat kita.



"Menerusi kerjasama serantau ini, kita semua bersatu hati. Saya, justeru itu, bangga dapat mewakili Indonesia dan belajar daripada bakat-bakat lain termasuk 'rapper' di rantau ini."



Menyedari lagu-lagu Disney juga pencetus inspirasi dan motivasi, Raisa berkata kepercayaan itu satu aspek penting dalam membangun hubungan sesama manusia.



"Saya selalu mempercayai orang lain, kadangkala terlalu mempercayai mereka di sekeliling saya.



"Namun, bagi saya, jika niat kita baik dan kita letakkan kepercayaan kita pada orang lain atau segalanya di muka bumi ini, Tuhan akan memberikan yang terbaik buat kita.



"Cuma kalau sudah dikecewakan buat kedua atau ketiga kali, jadikanlah peristiwa ini sebagai iktibar agar usul periksa dahulu sebelum mempercayai," tambahnya lagi.



Sepanjang terlibat dalam projek ini, isteri pengacara dan pelakon Hamish Daud itu lebih akur bahawa manusia kini hidup dalam dunia muzik tanpa sempadan.



"Trust Again ini contoh segalanya tidak mustahil walau sempadan negara ditutup kerana Covid-19.



"Penerbit lagu ini di Jepun manakala kami semua di merata rantau Asia Tenggara. Projek ini membuka dunia baru buat saya.



"Mudah-mudahan, akan ada lebih banyak peluang bekerjasama dengan bakat lain di rantau ini," katanya.



Ini merupakan projek muzik kedua Raisa bersama Disney. Sebelum ini, beliau dilibatkan dalam menyanyikan lagu runut bunyi bagi Cinderella versi Indonesia, Mimpi Adalah Harapan Hati.



"Projek kali ini memberi saya peluang meneroka improvisasi vokal dan pengubahsuaian warna suara saya. Saya bebas bereksperimen.



"Kerana ia lagu baru, maka 'trademark' Raisa itu ada dalam lagu ini," katanya yang teruja jika diberi peluang meminjamkan suara emasnya bagi watak puteri Disney seperti Snow White atau Cinderella.



"Saya selalu bercita-cita ingin jadi seperti Snow White dan Cinderella, puteri yang lemah lembut walaupun personaliti saya sendiri tidak seperti itu.



"Namun, jika ditanya siapakah Puteri Disney kegemaran saya, jawapannya Puteri Jasmine daripada animasi Aladdin.



"Dia perkasa, berani, ada pemikiran sendiri dan memperjuangkan haknya walau perlu bertelagah pendapat dengan orang lain," ujar Raisa yang juga tertarik pada semangat juang watak Raya.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >