Subuh
5:37
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:23
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Ramadan pertama Naqiu tanpa ayah

Juara 'Gegar Vaganza 6' turut lancar lagu 'Panah' yang sudah lebih 10 tahun tersimpan dalam pustaka
Mar 24, 2023 | 05:30 AM



SUKA-DUKA Ramadan terpahat dalam ingatan juara Gegar Vaganza 6 (GV6), Naqiu, setiap kali diajak bersembang mengenainya.



"Ramadan adalah tempoh yang saya nanti-nanti sewaktu kecil untuk buat duit. Saya masih ingat detik saya tolong mak angkat saya meniaga... tolak troli dan turun naik bukit.



"Sampai di atas tu boleh curi-curi minum air tetapi agaknya dari situlah saya asah bakat berlakon. Apabila orang tanya, saya kata terasa penat dan saya sedang puasa. Padahal baru lepas minum air!" cerita Naqiu dalam satu wawancara bersama Berita Harian baru-baru ini.



RAMADAN SEPI TANPA AYAH



Bagaimanapun, Naqiu, 36 tahun, atau nama sebenarnya, Wan Naqiuddin Mohd Najib, akan terasa kesunyiannya tahun ini kerana ini adalah tahun pertama beliau menyambut Ramadan tanpa bapanya yang meninggal dunia kerana masalah jantung dan komplikasi Covid-19 tahun lalu.



"Ayah memang tinggal dengan saya dan saya tahu menu kegemarannya setiap kali berbuka puasa. Dia suka martabak. Saya akan rindukan detik-detik meluangkan masa Ramadan dengannya. Tahun ini, Ramadan yang agak sedih buat saya," jelas Naqiu tentang bapanya, Wan Najib Wan Amin.



Wawancara bersamanya dirancang syarikat pengurusannya Mindorder Sdn Bhd sebagai sebahagian promosi lagu Panah yang dikeluarkannya baru-baru ini dan menampilkan Erra Fazira.



Menurut Naqiu, lagu itu sudah disimpan lama iaitu lebih 10 tahun dalam pustaka lagu ciptaannya.



"Sewaktu saya menyepi dan tatkala bosan, ini antara lagu 'jamming' yang suka-suka dibuat ketika itu.



"Hanya pada penghujung 2022, kami rancang Panah untuk diterbitkan pada 2023.



"Saya seseorang yang tidak suka ulang apa yang pernah saya buat sebelum ini. Kebiasaannya dari zaman Boboy lagi, saya sering buat lagu putus cinta.



"Kali ini, pihak pengurusan minta saya buat lagu memuja pasangan pula. Maka penyesuaian dibuat pada lagu asal dan setelah dimasukkan lirik, jadilah Panah yang saya sifatkan sebagai antara lagu yang sukar, apa lagi menampilkan orang yang bukan baru dalam industri, Erra Fazira," jelas Naqiu.



Wawancara tempoh hari banyak mengimbau pengajaran yang Naqiu raih tatkala namanya meningkat naik seawal usia 15 tahun bersama kumpulan Boboy serta penyesalannya ketika payah menerima kegagalan dan kemudian menyepi daripada industri aliran utama meskipun masih bermain muzik.



LALUI KEPAHITAN UNTUK BELAJAR ERTI KEMANISAN



"Sebab itu, saya selalu nasihat kepada adik-adik dan penyanyi baru agar lalui sahaja proses mengasah bakat seni atau perjalanan sesuatu kerjaya itu tak kira mereka kerja apa.



"Sebab kejayaan itu lebih manis dengan adanya kejatuhan dan kegagalan. Kita tak akan terus berjaya sekelip mata walaupun saya berada di puncak kerjaya saya pada usia antara 15 hingga 17 tahun.



"Pengajaran yang saya raih adalah saat saya ditimpa dugaan dan jatuh setelah berjaya secara mendadak, saya tak bersiap sedia ketika itu.



"Sebab itu, apabila saya muncul semula dalam GV6, saya dah tahu erti kejatuhan dan kegemilangan. Saya tak pernah berputus asa. Walau tak diterima, saya terus main muzik sebab itu asas dan sebab mengapa saya nak sertai industri hiburan.



"Lebih banyak dugaan, lebih manis kejayaan. Kalau kita tak rasa kepahitan, kita takkan dapat hargai proses panjang yang mendewasakan kita sebab saya pun tiada pelajaran formal dalam muzik. Saya belajar dari jalanan. Saya belajar dari hasil kena marah dengan orang," cerita Naqiu.



ZAMAN GEMILANG BERSAMA BOBOY



Sungguhpun begitu, beliau menghargai rezekinya yang sangat murah ketika menyanyi bersama Boboy yang terkenal dengan lagu Episod Cinta dan Janji Seorang Kekasih.



"Siapa duga apabila Boboy tiba-tiba meletup dan tak sampai sebulan, 'show' dan duit mula mencurah. Saya tidak pernah rasa tertekan ketika itu.



"Tapi kerana masih budak lagi, saya dan teman-teman tak fikir langsung selepas ini, nak bikin lagu apa dan apa cara yang perlu diusahakan untuk kekalkan populariti.



"Kami 'enjoy' dengan kehidupan. Tak pula terfikir apa nak buat kalau jatuh kelak. Selepas itu, banyak yang saya menyesal.



"Kalau saya lebih hargai kehidupan tempoh itu untuk gunakan wang sebaiknya dan salurkannya ke arah lebih berkesan, mungkin kehidupan keluarga saya akan lebih selesa hari ini," jelasnya.



TERBUKA JIKA ANAK INGIN JADI ANAK SENI



Lima anak berusia antara lima dengan 11 tahun, hasil perkongsian hidup dengan isterinya Hani yang dikenali sewaktu beliau menyepi daripada industri seni menjadi penawar sentiasa.



"Saya sangat terbuka kalau ada dalam kalangan anak saya nak ikut jejak langkah saya. Apa bidang yang ingin diceburi, silakan. Kalau betul minat, mesti sanggup tempuh dugaan yang datang dalam tugasan itu.



"Tapi jangan gunakan nama saya untuk kecapi populariti atau lalui jalan pintas untuk berjaya. Macam mana yang saya lalui, saya nak mereka juga dewasa sebagai individu yang kental semangat," kata Naqiu.



Menurutnya, anak sulungnya memang dihantar ke kelas piano tetapi tidak menunjukkan minat pada muzik.



Bagaimanapun, yang kedua sesekali menyanyi akan membuatkan Naqiu kagum.



"Dia jarang nyanyi depan saya sebab dia tahu Papa ni kan penyanyi. Tapi apabila dia nyanyi, sedap suaranya... boleh beri 'goosebumps' meskipun dia tak tunjukkan minat mendalam. Setakat nyanyi suka-suka bolehlah.



"Yang ketiga ikut emaknya... suka menari. Yang keempat anak istimewa dengan autisme, manakala yang bongsu akan ikut apa sahaja yang saya buat, baik kalau saya nyanyi lagu Inggeris, Kantonis atau Mandarin!



"Dia sungguh-sungguh hafal lagu tu dalam masa seminggu selepas dengar saya bikin 'cover'. Kita sahaja kena tahan telinga kita mendengar!" seloroh Naqiu.



KEISTIMEWAAN JADI AYAH ANAK ISTIMEWA



Ditanya mengenai pengajaran utama yang diraihnya membesarkan anak istimewa yang kini berusia tujuh tahun, Naqiu akur perlu banyak bersabar kerana tahap pemikiran si anak yang nampak seperti masih bayi dan tidak boleh bercakap.



"Dia tak tahu apa yang dibuat dan hanya buat sahaja kerana tidak mampu berfikir atau melahirkan rasanya. Sebagai ayah, saya perlu sabar dengan kerenah dan fahami kondisinya.



"Untunglah saya mempunyai isteri yang pandai mengawal situasi anak istimewa kami ini. Kalau serahkan pada saya, boleh tunggang terbalik rumah kerana banyak perkara yang sukar saya fahami. Tapi memang anak saya ini lebih manja dengan saya dan anggap ibunya sebagai yang mendisiplinkannya," kata Naqiu.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >