ADA masanya bakat seni Singapura, Amir Mansor, berada di pentas studio televisyen untuk mengiringi penyanyi mapan yang berdendang dalam program seperti Sinar Lebaran.

Ada ketikanya pula, beliau berada di studio muziknya sendiri bagi menerbitkan lagu dan menggubah irama buat diri sendiri mahupun beberapa rakan seperjuangan dalam dunia seni tanah air.

Tahun ini, lebih istimewa buat Amir, finalis peraduan anjuran Wisma Geylang Serai (WGS), Suara 2.0, kerana beliau bukan sahaja diberi peluang menjadi penyanyi latar buat biduanita Sanisah Huri malah diamanahkan mencipta runut bunyi bagi pementasan bangsawan.

Semua ini peluang keemasan yang beliau rebut demi mengembangkan kerjaya seninya di samping menambah ilmu penakatan sebagai artis berbilang bakat.

Ditanya apa perasaannya apabila berada satu pentas dengan Sanisah, 70 tahun, dalam Konsert Sanisah Huri - Pelayaran Seni Lima Darsawarsa di Esplanade baru-baru ini, Amir, 27 tahun, berkata:

"Sejujurnya, saya amat bersyukur, terharu dan seronok kerana Sanisah adalah legenda yang dikenali ramai.

"Saya harus berterima kasih kepada Abang Dhwan Abu, pengasas kumpulan DC Pella, kerana mengundang saya sebagai penyanyi latar konsert tersebut.

"Peluang bekerjasama dengan Sanisah amat saya hargai sebab meskipun sudah 50 tahun berkecimpung dalam persada seni Nusantara, beliau adalah personaliti yang merendah hati, ramah dan senang bergaul dengan sesiapa sahaja.

"Saya dapat tahu beliau juga menjaga kesihatannya dengan rapi. Kerana itu, suaranya masih kedengaran seperti dahulu. Waktu solat juga dijaga dalam kesibukan berlatih dan membuat persiapan konsert."

Amir menjadi penyanyi latar sejak 2018 apabila diperkenalkan dengan DC Choir Singapura oleh Dhwan. Sejak itu, beliau diberi peluang menjadi penyanyi latar untuk beberapa acara di WGS dan televisyen.

Beliau kemudian diperkenalkan dengan Ann Hussein dan menjadi penyanyi latar di bawah arahan Ann untuk beberapa program televisyen lain.

Apabila Dhwan membentuk kumpulan DC Pella, Amir menyertainya bersama Diana Nazyra, Elly Eliana dan Dhwan sendiri.

Ditanya bagaimana dirinya membahagikan masa antara bermacam kegiatan seni yang diceburi, Amir berkata semangat berani mengembangkan kemahiran yang ada harus ditanam dalam hati.

"Setiap peluang itu akan banyak mengajar kita tentang pelbagai ilmu seni yang kita mungkin tidak mampu perolehi melainkan daripada pengalaman kita sendiri menceburinya.

"Sahut apa jua cabaran walaupun ini kali pertama kita mencuba dan percaya dengan kebolehan kita memberikan yang terbaik. Yang paling penting, buat dengan penuh keikhlasan," jelasnya.

Pengalamannya sebagai penyanyi latar banyak membantunya dari segi susunan harmoni vokal dan penyesuaian suara dengan muzik, bahkan ketika merakam lagu solo.

"Ada masanya kita perlu menyanyi dengan kuat dan bersemangat. Ada masanya nyanyi dengan perlahan memadai.

"Sejujurnya, tak mudah jadi penyanyi latar berbanding penyanyi solo kerana setiap seorang membawa nada yang berlainan dan apabila digabung semuanya maka jadilah kord muzik penuh.

"Selain itu, saya juga dapat pantau dan belajar bagaimana penyusunan muzik secara 'live' dibuat oleh penerbit dan pemain muzik berpengalaman lagi mahir," katanya yang bakal menerbitkan lagu buat artis tempatan, Haziq Mohammadan, Danial Baharin, Syukri Saidi serta bakat baru, Azril dan Effa Yash.

Amir juga dalam proses menyiapkan album zikir Ustaz Ismail Hashim.

Mengenai pengalaman baru bikin lagu bangsawan buat pementasan kumpulan Varias Performing Arts, Rintihan Engku Puteri, Amir menjelaskan:

"Saya tidak pernah terbitkan lagu secara keseluruhan untuk sebuah pementasan teater. Kalau ada pun, zaman saya bergelar mahasiswa. Itu pun saya hanya menerbitkan lagu tema buat satu pementasan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berjudul Raksasa. Ia dinyanyikan rakan saya, Aiman Mamat.

"Alhamdulillah, Raja Hamzah dari Variasi Performing Arts beri saya peluang terbitkan runut bunyi untuk seluruh pementasan bangsawan beliau. Payah pada awalnya sebab tiada pengalaman cipta lagu bangsawan tetapi dengan bimbingan Hamzah, saya mampu buat apa yang diinginkan." - HARYANI ISMAIL