Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Remaja galas tugas dewasa, bantu ibu sakit barah

Anak sulung ambil alih tugasan rumah sambil kerja sambilan demi bantu sara keluarga di samping pengajian
Jan 1, 2026 | 5:30 AM
Eryannie Mohd Sah, Danish Irfan Putra Fauzi
Cik Eryannie Mohd Sah (kanan), yang dikesan menghidapi barah buah dada pada 2021, bersyukur atas pengorbanan anak sulungnya, Encik Danish Irfan Putra Fauzi, dalam membantu meringankan tekanan kewangan keluarga. - Foto BH oleh KHALID BABA

Daripada meluangkan masa selepas sekolah bersama rakan dan menikmati kehidupan remajanya sepanjang 2021, Encik Danish Irfan Putra Fauzi, yang ketika itu berusia 15 tahun, sebaliknya mengimbangi sekolah dengan bekerja sambilan demi membantu menyara keluarganya.

Ayahnya, Encik Fauzi Isnin, 47 tahun, merupakan satu-satunya pencari nafkah selepas ibunya, Cik Eryannie Mohd Sah, 45 tahun, disahkan menghidapi barah buah dada tahap dua dan terpaksa berhenti kerja sebagai guru prasekolah.

Ibu tiga anak itu yang tidak mempunyai perlindungan insurans, menjalani pembedahan pada Mac 2021 sebelum memulakan rawatan kemoterapi yang berlanjutan hingga hujung tahun.

Namun, apa yang paling membebankan perasaan Cik Eryannie bukan sekadar kesan fizikal dan emosi akibat barah tersebut, tetapi tatkala melihat anak lelakinya terpaksa memikul tanggungjawab orang dewasa dan mengorbankan tahun-tahun remaja yang sepatutnya dilalui dengan riang.

“Saya rasa sedih Danish ‘kehilangan’ zaman remajanya, tetapi saya akur pengorbanannya sepanjang ini demi membantu ayahnya dari segi kewangan.

“Saya juga melihat beliau berkembang sebagai individu dan menggalas peranan sebagai ‘ayah’ kedua apabila beliau membimbing adik-adiknya dan memberi kata-kata semangat,” luah Cik Eryannie, menahan sebak sambil melihat ke arah anak sulungnya.

Fenomena tersebut dikenali sebagai parentification, satu keadaan apabila kanak-kanak atau remaja mengambil alih tanggungjawab orang dewasa, sama ada dari segi emosi, kewangan atau penjagaan anggota keluarga, sebelum mereka benar-benar bersedia.

Menurut satu kajian terkini oleh syarikat insurans tempatan, Income Insurance, kira-kira seorang daripada tiga kanak-kanak yang mempunyai anggota keluarga yang jatuh sakit terpaksa mengorbankan hobi dan masa peribadi untuk membantu rutin perubatan, kerja rumah atau menjaga adik-beradik.

Namun, kesan emosi daripada pengalaman itu sering tidak disedari sehingga ia muncul bertahun kemudian.

Encik Danish, yang ketika itu bekerja sambilan sebagai barista (pembuat kopi) di sebuah kafe, tidak sekali pun memegang rasa pendam terhadap keadaan yang dihadapi keluarganya.

Kini, abang kepada dua adik perempuan itu tidak bekerja dan sedang mencari pekerjaan sambilan yang sesuai dengan jadual pengajiannya di Politeknik Republic (RP).

Menurut beliau, tumpuannya hanya terletak kepada kesejahteraan keluarga dan itu mendorongnya untuk menyokong kewangan keluarga dan meringankan beban ayahnya, yang bertugas sebagai pemandu keselamatan di tapak pembinaan.

“Apabila ibu memberitahu saya tentang penyakit barahnya, saya terkejut kerana beliau seorang yang sangat aktif.

“Sedikit demi sedikit, saya sedar bahawa saya perlu tampil membantu dan meringankan beban ibu supaya beliau tidak berasa perlu melalui semua ini seorang diri.

“Ada masanya ibu menjadi lebih emosi daripada biasa, jadi saya pastikan saya sentiasa ada untuknya dan mendengar luahan hatinya,” ujar Encik Danish, kini 19 tahun, pelajar tahun pertama Diploma Sekitaran Binaan Mampan di RP.

Selain bekerja sambilan, Encik Danish turut membantu dengan kerja rumah bagi memastikan ibunya kurang melakukan kerja fizikal seperti membersihkan rumah menggunakan vakum, membasuh dan melipat pakaian.

Selepas Cik Eryannie disahkan mempunyai barah buah dada, beliau hanya memberitahu suaminya dan Encik Danish tentang penyakitnya.

Dua anak perempuannya, Damia Aleesya Putri Fauzi, kini 16 tahun dan ketika itu 12 tahun, serta Dinah Qistina Putri Fauzi, kini 14 tahun dan ketika itu 10 tahun, tidak dimaklumkan bagi memastikan mereka tidak risau dan terjejas secara emosi.

“Lagi pun, Damia bakal menduduki Peperiksaan Tamat Sekolah Rendah (PSLE) pada hujung tahun dan saya tidak mahu tumpuannya terjejas. Saya hanya memberitahu mereka selepas peperiksaan Damia tamat.

“Pada awalnya, saya cuma terangkan kepada mereka yang doktor menemui ‘sesuatu’ di dalam badan saya dan saya terpaksa menjalani pembedahan untuk mengeluarkannya,” jelas Cik Eryannie.

Namun, ia juga bermakna Encik Danish menjadi satu-satunya anak yang mengetahui hakikat sebenar keadaan ibunya, dan secara tidak langsung, memikul lebih banyak beban emosi.

Mengimbangi sekolah dan kerja terbukti sukar bagi Encik Danish sehingga beliau terfikir mahu berhenti sekolah untuk menumpukan perhatian kepada kerja semata-mata.

“Pengalaman itu menjejas kesihatan mental saya, jadi saya amat bersyukur kerana mempunyai tonggak sokongan yang kuat yang termasuk rakan dan kaunselor sekolah saya,” katanya.

Menurut Cik Eryannie, prestasi Cik Damia dan Dinah di sekolah semakin teruk akibat gangguan emosi selepas mereka mendapat tahu tentang keadaan ibu mereka.

Menyedari penyakitnya mengubah dinamik keluarga, beliau bekerjasama dengan kaunselor sekolah untuk menyokong kesejahteraan emosi anak-anaknya.

Langkah itu membantu memastikan anak-anaknya mempunyai ruang selamat untuk meluahkan perasaan, sesuatu yang sering diabaikan ketika tumpuan keluarga terletak sepenuhnya kepada kewangan dan rawatan Cik Eryannie.

“Saya bersyukur kepada suami dan anak-anak yang sentiasa memberi sokongan dan membuatkan saya berasa kuat sepanjang melalui dugaan itu.

“Saya masih bertahan hingga ke hari ini kerana merekalah yang percaya kepada saya,” kongsi Cik Eryannie, yang kini masih menjalani rawatan termasuk suntikan kemoterapi.

“Apabila ibu memberitahu saya tentang penyakit barahnya, saya terkejut kerana beliau seorang yang sangat aktif. Sedikit demi sedikit, saya sedar bahawa saya perlu tampil membantu dan meringankan beban ibu supaya beliau tidak berasa perlu melalui semua ini seorang diri. Ada masanya ibu menjadi lebih emosi daripada biasa, jadi saya pastikan saya sentiasa ada untuknya dan mendengar luahan hatinya.”
Encik Danish Irfan Putra Fauzi, apabila mengetahui tentang penyakit ibunya.
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg