Lazimnya, Ramadan menjadi tempoh di mana orang Islam lebih cenderung ‘duduk diam’ di negara sendiri, dengan kegiatan melancong dipandang sebagai mencabar dari segi fizikal.
Namun, Ramadan tidak menjadi halangan buat segelintir pelancong untuk melihat dunia.
Ada pula perlu melakukan kerana kerja.
Mereka yang dihubungi Berita Minggu (BM) berkongsi bahawa berpuasa di perantauan membawa cabaran tersendiri.
Namun, ia menjanjikan pengalaman manis yang cukup istimewa.
Bagi pemblog pelancongan dan jurulatih kegiatan luar yang hanya ingin dikenali sebagai Cik Nurul Jalil, 31 tahun, melancong pada waktu Ramadan sudah menjadi perkara biasa sejak 2016.
Sebagai seorang pempengaruh di media sosial, Cik Nurul kerap menerima tawaran untuk ke luar negara bagi memaparkan pengalamannya di sana, tetapi tidak menolaknya walau ia bertembung dengan Ramadan.
“Sejujurnya, saya benar-benar suka menyelami budaya lain dan lihat bagaimana mereka meraikan Ramadan.
“Bagi saya, asalkan saya mampu berpuasa dan pekerjaan saya tidak menjejas ibadah, saya tidak melihat kegiatan melancong sebagai satu penghalang,” ujarnya.
Walaupun ia bukan wajib untuk golongan musafir berpuasa Ramadan, Cik Nurul berkongsi bahawa beliau tetap berusaha berpuasa. Tempoh terpanjang beliau menahan lapar dan dahaga ialah 17 jam ketika di Korea Selatan pada musim bunga 2023.
Menyentuh tentang cabaran berpuasa di luar negara, beliau berkata ia adalah mendapatkan makanan halal bagi sahur dan iftar, terutama di negara dengan pilihan halal yang sangat terhad.
“Bagi negara-negara ini, saya perlu rancang awal. Saya selalunya bawa bersama makanan yang siap dimakan sebagai ‘backup’ atau saya bergantung kepada makanan mudah seperti buah-buahan dan roti apabila tidak dapat cari restoran halal yang berdekatan,” katanya.
Cabaran lain termasuk keadaan cuaca, terutama apabila ia berbeza daripada Singapura.
Contohnya, ketika berada di Laos untuk misi kemanusiaan membina rumah anak yatim, Cik Nurul berkata cuacanya sangat panas dan lembab, menjadikan ibadah berpuasa semakin mencabar.
Dalam mengatasi cabaran berpuasa di perantauan, Cik Nurul akan secara kerap mengambil waktu rehat dan sebaik mungkin mencari ruang teduh.
Namun, di sebalik cabaran tersebut tersisip juga pengalaman manis yang tidak boleh dilupakan.
Menukil contoh menyambut Ramadan di Perth, Australia, Cik Nurul berkata masyarakat Islam tempatan di sana sangat mesra dan menerimanya dengan tangan terbuka, malah mengajaknya iftar bersama di masjid.
“Ia mengingatkan saya bahawa di mana jua anda berada di dunia ini, Ramadan membawa orang ramai bersama. Saya pelajari bahawa warga Islam di serata dunia berkongsi kemesraan yang sama, yang menjadikan Ramadan pengalaman cukup istimewa,” katanya yang berada di Kazakhstan pada awal Ramadan ketika dihubungi BM.
Bagi pramugari Cik Amira Rahmat, 31 tahun, cabaran terbesar menyambut Ramadan di perantauan ialah berjauhan daripada keluarga.
Justeru, dalam mengatasi kesunyian itu, beliau akan mencari teman di masjid tempatan supaya dapat sama-sama menghayati Ramadan bersama saudara seagama.
Menurutnya, inilah cara beliau dapat beramah mesra dengan warga dan menyaksikan bagaimana Ramadan disambut di negara lain yang mengamalkan budaya berbeza.
Hingga kini, antara kenangan berpuasa di luar negara yang terindah ialah pada 2023 semasa Cik Amira merantau ke China.
Di sana, beliau telah berkunjung ke Masjid Beida – dibina lewat Dinasti Yuan, tahun 1271 hingga 1368 – yang terletak di Qinyang, Henan, China.
Selain prasarananya yang menarik dan menakjubkan, Cik Amira berkata jemaah di sana sangat peramah.
“Memandangkan saya satu-satunya yang bukan berbangsa Cina, semua orang memandang saya dengan aneh, namun mereka sentiasa tersenyum dan sangat baik hati. Ramai yang menghampiri saya menghulurkan buah-buahan, roti Cina untuk saya berbuka puasa,” ujarnya.
Menurutnya, proses mendirikan tarawih juga menarik.
Walaupun masjid itu agak besar dengan ruang lelaki dan wanita berasingan, tarawih bagi jemaah wanita dipimpin seorang imam wanita, katanya.
“Saya sentiasa bersemangat untuk mengalami detik-detik unik sebegini, dan mengalaminya sewaktu saya mengembara dunia ibarat menghidupkan jiwa saya.
“Sepanjang tahun-tahun saya sambut Ramadan di masjid tempatan di luar negara, saya telah menjalin banyak persahabatan dan mencipta kenangan indah,” tambahnya yang berada di Finland pada awal Ramadan ketika dihubungi BM.
TIP MELANCONG DI BULAN RAMADAN:


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg