Subuh
5:49
Syuruk
7:06
Zuhur
1:11
Asar
4:15
Maghrib
7:14
Isyak
8:22
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

ARTIS DARI SEBERANG

Rap... rap juga, pelajaran tetap diutama

Jun 23, 2022 | 05:30 AM



SUATU ketika dahulu, penyanyi rap Malaysia, Bunga Isme, pernah berasa gamam di pentas pertarungan rap atau battle rap.



Namun, keinginannya meraih ilmu dan memperbaiki dirinya membuatnya terus melangkah maju dalam industri seni Malaysia meskipun masih memikul tanggungjawab sebagai seorang pelajar.



Semuanya bermula dengan minat Bunga dalam penulisan puisi.



Dalam wawancara Berita Harian melalui Zoom dengannya baru-baru ini, Bunga atau nama sebenarnya, Noor Ayu Fatini Mohd Bakhari, 22 tahun, berkata beliau mewarisi minat menulis daripada ibunya yang suka menulis dalam jurnal tentang kehidupan dengan cara penulisan yang berkias.



Daripada puisi, beliau berjinak-jinak dengan rap yang merupakan sesuatu yang baru untuknya ketika itu.



Dengan dorongan kawannya, beliau menyertai acara 'U TRY RAP Please' pada 2018 di mana beliau perlu lawan rap dengan seorang lagi peserta.



Ceritanya: "Saya buat lirik-lirik bebas 'banyak gila' dan saya hafal 'banyak gila' tetapi di atas pentas saya tidak dapat buat apa-apa sebab benda tu satu pertarungan rap 'battle'.



"Lawan saya buat gaya bebas. Saya tak faham bikin macam tu. Untuk dua pusingan selama 60 saat, saya diam sahaja di atas pentas. Memang malulah... ia detik paling memalukan bagi saya."



Namun begitu, pihak penganjur memberinya peluang mempersembahkan karya rap yang ditulisnya yang kemudian menjadi tular kerana imejnya sebagai seorang rapper bertudung yang menggayakan baju kurung.



Setelah itu, kerana ingin mendalami ilmu rap, beliau dibimbing seorang rapper bukan dari arus perdana atau 'underground' iaitu Aidy'Ad.



Katanya: "Dia ajar saya macam-macam. Apa yang dia ajar itu sampai sekarang saya praktikkan," jelasnya.



ACARA 16 BARIS PEMBAWA REZEKI



Hasil bimbingan dan ketekunannya memperbaiki kelemahannya, beliau mendapat tawaran untuk ikut serta dalam 16 Baris, satu acara di YouTube yang mengetengahkan persembahan artis rap dan hip-hop dari Malaysia, Singapura dan Indonesia.



Sekali lagi, nama Bunga tular sesudah persembahan pada acara 16 Baris.



Beliau bahkan mendapat perhatian terbitan antarabangsa, The New York Times dan Bloomberg.



Kemudian, artis Warner Music Malaysia ini menghasilkan single pertamanya bertajuk Bunga pada 2019 dengan kerjayanya semakin giat berkembang termasuk dalam bidang lakonan.



Walaupun gigih membina kerjayanya, beliau masih mementingkan pelajaran.



Anak bongsu dalam 11 beradik itu berkata ibu bapanya mendorong anak-anak mereka untuk teruskan pelajaran dalam bidang yang diminati bagi menjamin masa depan yang lebih baik.



PELAJARAN TETAP DIUTAMAKAN



Bunga kini sedang mengikuti pengajian sarjana muda di Universiti Teknologi MARA (UiTM) cawangan Negeri Sembilan di kampus Seremban dalam bidang sains pentadbiran.



"Pendidikan itu penting sebab kita tidak tahu sampai bila kita nak buat muzik ini. Sampai 30 tahun ke? 40 tahun ke? Atau 50 tahun ke?



"Kalau ada rezeki yang mana saya ini meletup macam Datuk Seri Siti Nurhaliza ke takpelah juga," ujar Bunga secara pragmatik.



Jujurnya, menurut Bunga, bukan mudah menjadi seorang pelajar yang berkerjaya sepertinya.



"Walaupun saya kerja sambil belajar, saya kena uruskan masa. Kadang-kadang tidak boleh pergi kelas. Kadang-kadang badan kita penat untuk pergi kelas. Memang tidak boleh nak paksa.



"Jadi kita kena pandai budi bicara dengan pensyarah kita dan yang paling penting kita kena ada kawan yang boleh tolong.



"Misalnya, kumpulan tugasan yang boleh tolong anda sama-sama survive dalam kehidupan pelajar ini," jelas pelajar tahun kedua ini.



Antara memori yang beliau tidak boleh lupakan adalah apabila beliau terpaksa berulang-alik dari Singapura ke Seremban dan selanjutnya ke Bangkok dan kembali semula ke Seremban sewaktu belajar di peringkat diploma dahulu.



Semua ini demi tuntutan membuat persembahan di luar negara dan dalam masa yang sama mengambil peperiksaan akhir di kampusnya.



Walau bagaimanapun, beliau lulus dalam peperiksaan itu lantas memori itu kekal sebagai pembakar semangat setiap kali rasa sukar hadapi sesuatu cabaran.



Segala kerja kuat dan pengorbanannya ternyata tidak sia-sia apabila tahun lalu, beliau bersyukur kerana berjaya menghadiahkan sebuah kondominium kepada ibunya yang tersayang hasil titik peluhnya sendiri.



KERJASAMA DENGAN ARTIS LAIN



Terkini, Bunga sudah merakam lebih 10 lagu. Ini termasuk kolaborasi bersama penyanyi lebih berpengalaman seperti Noraniza Idris (Intan Payung) dan Siti Nordiana (Amaran).



Kerjasama ini juga menjadi satu sumber pembelajaran buat dirinya.



Noraniza Idris, katanya, berkongsi dengannya bagaimana menangani rasa gementar, manakala Siti Nordiana pula lebih sempoi dan akan mengingatkannya agar melakukan pemanasan vokal sebelum persembahan.



Bunga turut bekerjasama dengan penyanyi dan komposer muda, Amzar Sabri dalam lagu 300 Saat.



Amzar berkongsi ilmu tentang asas muzik dengannya.



Tahun ini, lagu Belai dendangan Bunga dan Amsyar Lee, pula 'meletup' dan meraih enam juta tontonan di YouTube, hanya selepas empat bulan dimuatnaikkan.



INGIN BEBAS DARI DUGAAN MEDIA SOSIAL



Selama hampir empat tahun dalam bidang ini, Bunga tidak lari daripada dugaan media sosial.



"Dalam kehidupan media sosial, orang nak tengok kita sempurna. Ketika umur saya 18 tahun dulu, saya macam itu. Saya nak bagi orang tengok apa yang diorang nak.



"Saya nak kurus sebab orang suka saya kurus. Saya kena mekap sebab orang suka saya mekap. Itu saya dahulu.



"Tetapi bila saya sudah cecah 22 tahun, banyak yang saya belajar. Penatkan jadi sempurna untuk orang? Benda itu tidak puaskan hati sendiri. Ia tidak buat saya bahagia," luahnya dan menambah beliau kini lebih menumpukan hasil kerja yang bermutu daripada memikirkan apa yang perlu dimuat naik di media sosialnya.



Beliau juga tidak mengendahkan komen warganet tentang berat badannya.



Menurut gadis berwawasan ini, banyak lagi yang ingin dipelajari seperti menerbitkan lagu sendiri, belajar bermain alat muzik dan selok-belok industri dengan lebih mendalam lagi.



Malah, beliau merancang melanjutkan pelajaran dalam perniagaan muzik selain mempunyai impian besar untuk mempunyai perniagaan hotel atau resort sendiri.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >