Topik diikuti
Pergi ke BHkuRahila kian murah rezeki berkat doa ibu bapa
Rahila kian murah rezeki berkat doa ibu bapa
JERIH payah mengharungi badai rumah tangga dan kehidupan seharian membuatkan penyanyi Singapura, Rahila Rashun, lebih menghargai sokongan ibu bapanya.
Bahkan beliau kini sering berpesan kepada teman-temannya agar tidak mengabaikan nasihat orang tua dan penting memperolehi restu dan doa mereka.
Dengan ini dilakukan di samping usaha membahagiakan ibu bapa dengan meringankan bebanan mereka, barulah rezeki itu kelihatan datang mencurah-curah.
Di ambang Syawal, Rahila, 26 tahun, yang akan muncul dalam program Hari Raya Mediacorp Suria, Sinar Lebaran 2023, pada Jumaat, berkongsi nikmat dan kesyukuran yang beliau rasakan apabila melihat peluangnya untuk menebarkan bakat seni kembali mantap.
Bapanya Rashun Baan, 57 tahun, adalah orang yang akan memandunya ke sana sini untuk acara yang dijayakan seperti perjumpaan Hari Raya bahkan turut mengambil cuti untuk menontonnya membuat persembahan di Kuala Lumpur bagi acara kerjasama Mediacorp Suria dan Radio Televisyen Malaysia (RTM), Muzika Ekstravaganza.
Syawal nanti apabila banyak perjumpaan Hari Raya diadakan di kelab masyarakat setempat, Rahila juga dibanjiri hingga 17 undangan untuk menyanyi dan teruja sibukkan diri menghibur hadirin seperti era sebelum pandemik melanda.
Kongsinya dalam satu wawancara bersama Berita Harian:
"Seperti yang ramai rakan terdekat sedia maklum, setahun dua ini memang sukar buat saya dan kini saya menjalani hidup sebagai ibu tunggal yang menjaga dua anak berusia setahun setengah dan dua tahun setengah.
"Saya takkan mampu mengharunginya tanpa sokongan dan doa papa mama saya serta adik-beradik saya. Anak-anak juga pemberi semangat dan penawar untuk saya gigih bangkitkan semula kerjaya seni saya. Merekalah pembawa rezeki.
"Sebak memikirkan perkara silam tetapi alhamdulillah, saya dapat lihat undangan yang datang mencurah. "Ini adalah tahun kelima saya terlibat dalam program Sinar Lebaran. Baru beritahu dengan papa saya... kalau tak ada undangan untuk program TV tak apalah.
"Tahu-tahu, dapat panggilan telefon dan saya tentunya selalu 'on' nak ikut serta. Apabila diberi lagu solo untuk dinyanyikan, gementar pula sebab dah lama tak nyanyi di khalayak penonton yang ramai di studio."
Menurutnya, setiap ibu inginkan yang terbaik buat anaknya. Pengorbanan yang dilakukan kini dengan bekerja keras adalah demi memastikan keselesaan hidup dua cahaya matanya.
Beliau juga enggan anak-anaknya membuat apa jua kesilapan yang pernah beliau lakukan.
"Saya selalu ingat mama dan papa yang tidak pernah berhenti menyokong saya walau apa jua keadaannya.
"Tahun lalu, saya bantu mereka siapkan rumah dan tukar langsir. Zaman dahulu apabila mama saya sihat, malam Raya kami mesti ke Geylang untuk dapatkan barangan yang dilelong di saat akhir.
"Kini rasanya kami lebih luangkan masa di rumah dan sibuk berkemas.
"Itulah yang dapat saya bantu untuk memudahkan urusan mereka yang sudah banyak bersusah payah untuk saya," katanya lagi.
Pada program, Sinar Lebaran, Rahila akan berduet dengan bakat baru Suria, Rae Saleha.
Sebelum ini, pada acara Muzika Ekstravaganza, beliau juga pernah berkongsi pentas dengan penyanyi Malaysia, Stacy dan Siti Nordiana.
Katanya: "Saya tiada masalah menyanyi dengan sesiapa. Alhamdulillah, perlu diseimbangkan suara saya yang biasanya kedengaran kuat sebab enggan menenggelamkan suara rakan duet.
"Rae adalah penyanyi yang ramah dan senang berurusan dengannya. Saya pastikan suara saya yang kuat takkan tenggelamkan suaranya yang halus.
"Apabila bergandingan dengan Siti Nordiana dan Stacy pula, saya bersemangat. Mereka adalah nama besar bahkan papa saya minat dengan Stacy. Bayangkan saya nyanyi lagu Stacy dan Stacy nyanyi lagu saya. Ia peluang yang tak dapat diperolehi di mana-mana.
"Bagi saya, walaupun mereka nama besar, kita juga harus menaiktarafkan persembahan kita dan tak perlu takut," jelasnya.