NAMA penyanyi Fauziah Latiff bermain di bibir ramai remaja yang dewasa sekitar tahun 1980-an.
Bukan sahaja kerana beliau merupakan bintang remaja yang jelita dan memiliki suara yang lunak didengar tetapi juga kerana personalitinya yang menawan dengan penuh budi bahasa.
Siapa yang tidak dapat lupakan lagu-lagu cinta hampa Fauziah yang masih lagi diputar di corong radio seperti Teratai Layu Di Tasik Madu, Gurindam Rindu Puisi Syahdu, Bukan Kemahuan Fikiran dan Apa Sebenarnya.
Lagu penuh pedoman seperti Aku Sebutir Pasir dan Tua Mengejar Kita serta yang menghargai persahabatan Terima Kasih Teman juga masih terpahat di ingatan.
Fauziah, ibu dua anak bujang, yang sudah mencecah usia 52 tahun, masih dikenali sebagai Gee (nama pentas) meskipun sudah memperluas bakat seninya mencakupi lakonan dan mengacara program memasak sejak beberapa tahun lalu dan mendapat sambutan menggalakkan.
Apabila sempadan dibuka, beliau turut memenuhi undangan ke Singapura dan baru-baru ini berkongsi kisah kesabaran dan ketabahan di forum sempena Festival Muslim Singapura di Dewan Singapore Expo.
Acara itu merupakan anjuran Jamiyah Singapura dengan urusan membawa Fauziah ke sini dikendalikan Impact Music & Entertainment.
Ramai yang mengikuti perkembangan Fauziah ketahui mengenai jerih payahnya sebagai anak seni dan juga kehidupan peribadinya yang membina mahligai sebanyak dua kali dan menemui kegagalan.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH), Fauziah menjelaskan:
"Saya sebenarnya bersyukur kerana pengalaman berada di forum tempohari memberi saya peluang berkongsi pengalaman dan juga mendengar pengalaman artis lain yang boleh kita sama-sama jadikan iktibar.
"Perjalanan sebagai anak seni memang banyak cabarannya tetapi saya banyak belajar erti kehidupan dengan sabar dan tabah itu adalah dua sikap yang harus dan perlu untuk terus bertahan.
"Sangat luas pengertian sabar dan tabah ini. Skopnya sangat besar. Banyak iktibar yang kita boleh ambil dari kehidupan kerana ia menjadikan kita lebih dewasa. Menjadi matang dan dewasa itu sangat perlu.
"Apabila saya lihat kembali ke belakang apa jua yang saya lalui, saya tidak menganggapnya sebagai satu penyesalan. Sebaliknya, ia pengajaran yang mendewasakan, lebih-lebih lagi apabila kita lihat sekeliling kita dan meninjau bagaimana kehidupan di luar sana."
Fauziah selalu menjadikan kehidupan wanita lain khususnya ibunya sendiri dan beberapa sahabat karib dan anggota keluarga wanita sebagai satu inspirasi.
"Masing-masing ada kehidupan sendiri dan cara mengatasi masalah pun berbeza. Kerana itu, saya anggap mereka semua adalah inspirasi," katanya.
Dengan Ramadan yang kini disambut dengan penuh kesyukuran, Fauziah seperti biasa akan meluangkan masa bersama 'Sahabat FL (Fauziah Latiff) iaitu kumpulan peminatnya untuk menjalankan kerja kebajikan.
"Saya juga akan kembali ke Singapura untuk undangan acara Ramadan. Bagi Lebaran pula, saya akan sambut secara sederhana.
"Hanya ada satu dua tugas pada musim Syawal. Selebihnya dalam 2023, saya akan usahakan satu persatu projek yang saya dan teman-teman rancang.
"Memang banyak yang nak dibuat tapi saya lebih suka kalau ia dibuat satu persatu," katanya.
Fauziah akan muncul dalam acara Ramadan Fest anjuran XOX SG di DeHall Ballroom, Tai Seng Centre, pada 1 April dengan jamuan bufet berbuka puasa disajikan sambil beliau membuat persembahan.
Apakah pesanannya buat peminat wanitanya?
"Sentiasa tabah dan sabar walau apa jua keadaan sekali pun ia menguji minda, jiwa dan hati.
"Kita harus latih diri untuk lebih bersabar dan lebih tabah di samping berusaha untuk tawakal dan berdoa. Allah sentiasa makbulkan doa kita jika kita berusaha tanpa berputus asa.
"Sebagai kaum Hawa, kita kuat sebenarnya. Allah beri kita banyak anugerah. Justeru, kita sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri kita agar berusaha menjadi insan yang lebih baik setiap hari," ujarnya.
PESANAN BUAT PEMINAT KAUM HAWA
"Kita harus latih diri untuk lebih bersabar dan lebih tabah di samping berusaha untuk tawakal dan berdoa. Allah sentiasa makbulkan doa kita jika kita berusaha tanpa berputus asa. Sebagai kaum Hawa, kita kuat sebenarnya. Allah beri kita banyak anugerah. Justeru, kita sentiasa bersyukur dan mengingatkan diri kita agar berusaha menjadi insan yang leb ih baik setiap hari.'' - Fauziah Latiff.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg