Subuh
5:38
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rakan seni tangisi pemergian ‘Papa’ baik hati, Jaafar Onn

Pelakon, pelawak dan pengacara veteran dikenang sebagai insan bersifat kebapaan yang menenangkan
Apr 04, 2024 | 05:30 AM



Mereka memanggilnya ‘Papa’ bahkan menganggapnya sebagai artis yang baik hati dan suka menolong orang.

Pemergian pelakon, pelawak dan pengacara veteran, Jaafar Onn Awang, 73 tahun, pada 11.30 pagi, 3 April, di bulan mulia Ramadan, justeru itu, meninggalkan kesan buat ramai yang mengenalinya mahupun peminat yang mengikuti perkembangannya.

Allahyarham menghembuskan nafas terakhir di Hospital Sultan Idris Shah Serdang, dengan berita kepulangannya ke pangkuan Ilahi dimaklumkan salah seorang anak angkatnya, Encik Mohamad Hanif Hashim kepada media seberang.

Encik Hanif berkata Jaafar, sebelum ini, ditahan di wad Hospital Sultan Idris Shah Serdang sejak 1 April akibat berlaku pendarahan semasa membuang air besar.

Doktor pada masa itu, sedang berusaha memberikan bantuan pernafasan selepas keadaannya menjadi kritikal dan jantungnya terhenti.

Sebelum ini, Jaafar mengakui mengalami masalah injap jantung yang mengakibatkan kakinya membengkak sehingga perlu menggunakan kerusi roda sejak enam bulan lalu.

Allahyarham juga perlu menjalani beberapa prosedur rawatan di hospital untuk mengetahui lebih lanjut mengenai keadaan kesihatannya yang merosot sejak 2023.

Jaafar yang lahir di Muar, Johor, pada 19 Oktober 1951, bermula dalam bidang seni tari di Kuala Lumpur pada 1970-an.

Dengan bakat memasak dan mengandam, Jaafar mengajar kaum ibu di Persatuan Keluarga Polis (Perkep) di Jalan Pekeliling cara memasak sajian seperti mi bandung.

Pada 1973, beliau dipelawa Radio Televisyen Malaysia (RTM) untuk menyertai rancangan memasak, Dunia Wanita.


Beliau juga gigih menyertai bermacam kursus membuat biskut, menghias kek dan puding.

Hanya pada 1980-an, namanya harum sebagai bakat seni yang boleh menyanyi dan berlakon.

Datuk Rosnani Jamil merupakan individu yang memperkenalkannya kepada dunia lakonan menerusi telefilem pertama Jaafar, Lagenda Lela Manja.


Sejak itu, banyak drama dan filem dijayakannya.

Minatnya pada bidang tarian dikembangkan dengan membuka kumpulan Maya Studio yang turut dianggotai bakat seni lain seperti Liza Abdullah, Norlida Ahmad, Erma Fatima dan Ziela Jalil.

Penyanyi Salwa Abdul Rahman dan Allahyarhamha Rohana Jalil adalah antara yang membantu Jaafar dalam bidang nyanyian.

Bermula dalam dunia perfileman menerusi filem, XX Ray, arahan Aziz M. Osman pada 1992, Jaafar turut menjayakan filem lain termasuk, Sifu & Tongga, 18 Puasa Di Kampung Pisang dan Azura (Versi 2012).


Penampilan terakhirnya sebagai pelakon adalah bagi drama Cik PA Tuan Ash pada 2023.


Pengarah dan pelakon, Tam Suhaimi, 44 tahun, yang berurusan dengan Allahyarham sejak bergelar pelakon cilik dalam telefilem, Lagenda Lela Manja, terkilan tidak sempat menziarahi artis veteran itu.


Tam atau nama sebenarnya, Nor Azemi Suhaimi, sepatutnya melawat Allahyarham Jaafar yang dipanggil Papa pada 1 April. Namun, beliau tidak sempat berikutan komitmen kerja.

“Saya dengar arwah tidak sihat. Saya sangka perkara itu normal atas faktor usia.

“Bagaimanapun, selepas dihubungi TV9 yang meminta saya berkongsi kisah mengenai Papa dan minta saya mendoakan kesejahteraan Papa, saya jadi terkejut.

“Ditambah selepas melihat foto arwah berkerusi roda dengan tubuh yang menyusut, baru saya sedar arwah tidak sihat.

“Ikut perancangan, saya hendak ziarah Papa awal minggu ini, namun, hajat tak kesampaian disebabkan kerja,” jelas Tam dengan nada terkilan sewaktu dihubungi Berita Harian Malaysia (BHM).


“Sebagai pelakon cilik ketika itu, saya sangat kagum dengan bakat arwah. Papa sering membawa keceriaan di set penggambaran.

“Arwah ada sifat kebapaan kerana sepanjang berada di set penggambaran, dia menjaga saya dan dua pelakon cilik lain dengan begitu baik sekali,” katanya.

Fauziah Ahmad Daud yang mesra dengan panggilan Kak Ogy pula mencemburui pemergian Jaafar pada bulan Ramadan.

“Kami tak pernah berlakon bersama, tapi saling mengenali sejak sekian lama. Arwah seorang yang berhati mulia.

“Saya masih ingat ketika saya baru berhijrah, arwah menjemput saya datang ke kedai makannya. Kami berborak hingga 1 pagi.

“Ketika itu, ada ramai yang menjauhkan diri daripada saya, tapi arwah tak pernah. Sebab ada yang ingat saya jadi ekstremis bila berhijrah.

“Jadi, bila dapat tahu arwah meninggal dunia, saya terkejut. Apa yang membuatkan saya sedih melihat videonya sedang sakit, jadi saya rancang nak ziarah pada Aidilfitri ini.

“Allah lebih menyayanginya, saya terkejut dapat berita sedih ini. Namun, bila lihat sudut lain, pemergiannya pada 23 Ramadan amatlah dicemburui. Kita pasti cemburu sesiapapun sahaja dijemput Ilahi pada bulan mulia ini,” tambah Fauziah kepada BHM.

Pelakon Melissa Saila yang memegang watak Maria menerusi sitkom Cili Padi yang turut dijayakan Jaafar berkata mereka jarang berhubung sehingga beliau mengundang arwah membintangi drama terbitan syarikat produksinya, Kus Semangat Pictures, berjudul, Ismadi Belum Mati.


“Allahyarham Jaafar seorang yang sangat baik hati dengan semua orang.

“Ketika sitkom Cili Padi, hubungan kami sangat akrab, tetapi jarang berhubung selepas tidak terbabit dalam sitkom berkenaan.


“Kami kembali bersua apabila saya mengundang arwah berlakon dalam drama, Ismadi Belum Mati. Sejak itu, arwah rajin menghantar makanan ke lokasi. Ada sahaja juadah dihantarnya seperti kuih, rendang dan macam-macam lagi.


“Arwah juga rajin menghantar perkongsian kerohanian dalam kumpulan WhatsApp. Memang nampaklah kesungguhan arwah berubah ke jalan yang lebih baik dan diredai,” kata Melissa.

Semoga Allahyarham Jaafar Onn ditempatkan dalam kalangan mereka yang dirahmati. Al-Fatihah.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >