DENGAN dirinya berupaya mencapai pelbagai kejayaan dalam industri hiburan pada usia muda, artis Malaysia Muhammad Shameer Shauqeen Shaiful Nizam atau lebih dikenali sebagai Meerqeen, mensyukuri rezeki yang diterimanya sejauh ini.
Ketika ditemui Berita Harian di Pusat Persidangan dan Pameran Suntec Singapore baru-baru ini, Meerqeen, 22 tahun, berasa bangga akan perjalanannya dalam dunia hiburan selama ini.
"Saya amat berterima kasih terhadap semua peluang yang melimpah-ruah ke arah saya. Dengan rendah hati, saya amat bangga dengan hasil pencapaian dalam kerjaya saya ini sebab kebanyakannya di luar jangkaan orang.
"Antara matlamat besar yang telah saya penuhi adalah untuk bekerjasama dengan jenama-jenama besar dan juga terlibat dalam siri-siri drama yang popular.
"Dan sekarang, saya akan teruskan usaha ini dan berasa ghairah untuk memulakan projek-projek baru," ujarnya yang mula dikenali setelah memainkan watak utama sebagai Firdaus dalam drama rantaian Melur Untuk Firdaus.
Drama itu juga menggandingkannya dengan pelakon jelita Anna Jobling yang disifatkan sebagai gandingan serasinya.
Berkongsi lebih tentang matlamat besar yang ingin dicapainya sewaktu ditemui di acara dagangan selebriti CelebFest, Meerqeen menambah:
"Ini tidak ada kaitan dengan dunia hiburan tetapi saya juga ada niat untuk membawa ibu dan ayah melaksanakan ibadah haji atau umrah. Insya-Allah, hasrat ini dapat dilunaskan dalam masa terdekat."
Musim kedua siri drama Melur Untuk Firdaus kini sudah selesai ditayangkan dan Meerqeen terharu dengan respons yang memberangsangkan dari penonton dan peminat.
Musim kedua itu yang mengambil masa penggambaran sekitar lima bulan itu menyenangkan dan Meerqeen tidak mengalami cabaran besar semasa berlakon.
"Sudah tentu bahagian paling saya gemari adalah peluang bekerjasama dengan pelakon yang 'power', Anna Jobling.
"Keserasian kami di set menyerlahkan lakonan kami dengan perasaan yang ikhlas dapat kami tonjolkan dalam setiap adegan yang dilakonkan.
"Ini adalah antara detik yang Meerqeen tidak dapat lupakan dalam Melur Untuk Firdaus kerana perasaan dan cara kami berlakon atau cakap mudahnya keserasian itu tidak dapat dirasakan dalam penggambaran projek lain," kongsi warga Malaysia pertama yang dilantik sebagai duta jenama mewah antarabangsa iaitu YSL Beauty untuk bahagian francais dandanan asas dan wangian.
Meskipun musim drama kedua Melur Untuk Firdaus telah selesai, Meerqeen sudah mula bersiap sedia untuk projek seterusnya iaitu untuk penggambaran siri drama yang baru oleh Astro Originals bermula Julai ini.
"Siri ini masih lagi dalam peringkat awal dan saya hanya dapat kongsikan bahawa watak yang dibawa mempunyai ciri-ciri psycho. Drama ini genre psycho-thriller," kongsi peserta dan finalis dalam program Hero Remaja edisi ke-10 pada 2020 itu.
Justeru itu, Meerqeen telah mula menyiapkan diri dari segi mental dan juga secara fizikal dengan menghadiri kelas-kelas seni mempertahankan diri.
Baru-baru ini juga, Meerqeen ialah antara dua selebriti Malaysia yang berpeluang hadir ke pembukaan semula cawangan jenama besar Tiffany & Co di New York, Amerika Syarikat.
Pesanan dan nasihat utama Meerqeen untuk orang lain yang ingin menceburi bidang seni:
"Sesiapa yang mempunyai bakat yang tersurat ataupun tersirat, buat sahaja...jangan malu. Tunjukkan bakat itu, sebab bakat itulah yang dapat memberikan pekerjaan, dan ini bukan untuk lakonan sahaja.
"Jangan sorok bakat yang tersirat itu. Gali, cari dan gilap bakat itu agar industri kita penuh dengan wajah-wajah dan bakat yang hebat.
"Keyakinan itu penting tetapi jangan terlalu yakin, selalu berlatih dan percaya pada diri."


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg