SELEPAS dua tahun menyepi, pelakon Bollywood, Rani Mukerji, muncul dengan filem menyentuh perasaan dengan runut bunyinya (OST) dikeluarkan sempena Hari Wanita Sedunia pada 8 Mac, Mrs Chaterjee Vs Norway.
Filem berkenaan yang mengisahkan tentang perpisahan seorang ibu dengan anak-anaknya secara tiba-tiba dan atas desakan pihak yang tidak bertanggungjawab cukup merentap tangkai hati Rani, 44 tahun.
Ia berdasarkan kisah sebenar Sagarika Bhattacharya, seorang ibu dua anak, yang mengalami trauma selepas anak-anaknya dirampas Perkhidmatan Kebajikan Kanak-Kanak Norway, atas sebab kononnya beliau tidak menjalankan amanah sebagai ibu yang baik.
Dalam satu wawancara bersama laman Indian Express, Rani menjelaskan beliau juga terharu dengan OST filem ini yang berjudul Maa Ke Dil Se.
Ia mengisahkan tentang kasih sayang seorang ibu yang tiada tolok bandingnya buat anaknya.
"Kali pertama saya dengar lagu ini, saya sangat tersentuh oleh lirik yang ditulis Kausar Munir.
"Saya hanya terfikirkan ibu saya dan anak saya serta perjalanan saya menjadi seorang ibu.
"Konsep lagu ini bersandarkan persoalan apakah seorang ibu yang melahirkan anaknya itu atau seorang anak yang melahirkan naluri seorang ibu," katanya.
Rani ingin menujukan lagu dan filem ini buat ibunya yang banyak berkorban untuk dirinya selama ini dan orang pertama yang ingin lihat beliau menjadi pelakon untuk menyebar nilai murni.
"Menjadi seorang ibu adalah titik tolak penting dalam kehidupan dan ia menjadikan seseorang bersemangat menunjukkan sesuatu yang positif buat anaknya.
"Lagu dan filem ini antara karya seni yang memberi impak dan terbaik buat saya sebab ia disampaikan dengan penuh emosi dan dari keikhlasan hati yang menghasilkannya," tambah Rani.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg