Kadar kematian ikan yang tinggi di ladang ikan Singapura menjadi satu masalah utama bagi sektor akuakultur yang semakin merosot di sini.
Bagi menangani masalah itu, satu gabungan penternakan ikan telah menubuhkan sebuah pusat baru dengan tujuan menternak anak ikan tilapia bermutu tinggi.
Pada 20 Mei, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Persekutuan Perniagaan Agro-Makanan Singapura (Safef), Encik Ken Cheong, berkata Pusat Induk Nasional bagi ikan tilapia laut itu, menetapkan sasaran menghasilkan kumpulan pertama anak ikan tilapia yang dibiak secara terpilih menjelang awal 2026, untuk dibeli oleh ladang penternakan ikan tempatan.
Pusat berusia enam bulan yang terletak di Max Koi Farm di Lim Chu Kang itu diuruskan oleh Safef dan dibiayai Agensi Makanan Singapura (SFA), lapor The Straits Times (ST).
Pusat tersebut bertujuan menghasilkan anak ikan tilapia yang mempunyai ciri-ciri yang diingini seperti kulit merah keemasan, daya tahan terhadap penyakit, dan keupayaan membesar sehingga seberat satu kilogram.
Mempunyai telur ikan dan anak ikan bermutu tinggi amat penting bagi pengeluaran akuakultur yang berdaya maju.
Pada masa ini, ladang ikan di Singapura bergantung pada anak ikan dari luar negara, yang mutunya tidak konsisten.
Selain itu, anak ikan tersebut mungkin telah mengalami tekanan akibat perjalanan jauh, lantas mengurangkan kadar atau peratusan ikan yang dapat terus hidup, kata Encik Cheong.
Menteri Negara Kanan (Kemampanan dan Sekitaran merangkap Tenaga Manusia), Dr Koh Poh Koon, telah berkata di Parlimen bahawa kadar kematian ikan di sini boleh mencecah sehingga 80 peratus disebabkan mutu telur ikan dan anak ikan yang tidak konsisten.
Safef juga mengetuai satu gabungan penternakan yang dikenali sebagai The Straits Fish, merangkumi lima ladang ikan tilapia di Selat Johor dan beberapa tempat penetasan ikan.
Pada 2023, pasukan itu menjadi perintis dalam usaha menternak ikan tilapia air masin menggunakan kaedah mampan yang tidak memudaratkan sekitaran laut.
Ini termasuk menggunakan makanan ikan jenis pelet yang lebih berkhasiat, dan bukannya roti yang telah tamat tempoh kegunaannya, sebagai makanan ikan.
Anak tilapia yang dihasilkan oleh pusat tersebut akan dijual hanya kepada ladang ikan yang menyertai The Straits Fish atau mengamalkan kaedah penternakan mampan, kata Encik Cheong.
Ini adalah sebahagian usaha Safef meningkatkan piawaian penternakan ikan di Selat Johor, yang mempunyai 74 tempat ternakan ikan dengan sangkar terbuka setakat Oktober 2024.
Antara peniaga utama dalam The Straits Fish termasuk Heng Heng Fish Farm, Millenia Farm dan satu tempat penetasan ikan yang dikenali sebagai Century Aquaculture.
Ikan tilapia juga digelar “ayam laut” kerana ia mudah diternak dan hanya mengambil masa dari enam hingga lapan bulan untuk mencapai saiz jualan.
Sebaliknya, ikan siakap Asia memerlukan sehingga satu setengah tahun untuk membesar, walaupun harganya boleh menjadi seganda lebih mahal daripada ikan tilapia.
Satu pek filet tilapia seberat 200 gram di bawah jenama The Straits Fish berharga $6.90 di laman web pasar raya FairPrice.
Pusat Induk Nasional bagi ikan tilapia adalah antara dua kemudahan di bawah Pelan Akuakultur Singapura (SAP) untuk memperbaiki lagi sektor akuakultur di sini.
Sebuah lagi pusat induk ialah Pusat Akuakultur Marin yang terletak di Pulau St John yang dikendalikan SFA, yang telah menjalankan program pembiakan ikan siakap Asia selama bertahun-tahun.
Di pusat dua tingkat itu yang diperkenalkan oleh Safef kepada media pada 20 Mei, beberapa tangki diisi sekitar 2,500 anak ikan tilapia setiap satu - yang diperoleh daripada ladang ikan tempatan.
Pusat tersebut turut merancang mendapatkan bantuan para penyelidik universiti untuk menjalankan kajian lanjut terhadap gen ikan tilapia bagi mengenal pasti ikan yang mempunyai ciri-ciri unggul.
Ikan tilapia berjenama The Straits Fish dijual di beberapa tempat, termasuk di lapan cawangan FairPrice, Qian Hu Fish Farm dan wadah dalam talian, RedMart.
Menurut perangkaan makanan 2023 oleh SFA, ladang akuakultur Singapura menghasilkan sekitar 7.3 peratus daripada permintaan makanan laut di sini pada 2023.
Singapura menetapkan sasaran untuk menghasilkan 30 peratus daripada keperluan pemakanannya di sini menjelang 2030.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg