SEBAGAI sahabat lama yang sudah melihat jerih payah yang dilalui peserta Gegar Vaganza 9 (GV9) Fuad Rahman, penyanyi Singapura Mira hanya mahukan yang terbaik buat teman duetnya itu.
Justeru, melihat perkembangan Fuad kini, lebih-lebih lagi setelah berumah tangga dan bebas dari jeriji penjara, membuatkan Mira penuh kesyukuran.
Mira, yang nama sebenarnya Emira Annuar, rakan seni yang berpadu suara bersama Fuad bagi lagu Bila Rindu ciptaan Moliano yang 'meletup' di persada seni tempatan dan seberang Tambak lebih sedekad lalu.
Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom, Mira berkata: "Dahulu kami rakam lagu Bila Rindu secara berasingan sebelum suara kami disatukan untuk lagu ini diperdengarkan kepada ramai.
"Lagu ini memang dapat sambutan amat menggalakkan daripada pendengar lagu Melayu di sini. Alhamdulillah.
"Tapi memang kami tidak dapat menyanyikannya secara 'live' atau mempromosikannya lebih lanjut lagi sebab Fuad ketika itu berada di penjara lama kerana penyalahgunaan dadah.
"Selepas beliau dibebaskan, barulah kami dapat duet di depan khalayak ramai... itu pun secara tidak dirancang.
"Saya hadir di Stadium Woodlands untuk temankan rakan saya menonton Konsert Rock Untuk Rakyat anjuran Kelab Masyarakat Woodlands. Tahu-tahu Fuad panggil nama saya, dan saya pun menyanyi spontan. Nasib baik masih ingat lirik lagu sendiri sebab sudah terlalu lama tidak menyanyikan lagu itu."
Mira berkata beliau gembira melihat Fuad 'baru' dan bersemangat membangun kerjaya seninya semula.
"Saya bersyukur beliau dapat isteri baik, matang dan boleh menjaganya dengan memberinya kasih sayang dan dorongan. Memang dah lain apabila berbual dengannya sekarang. Lebih tenang dan ceria.
"Sebagai rakan duet, memang Fuad mempunyai lontaran suara baik serta hard-core rok 100 peratus. Apabila beliau masuk GV9, saya tumpang bangga. Ramai yang kata, 'Mira, kawan kaulah masuk GV!'
"Fuad ada ramai pengikut dan peminat. Moga fasa baru dalam kehidupannya ini dapat dimanfaatkan untuk berikan sajian seni lebih bermutu buat peminat," ujar Mira.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg