BAYANGKAN dalam anda berdekah-dekah ketawakan sekumpulan badut yang mencuit hati di pentas depan mata, tahu-tahu ribut salji pula melanda.

Menderu-deru 'salji' dalam bentuk kepingan konfeti dilontar ke arah muka anda dengan deruan angin kencang.

Seketika itu, penonton persembahan teater badut Slava's Snowshow di Teater Sands, Marina Bay Sands, hanya mampu terpekik atau menutup muka mereka dek ribut salji tadi.

Itulah antara pengalaman menarik yang dapat dirasakan jika anda membawa anak-anak atau sahabat anda untuk menyaksikan teater badut yang luar biasa ini.

Selain ribut salji yang tidak diduga, ada juga tempoh di mana anda terasa bak lautan manisan cotton candy menyaluti diri anda.

Sebabnya, dalam adegan sarang labah-labah ditebar ke arah anda, bahan bak kapas secara kreatif dilontar ke arah penonton oleh si badut sehingga dengan rasa ghairahnya penonton menolaknya ke belakang untuk elak diri daripada terjerat oleh sarang labah-labah itu.

Slava's Snowshow yang diilhamkan badut legenda dari Russia, Slava Polunin, 72 tahun, adalah usaha memasyarakatkan lawak jenaka sang badut sebagai insan lucu yang boleh menggembirakan hidup anda di samping menyentuh jiwa anda dengan emosinya.

Polunin sedikit pun tidak tergugat dengan paparan badut jahat di layar perak yang digambarkan sebagai watak antagonis dan pembunuh seperti dalam siri televisyen American Horror Story mahupun filem Joker.

Dalam satu wawancara awal bersama media, Polunin menyatakan:

"Jaws pada tahun 1975 membuat jerung seakan haiwan paling membinasakan nyawa tetapi orang ramai masih berenang di lautan. Filem lain mengetengahkan beruang tetapi orang ramai masih tidak gentar merentasi hutan rimba."

Lantaran itu, beliau yakin gabungan aksi lucu badut dan persembahan teater ini dapat memikat ramai dan mengubah takrifan mereka tentang persembahan lawak jenaka badut.

Slava's Snowshow mula dipentaskan pada 1993 dan pernah disajikan di Panggung Kallang pada 2001 dan 2012 di Teater Sands.

Di sebalik gelak tawa yang memenuhi ruang teater, ia adalah persembahan yang banyak menyentuh isu kemanusiaan.Sekumpulan badut berbaju hijau berinteraksi dengan seorang lagi badut berbaju kuning yang keseorangan menempuhi hidup.

Ia menggambarkan kehidupan sebenar di mana dalam persahabatan kadangkala anda juga disisihkan dan diperdaya.

Teman hanya ada di kala senang tetapi apabila masalah timbul dalam kehidupan anda, satu persatu mereka membiarkan anda hidup kesunyian dan terasing.

Situasi 'terasing' ini diketengahkan dalam perlambangan musim sejuk yang dingin dan meresahkan.

Ada banyak pengajaran tentang persahabatan dan perlunya kita berhati-hati dengan musuh dalam selimut yang kadangkala menerpa tanpa diduga.

Bersatu hati akan meredakan segala beban tetapi dapatkah kita diberi jaminan orang yang nampaknya baik dengan kita akan sama-sama membantu kita sehati sejiwa?

Slava's Snowshow cukup interaktif. Kebanyakan masa, badut di pentas akan mengusik penonton yang didekati dengan memancurkan air atau melontar belon ke arah mereka.

Tanpa anda duga, kadangkala mereka meminta anda menghulurkan tangan kepada mereka untuk membantu mereka 'menyeberangi' kerusi dalam ruang teater itu.

Jika anda suka muzik instrumental, runut bunyi Titanic dan Chariots of Fire turut menyemarakkan pementasan ini. - HARYANI ISMAIL

  1. Tiket Slava's Snowshow antara $68 hingga $148 boleh ditempah di laman Marina Bay Sands atau Sistic. Pementasan ini berlangsung hingga Ahad ini pada 7 malam (Selasa hingga Sabtu) serta 4 petang (Sabtu) dan 1 petang serta 5 petang (Ahad).