Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Restu anak ceburi seni asal tidak abai pelajaran

Anggota kumpulan 1980-an, The Queens, Farah Diba, terap nilai, semangat buat anak, Afrah Athasha, jadi artis berwawasan
Sep 11, 2022 | 8:12 AM
DOA IBU BUAT ANAKNYA: Anggota duo 1980-an The Queens, Farah Diba Abdul Aziz (kanan) mengharapkan anaknya, Afrah Athasha (kiri), berjaya dalam bidang muzik dan menghasilkan karya bermutu, asal sahaja tidak mengabaikan pengajiannya di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA
DOA IBU BUAT ANAKNYA: Anggota duo 1980-an The Queens, Farah Diba Abdul Aziz (kanan) mengharapkan anaknya, Afrah Athasha (kiri), berjaya dalam bidang muzik dan menghasilkan karya bermutu, asal sahaja tidak mengabaikan pengajiannya di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS). - Foto BM oleh NUR DIYANA TAHA -

WARNA-WARNI dunia hiburan Singapura dan serantau pada era 1980-an pernah dirasakan anggota kumpulan duo The Queens, Farah Diba Abdul Aziz.

Tanpa ada hasrat mengecap kepopularan, Farah dan kakaknya Yasmin Abdul Aziz, yang ketika itu berusia 14 tahun dan 16 tahun sempat merakam dua album Melayu.

Mereka menggantung mikrofon dan tidak lagi muncul di kaca televisyen hingga hari ini setelah masing-masing sibuk memburu pengajian posmenengah dan mendaki menara gading.

Apabila anak bongsu Farah, Afrah Athasha Aman Shah, 23 tahun, mengambil keputusan mahu mengikut jejak langkahnya menceburi bidang seni, bahkan ingin melakukannya secara profesional sebagai sumber pencarian rezeki, timbul kekhuatiran di hatinya pada awalnya.

Namun, bak peribahasa 'ke mana tumpahnya kuah, kalau tidak ke nasi', Farah, seorang guru sekolah yang berusia 50-an tahun kini akur bakat yang menyerlah pada diri Afrah itu tidak mampu disekat jika ia menyerlah dan menuju ke arah kebaikan.

Kesenian pada diri Afrah juga dirasakan begitu ketara kerana beliau juga mewarisi bakat bapanya, penyanyi dan pelakon dari Malaysia, Aman Shah, yang merupakan idola pujaan ramai pada 1980-an.

Farah dan Aman sudah hampir dua dekad membawa haluan masing-masing tetapi kekal bersahabat demi anak-anak.

Dalam pertemuan Berita Minggu bersamanya pada majlis pertunangan Afrah yang berlangsung di Into The Woods@213 Lavender Street, Sabtu lalu, Farah menjelaskan:

"Dunia glamor hiburan dan penglibatan saya dalam bidang seni sudah lama berlalu. Penglibatan The Queens pun sekejap sahaja.

"Apabila saya ambil peperiksaan Sijil Am Pelajaran (GCE) Peringkat 'O' dan Yasmin pula GCE Peringkat 'A', kami berhenti. Cukuplah merasa rakaman dua album.

"Saya tak galakkan Afrah sebenarnya masuk bidang seni. Saya ingin dia tumpukan pada pelajarannya. Tapi nak kata apa... bakat Afrah dalam bidang nyanyian dan ciptaan lagu begitu terserlah.

"Nak halang pun, ia sudah semula jadi wujud. Macam mana saya nak nafikan pun, Afrah tetap memiliki nyala rasa ke arah bidang muzik. Justeru, saya reda.

"Saya tahu Afrah miliki wawasannya sendiri dalam bidang muzik. Dia ada idea tentang imejnya bagaimana, muziknya bagaimana. Sebagai ibu, saya hanya menggalakkan mana-mana yang termampu dan akan beri usulan bagaimana dia boleh perbaiki dan naiktarafkan persembahannya."

Satu syarat yang Farah tetapkan buat Afrah adalah pendidikan tetap diutamakan walaupun anaknya sibuk berkarya dan juga mengendalikan usaha niaga 'bubble tea' Arab dan minuman 'mojito' jenama Habibtea.

Afrah adalah mahasiswi jurusan komunikasi dan perhubungan awam di Universiti Sains Kemasyarakatan Singapura (SUSS),

"Saya kata, pelajaran tetap penting walaupun dia memburu kerjaya dalam bidang muzik. Kelulusan yang baik adalah sandaran dalam kehidupan buat masa depan. Dapatkan ijazah dulu...selepas itu, burulah apa jua cita-cita yang diinginkan.

"Harapan saya, Afrah dapat menjadi contoh buat belia lain dan jadi artis berpendidikan yang mempunyai cara fikiran yang berbeza apabila mencipta dan memasarkan karyanya.

"Apabila saya amati karya yang dihasilkan sejauh ini, saya bersyukur kerana bakat semula jadinya itu dapat disatukan dengan bentuk pemikiran yang lebih menganalisis kandungan lirik serta mampu sampai ke hati pendengar.

"Pendidikan juga merupakan sesuatu yang ditekankan ibu bapa saya ketika kami bergiat aktif dalam bidang seni dan memasuki Bengkel TV Kanak-Kanak dan dilatih vokal oleh Mak Nona Asiah," tambah Farah.

Melihat begitu gigihnya Afrah berkarya dan berniaga, beliau gembira kerana anaknya itu bijak membahagikan masa demi dua nyala rasanya dalam bidang seni dan bisnes.

"Kalau ada minat, memang tak jadi beban. Afrah pula jenis yang ada motivasi diri sendiri. Saya lihat keikhlasannya, ketulusannya dan dia tak pernah nak jadi orang lain. Dia adalah dirinya sendiri - manja dan berwawasan.

"Buat Afrah dan dua abangnya, saya selalu tekankan tentang nilai-nilai yang mudah diamalkan. Hargai orang meskipun dengan kata-kata semudah 'terima kasih'.

"Afrah akan perhatikan nilai-nilai ini. Misalnya, saya akan ucapkan terima kasih kalau anak-anak saya luangkan masa untuk makan tengah hari dengan saya atau bersolat jemaah dengan saya.

"Saya tahu anak-anak saya sibuk. Mereka mungkin lebih seronok jalan-jalan dengan kawan atau ada rancangan makan dengan kawan tetapi kalau mereka luangkan masa untuk saya, itu amat berharga kepada saya dan saya harus berterima kasih kepada mereka," tambah Farah.

Apabila beliau menjadi ibu, barulah dirinya tahu betapa semangat ingin menjaga hal ehwal anak begitu perlu dengan hati selalu bimbang tentang keselamatan dan kesejahteraan mereka.

"Itulah kasih sayang ibu pada anak. Dulu, semasa saya dan Yasmin diundang ke Brunei untuk membuat persembahan bagi majlis ulang tahun atau persandingan diraja, saya selalu tertanya-tanya mengapa bapa saya ingin ikut sama?

"Kami boleh jaga diri tetapi bapa saya tetap bimbang lepaskan kami walaupun ada orang lain tolong tengok-tengokkan. Sebabnya, itulah jiwa orang tua pada anaknya. Nak lepaskan anak dara pergi luar negara, risaunya. Apabila saya jadi ibu, barulah saya faham," katanya.

The Queens popular dengan lagu Matahari Malam, Aku Jangan Digoda, Telatah Asmara, Tak Mengapa dan Bersabar Kalau Bercinta.

Apabila diberitahu ternampak catatan peminat di YouTube yang bertanyakan khabarnya, Farah berkata:

"Saya memang tidak aktif di media sosial. Setakat baca-baca berita atau jenguk Instagram tu ada tetapi tidak memuatnaik perkembangan kegiatan harian saya.

"Memang kalau diingatkan tentang timbunan surat dan kad raya berguni yang dikirimkan kepada saya dan Yasmin ketika itu, memang seronok. Kita baca setiap surat.

"Tapi, sewaktu jadi penyanyi dulu, kita ikut sahaja arus tuntutan seni ketika itu dan buat sebaik mungkin. Kami tak ada jurudandan penata rias untuk fikirkan tentang penampilan kami. Semua buat sendiri.

"Berpeluang juga jumpa artis seberang seperti Datuk Jamal Abdillah, Azean Irdawaty dan Datuk Khadijah Ibrahim dalam persembahan di Brunei. Semuanya kenangan manis dan pengalaman baru buat kami ketika itu," kongsinya.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg