JIKA sekitar 21 tahun lalu, Rahmad Mega membawa kejayaan Anugerah Lagu Terbaik (Juara Keseluruhan) Anugerah Juara Lagu 1991 buat kumpulan Mega menerusi lagu Takdir dan Waktu, kali ini kemenangan juga berpihak untuknya dalam peraduan realiti terkini TV3, Terpaling Juara.
Rahmad, yang nama sebenarnya, Rahmad Tohak, 52 tahun, membawa gelaran Terpaling Juara dan membawa pulang ganjaran wang tunai RM100,000 ($30,817) serta trofi.
Tempat kedua dimenangi Aqmal manakala Hazami di tempat ketiga.
Shaz pula di tangga keempat dalam peringkat akhir yang berlangsung di Studio Sri Pentas 2, Plaza Alam Sentral, Shah Alam pada Ahad (9 Oktober).
Lagu yang menjadi taruhan Rahmad adalah Ku Akui, nyanyian asal Hafiz Suip dan lagu duet bersama kaptennya Hael Husaini, Di Penjara Janji.
Terharu dengan kejayaannya, Rahmad berkata beliau bersyukur dapat mencipta titik baru dalam kerjaya seninya melalui peraduan ini.
Beliau juga berterima kasih kepada juri yang memberinya teguran dan nasihat sepanjang peraduan.
Datuk Hattan dan Fauziah Latiff tampil selaku juri tetap manakala Datuk Seri Siti Nurhaliza pula hadir sebagai juri jemputan.
Pada pentas akhir itu, penonton dihiburkan dengan persembahan Floor 88 dengan lagu medley Chikadun dan Hutang serta Datuk Seri Siti Nurhaliza menerusi lagu Wajah Kekasih, Ku Milikmu dan Balqis.
Program Terpaling Juara dihoskan oleh Haziq Hussni dan Shiha Zikir.
Terpaling Juara mempertaruhkan tiga kapten, Akim Ahmad, Hael Husaini dan Naim Daniel yang juga penyanyi, penggubah lagu dan penulis lirik berbakat besar serta pemilik trofi Juara Lagu menerusi anugerah paling berprestij, Anugerah Juara Lagu.
Mereka ditugaskan membimbing penyanyi senior dan penyanyi junior dalam mempertaruhkan lagu popular yang pernah dicalonkan di semua edisi Separuh Akhir Muzik Muzik dan AJL. - Berita Harian Malaysia (Online)