Rakyat Singapura dan penduduk setempat boleh menikmati pulangan tunai apabila mereka berbelanja di gerai penjaja dan kedai dengan menggunakan aplikasi DBS PayLah pada setiap Sabtu dari 12 Julai hingga 27 September.
Seramai 160,000 pelanggan pertama yang mengimbas dan membayar dengan PayLah di lebih 22,000 gerai penjaja, pasar dan kedai dari 8 pagi dalam tempoh ini boleh menerima pulangan tunai sehingga $3, menurut laporan The Straits Times.
Langkah itu adalah sebahagian daripada ganjaran terbaru DBS/POSB untuk meningkatkan simpanan pelanggan dan sempena ulang tahun ke-60 kemerdekaan Singapura, kata bank itu dalam satu kenyataan pada 29 Jun.
Kedai dan gerai yang mengambil bahagian akan memaparkan tag bulat ‘POSB Support Our Heartland Shops’ manakala gerai penjaja yang menggunakan kod SGQR pula akan mempamerkan pelekat ‘Imbas PayLah untuk Membayar’.
Dalam tempoh tiga bulan akan datang, bank itu akan menawarkan sekitar dua juta ganjaran pulangan tunai yang boleh ditebus oleh rakyat Singapura dan penduduk untuk pembelian menerusi DBS PayLah.
Di samping itu, pemegang kad debit dan kredit POSB boleh menikmati tawaran berharga $0.60 di kedai makanan dan minuman (F&B) yang mengambil bahagian dari 1 Julai hingga 30 September.
Restoran makanan segera KFC akan menawarkan hidangan set $6, sah sementara stok masih ada.
Tawaran ini boleh dinikmati menerusi kad POSB Everyday dan Kad Debit PAssion POSB.
Mulai 1 Ogos, pemegang kad kredit DBS/POSB boleh menebus mata ganjaran yang dikumpul dalam akaun DBS dan POSB Daily$ mereka untuk ebaucar DBS ‘Rewards Flexi’ baru di PayLah dan membelanjakannya di mana-mana tempat perniagaan dengan kod SGQR Nets yang sah.
Dari 1 Ogos hingga 30 September, pemegang kad DBS yang menebus 6,000 mata ganjaran DBS sebagai pertukaran untuk ebaucar SGD 60 DBS ‘Rewards Flexi’ akan menerima pulangan tunai tambahan $60.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg