Kata orang, 'tak kenal, maka tak cinta'. Apabila wujud cinta pada muzik dan perniagaan, payah dipisahkan daripada kehidupan dua bakat tempatan berikut. Apakah yang mereka sibukkan setelah melancarkan lagu bersama, 'X Kenal', dan pada Ramadan? BERITA HARIAN melaporkan.
TAHUN ini membawa seribu satu erti dan rezeki buat anak gadis penyanyi dan pelakon 1980-an Aman Shah, serta anggota kumpulan The Queens, Farah Diba Abdul Aziz.
Si jelita, Afrah Athasha, 22 tahun, melihat usaha gigihnya dalam bidang muzik dan perniagaan menampakkan hasil yang sangat menggalakkan.
Afrah yang lebih mesra dengan panggilan Zalelo (nama pentasnya) rasa bertuah dan bersyukur dapat menjalin kerjasama dengan ramai bakat muda seiring jalan dengannya.
Antaranya ialah Mohamed Daniel Matin (Daniel Sky), 21 tahun, rakan kerjasama bagi lagu X Kenal, yang juga usahawan muda.
Sepanjang Ramadan ini pula, Afrah gigih berkorban masa, keringat dan tulang empat keratnya bagi mengendalikan gerai 'live station' bubble tea Arab, Habibtea, di Malabar Cafe@54 Maude Road.
Gerainya dibuka dari 5 petang hingga 12 tengah malam.
Ikuti wawancara bersama Afrah yang gembira dapat meneruskan bakat seni ibu bapanya dan juga warisan Arab keluarganya menerusi usaha niaga, nilai dan budaya.
Soalan (S): Anda banyak bekerjasama menghasilkan lagu bersama bakat lain. Apakah yang anda senangi tentang jalinan kerjasama ini?
Afrah (A): Apabila saya bekerjasama dengan bakat lain, saya belajar cara agar lebih peka berurusan dengan orang sekeliling. Apa yang menjadi kebiasaan dalam komunikasi buat saya mungkin janggal buat orang lain.
Saya dapat dedahkan diri saya pada genre baru dan bereksperimen dengan bunyian baru bagi mencorak muzik saya sendiri.
Alhamdulillah, saya paling seronok apabila bertemu dengan pemuzik lain yang mempunyai semangat yang membara. Mereka semua orang Singapura macam saya! Siapa kata Singapura tak boleh?
Saya juga menjadi karyawan muzik yang lebih baik menerusi kerjasama ini.
S: Antara rezeki yang anda syukuri adalah apabila diundang bagi rancangan Hari Raya, Sinar Lebaran. Apakah perasaan anda menyertai rancangan Raya ikonik di sini?
A: Saya memang tidak jangka akan diundang bagi Sinar Lebaran kerana saya merasakan saya artis biasa-biasa untuk muncul dalam rancangan ikonik buat masyarakat Melayu ini.
Saya pun tak nak orang kata, sebab saya anak Aman Shah, maka saya diundang.
Alhamdulillah, saya diberikan jaminan oleh pihak penerbitan Suria bahawa mereka undang saya kerana bakat yang ada serta kesegaran yang mereka harap dapat saya bawa.
Seronok bukan kepalang. Sudah menjadi impian saya membuat persembahan dalam program Raya di televisyen. Ibu ayah saya pernah muncul dalam program Raya di Singapura.
Paling menggembirakan buat saya adalah memberikan ucapan Raya untuk penonton Sinar Lebaran. Dulu angan-angan, sekarang jadi kenyataan.
Saya akan menyanyikan lagu yang sangat comel, Joget Selfie Raya. Ada babak saya berjoget dan berlakon. Jangan ketinggalan menyaksikannya pada malam Raya.
Namun, yang lebih menggembirakan adalah apabila saya dapat duduk, makan dan bergambar dengan legenda muzik, Rahimah Rahim dan Datuk Ramli Sarip.
S: Pada peringkat nasional, anda juga terlibat dalam rakaman lagu 'Be Alright' di bawah Majlis Seni Kebangsaan (NAC). Ceritakan lebih lanjut mengenai projek ini.
A: Lagu 'Be Alright' ini istimewa kerana memaparkan cara warga Singapura mengatasi kesukaran yang dihadapi sepanjang tempoh pandemik Covid-19.
Melalui lagu ini, kami juga akan mengetengahkan bakat Singapura berbilang kaum daripada musim kedua projek seni intensif, The Great Singapore Replay.
Lagu ini disajikan dalam empat bahasa - Tagalog, Inggeris, Melayu dan Mandarin. Saya mewakili masyarakat Melayu.
Saya gembira dapat libatkan diri dalam projek ini kerana ia mengadun pelbagai genre muzik.
Rakan saya Marcus adalah penyanyi Cina yang bertegas ingin pelajari lirik dalam bahasa Melayu.
Tersentuh saya dengan usahanya. Ini merupakan pengalaman menyeronokkan. Saya terharu pertubuhan seperti NAC memberi kami peluang menyinar dalam usaha kemasyarakatan ini.
S: Kongsi kisah perniagaan Habibtea yang nampaknya maju dan menarik perhatian pengikut anda.
A: Saya mulakan Habibtea ini sebagai memperingati perjuangan datuk nenek saya. Saya juga sukakan minuman bubble tea.
Ini satu cara saya memperkenal warisan Arab saya kepada warga Singapura setelah saya bertungkus-lumus bekerja menyiapkan minuman bubble tea di Bazar Geylang, tiga tahun lalu.
Saya dapat rasakan kegilaan orang tentang bubble tea. Sampaikan apabila wabak Covid-19 melanda, orang tetap keluar rumah hanya untuk beli bubble tea!
Saya terfikir, saya boleh juga mulakan perniagaan bubble tea dan salur wang kepada golongan yang memerlukan di Yaman, negara kelahiran datuk moyang saya.
Harapan saya dapat berkunjung ke Yaman suatu hari nanti. Setiap bulan, saya usahakan projek pengenalan budaya Arab dengan mengajar perkataan Arab yang mudah di media sosial Habibtea.
Pengikut saya suka belajar perkara baru. Saya tidak terlatih dalam bidang niaga. Justeru, saya harus belajar dan berani harungi liku-liku perniagaan secara sukar.
Kini saya kendalikan 'live station' bubble tea buat kali pertama di Malabar Cafe, selepas kurang setahun mulakan bisnes.
Saya akur ada yang sangsikan keupayaan saya kerana saya masih muda. Mereka mungkin kata, 'Tahu ke dia ni nak meniaga?'
Alhamdulillah, berkat sokongan keluarga saya, banyak perkongsian panduan yang saya raih.
Kadangkala bingit sebab ada pihak yang tak ambil serius apabila saya datang bertemu mereka bagi sesi mesyuarat niaga.
Namun, berkecimpung dalam bidang perniagaan mengajar saya agar lebih terperinci, berdisiplin dan bersabar dalam urusan harian.
Pecutan adrenalin juga membawa stres yang bermanfaat bagi saya. Saya rasa terdorong apabila pelanggan gembira menerima bubble tea Habibtea atau jika mereka datang lagi nak beli minuman saya.
Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg