
KALAU difikirkan kesusahan hidup yang pernah dijalani, boleh berlinangan air mata pelakon dan pengarah Indonesia, Rano Karno, dan adiknya, Suti Karno.
Mereka berkongsi dengan pengacara program sembang Pagi Pagi Ambyar yang juga penyanyi dangdut dan pelakon Dewi Perssik mengenai perkara itu, sebagaimana ditukil laman Kompas.
"Kami hidup susah kerana kerjaya ayah, Soekarno M Noer, sebagai pelakon yang hebat belum cukup menjamin masa depan kami.
"Kerjaya lakonan pada era 1960-an hingga 1980-an belum dihargai. Apa yang diperolehi sebagai ganjaran berlakon tidak seberapa," cerita Rano, 62 tahun.
Beliau dan adik-beradiknya pernah tinggal di rumah sempit sekitar Kemayoran, Jakarta Pusat, dari kecil hingga remaja.
Suti, 57 tahun, pula menambah:
"Saya punya kenangan semasa Lebaran. Nak main di depan rumah cukup sukar sebab sempit. Nak beli baju Lebaran baru juga kerapkali tidak berkesempatan. Kalau ada pun, cuma sepasang baju."
Mereka juga jarang makan hidangan yang enak. Satu piring nasi dikongsi berlima.
"Bayangkan... kami makan sepiring berlima setiap hari. Tapi kami bersyukur meskipun hidup sulit zaman itu," ucap Rano yang memulakan kerjaya lakonannya dalam filem Malin Kundang.
Kerana selalu hidup kelaparan, Rano tidak menolak tawaran berlakon kerana di set penggambaran kebiasaannya beliau dapat makan hidangan lazat.
"Selepas jalani penggambaran, saya selalu gunakan wang yang diberi untuk beli roti bagi adik-beradik lain makan.
"Tugas sebagai pelakon menyenangkan adik-beradik lain juga. Mereka dapat rasa roti yang panjang selengan dan berwarna coklat itu," cerita Rano.
Menurutnya, kadangkala beliau menyimpan sisa roti yang dibeli dalam almari untuk dimakan selama seminggu.
"Tapi dari kesulitan itu, kami saling mengisi dan memberi dorongan buat satu sama lain," jelas Rano yang didapati berbakat dan bijak kerana sering membaca cerita-cerita rakyat.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg