Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Putus jari dalam nahas motosikal tidak hambat semangat pelukis

Karya terkini yang dihasilkan termasuk potret mantan PM Jepun, Shinzo Abe dan pemain bola Liverpool
Jul 19, 2022 | 05:30 AM



APABILA pelukis potret 'seni pop', Encik Muhammad Nurman Selamat, dilanda kemalangan motosikal dalam perjalanan pulang dari pejabat pada 8 Jun lalu, antara kebimbangannya adalah dapatkah dirinya melukis seperti biasa?



Ini memandangkan jari manis tangan kanannya terputus dan perlu disambung semula manakala jari tengah tangan yang sama pula remuk teruk akibat nahas yang berlaku di Ekspreswe Rentas Pulau (PIE) di susur keluar Eunos.



Bahu dan kaki Encik Nurman, 28 tahun, turut cedera dalam kejadian di mana beliau cuba memintas ke laluan kanan jalan raya tetapi terlanggar bonggol sewaktu menuruni cerun.



Namun, berbekal kecekalan ingin terus berkarya, lulusan Diploma Kejuruteraan Aeroangkasa dari Politeknik Republic itu menghasilkan beberapa kepingan lukisan bermakna dan tepat pada masanya sepanjang menjalani cuti hospital.



Antara yang dihasilkan termasuk potret mantan Perdana Menteri Jepun, mendiang Encik Shinzo Abe, yang ditembak mati dalam satu perhimpunan baru-baru ini; pengurus pasukan bola sepak Liverpool, Encik Jurgen Klopp serta beberapa lukisan pemain Liverpool yang menentang pasukan Crystal Palace di Stadium Negara, baru-baru ini.



Ketika dihubungi Berita Harian, Encik Nurman yang karyanya pernah dipapar dalam drama Suria, Hilang Kasih Di Sarajevo, berkata:



"Dalam kesakitan dirawat di hospital selama lapan hari bulan lalu, saya dibelenggu bermacam kerisauan khususnya memikirkan hambatan pada kerjaya saya sebagai pelukis apabila dua jari sudah tidak dapat berfungsi seperti biasa kerana kemalangan ini.



"Jari manis dapat disambungkan semula tetapi ia berada dalam keadaan statik, tidak dapat bergerak untuk saya palitkan berus saya pada kanvas.



"Banyak perancangan lain terpaksa dibatalkan seperti keinginan saya mengikuti kelas menyelam dan menjalani kembara dasar lautan di Bali.



"Beberapa projek seni pun terpaksa ditunda dan dibatalkan. Saya tak nak gara-gara kemalangan ini, kerjaya saya sebagai pelukis terhenti begitu sahaja.



"Justeru, saya harus kuatkan semangat dan menyesuaikan diri dengan meneroka cara melukis yang tidak membebani saya meskipun belum sembuh.



"Saya tidak mahu jadikan kemalangan dan ujian hidup ini sebagai hambatan atau alasan untuk saya hentikan nyala rasa saya pada bidang seni."



Masanya di rumah ketika beliau cuti sakit daripada tugasan sebagai pegawai perumahan Kementerian Tenaga Manusia (MOM) yang berurusan dengan operator dormitori dan pekerja asing dimanfaatkan dengan curahan ilham seninya direalisasikan.



"Walaupun kekok melukis kini, saya cuba sedaya upaya saya untuk mengatasi segala kelemahan. Memang tempoh yang diperlukan bertambah seganda.



"Dulu sejam lebih boleh siapkan satu lukisan, sekarang melebihi dua jam," katanya.



Potret Encik Abe dihasilkan dengan beliau mencabar dirinya untuk membereskan lukisan itu secepat mungkin walaupun beliau akur jika keadaannya sihat, lukisan lebih cantik dapat dihasilkan.



"Saya ambil masa dua jam untuk siapkan lukisan ini. Tiada siapa yang menduga Encik Abe terbunuh dengan kejam dalam perhimpunan itu. Sekelip mata sahaja, kejadian itu menamatkan nyawanya.



"Saya menggunakan perlambangan warna untuk paparkan bahawa ketika perhimpunan kempen politik itu, suasana agak tenang sehinggalah serangan berlaku yang menghuru-harakan keadaan.



"Lukisan ini mempunyai semacam unsur gangguan yang mencacat-celakan karya ini. Ia menunjukkan tiada yang sempurna dalam dunia ini. Bagaimana selamat pun kita rasa sekitaran sekeliling kita, akan ada ketika ketenangan diganggu dengan genjotan peristiwa yang menggugat keamanan," jelasnya.



Beliau bercadang menyerahkan lukisan potret Encik Abe itu kepada Kedutaan Jepun di Singapura dengan orang ramai boleh menulis kata-kata sanjungan buat pemimpin yang paling lama memerintah Jepun, antara 2006 dengan 2007 serta 2012 hingga 2020.



Mengenai lukisan buat pengurus dan pemain Liverpool pula, ia merupakan hasil kerjasama Encik Nurman dengan terminal swasta elit di Lapangan Terbang Changi, JetQuay dan projek keusahawanan sosial Digital Philanthropy.



Karya beliau dipaparkan di lounge JetQuay untuk ditinjau bintang bola sepak ini.



"Memang kawalan keselamatan begitu ketat. Saya tidak dapat berinteraksi dengan pemain bola sepak ini atau bergambar dengan mereka.



"Sungguhpun begitu, saya gembira apabila dapat tahu salah seorang pemain Liverpool, Mohamed Salah atau Mo Salah minta untuk bawa pulang lukisan itu ketika beliau sedang menaiki pesawat untuk pulang.



"Alhamdulillah, tak dapat ambil gambar dengannya tetapi lukisan saya beliau bawa pulang sebagai kenangan.



"Mudah-mudahan, saya dapat lihat foto lukisan saya ini dimuatnaikkan ke Instagram beliau," jelas Encik Nurman.



Baginya, kecekalan yang dipaparkan diharap dapat memberi semangat kepada generasi pelukis muda yang masih mencari ruang mengetengahkan idea dan kerja seni mereka.



Sebelum ini, Encik Nurman pernah mengadakan pameran solo di hab sejagat bagi pemulihan individu dengan pelbagai ketagihan, Ministry of Recovery.



Beberapa kerja seninya juga pernah dipaparkan dan dijual di balai seni LivingwithArt Singapore di 315 Outram Road.



Potret hasil lukisannya boleh ditinjau di Instagram 'Norman_Artz'. Ini termasuk siri potret watak drama Korea terkenal Squid Game, wajah bintang ikonik Hollywood, Marilyn Monroe dan Audrey Hepburn serta Presiden pertama Singapura, Encik Yusof Ishak.




"Memang kawalan keselamatan begitu ketat. Saya tidak dapat berinteraksi dengan pemain bola sepak ini atau bergambar dengan mereka.
Sungguhpun begitu, saya gembira apabila dapat tahu salah seorang pemain Liverpool, Mohamed Salah atau Mo Salah minta untuk bawa pulang lukisan itu ketika beliau sedang menaiki pesawat untuk pulang.
Alhamdulillah, tak dapat ambil gambar dengannya tetapi lukisan saya beliau bawa pulang sebagai kenangan.
Mudah-mudahan, saya dapat lihat foto lukisan saya ini dimuatnaikkan ke Instagram beliau."
- Encik Muhammad Nurman Selamat, karya beliau dipaparkan di lounge JetQuay di Lapangan Terbang Changi untuk ditinjau bintang bola sepak Liverpool.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >