Subuh
5:36
Syuruk
6:57
Zuhur
1:03
Asar
4:24
Maghrib
7:07
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

'RINDU DI BULAN': Teater papar dilema ibu dan anak angkat, mitos Cina

Pengalaman sebenar penulis naskhah, Raimi Safari cetus idea buat 'Rindu Di Bulan'
Jan 13, 2022 | 05:30 AM



TATKALA merenung bulan yang nampak indah dari kejauhan balkoni rumahnya, timbul idea bagi penulis naskhah teater Raimi Safari menyajikan pementasan Rindu Di Bulan.



Beliau cuba menyulam rasa cinta dan ingatannya pada mitos legenda Cina tentang Dewi Bulan Chang'e dan seekor arnab dengan pengalaman peribadinya sebagai anak angkat.



Raimi, 34 tahun, anak bongsu empat beradik lelaki diserahkan kepada keluarga bapa saudaranya yang mempunyai empat anak perempuan, hanya setelah dua hari dilahirkan.



Rindu Di Bulan akan menemui penonton Studio Teater Esplanade antara 19 dengan 22 Januari (8 malam) serta 23 Januari (3 petang) ini sebagai sebahagian sajian pesta seni pinggiran M1 Singapore Fringe Festival.



Pementasan kumpulan Rupa co.lab itu diarah Adib Kosnan, 36 tahun, dan menyatukan dua kisah berupa harapan, cinta dan kekeluargaan yang merentasi ruang dan masa.



Kisah pertama menyingkap pengalaman seorang perawan yang terkandas di bulan tanpa daya ingatan dan hanya ditemani seekor arnab yang petah berpuisi.



Sedang kedua-duanya menyelongkar kebenaran di sebalik tidak munasabahnya situasi, pada jarak sekitar 385,000 kilometer, sebuah isi rumah Melayu sedang bergelut dengan selok-belok situasi yang ada kini.



Watak Mak yang sedang mempersiapkan dirinya bagi ibadah umrah berdepan dengan realiti yang sulit dari segi ketetapan agama iaitu tinggal bersama anak angkat lelakinya yang bukan mahram.



Ketika dihubungi Berita Harian melalui Zoom, Raimi, seorang guru sepenuh masa menjelaskan:



"Idea bagi pementasan ini datang sejak pandemik melanda pada 2020. Apabila duduk bersendirian, saya mula memikirkan tentang mitos yang saya suka baca atau dengar semasa kecil.



"Ia tidak terhad pada legenda Melayu sahaja tetapi menjangkau legenda bangsa lain. Antaranya termasuk kisah Dewi Chang'e dengan arnab.



"Saya berbual dengan Adib dan menyifatkannya sebagai sesuatu yang istimewa untuk disajikan memandangkan kita sebagai anak Melayu dalam masyarakat berbilang kaum turut terdedah pada mitos Cina.



"Saya terfikir bagaimana ingin mendalami lagi jalan cerita naskhah teater ini. Maka, wujud pula inspirasi daripada pengalaman peribadi saya yang diambil sebagai anak angkat oleh keluarga pak cik saya."



Menurutnya, perihal menjadi anak angkat adalah budaya yang kerap diamalkan berdekad lamanya oleh masyarakat Melayu.



"Ramai yang mengambil anak angkat atas pelbagai sebab. Namun, antara perkara yang sering menimbulkan tanda tanya adalah perihal hubungan bukan mahram si ibu atau bapa dengan anak angkatnya.



"Saya misalnya tinggal bersama ibu bapa angkat saya sejak usia dua hari lagi. Antara perkara yang difikirkan apabila dewasa adalah saya dan ibu angkat saya bukan mahram. Batal wuduk apabila tersentuh.



"Tertanya-tanya tentang isu aurat. Apakah ibu angkat saya perlu memakai tudung di rumah? Apakah saya perlu berseluar panjang di rumah?



"Saya mahu penonton memikirkan sendiri dan hadam perkara ini. Apa yang kita tahu dilema ini wujud. Dalam kajian saya, saya berpandukan pesanan ustaz bahawa Islam tidak menyusahkan umatnya dan ada jalan keluar," tambah Raimi.



Beliau secara peribadi hanya dapat tahu dirinya merupakan anak angkat pada usia tujuh atau lapan tahun.



"Ibu bapa saudara saya mempunyai empat anak perempuan. Itulah yang mendorongnya mengambil saya sebagai satu-satunya anak lelaki.



"Sampai ke hari ini, saya dah anggap mereka macam keluarga sendiri. Mulanya tak percaya saya anak angkat sehinggalah kakak saya menunjukkan nama bapa saya tak sama dengan nama bapanya dalam pasport.



"Alhamdulillah, semua anggota keluarga dan saudara-mara tahu status saya sebagai anak angkat.



"Hubungan dengan keluarga kandung tetap akrab dan saya bersyukur kerana ada keluarga lebih besar dengan kakak dan abang sekeliling saya. Kami sering kunjung mengunjung," jelasnya lagi.



Menerusi pementasan Rindu Di Bulan, Raimi berharap generasi muda masa kini akan lebih memahami trend mengambil anak angkat pada era 1980-an dan isu yang berlegar di sekelilingnya.



Adib pula teruja mengarah pementasan yang banyak berlegar di sekitar isu perhubungan manusia.



"Mungkin ada yang tertanya-tanya, apa kaitan antara kisah Chang'e dengan arnab dengan kisah anak angkat. Jauh beza temanya.



"Namun, hasil kebijaksanaan dan kreativiti Raimi menulis, maka wujud kesinambungan di situ. Tugas saya adalah memastikan bagaimana proses penceritaan ini dapat disampaikan secara lancar dengan dinamika dan isu buat penonton fikirkan mengenai pertalian keluarga, isu mengambil anak angkat dan kasih sayang," tambahnya.



Adib akur selain cabaran membahagikan masa, beliau juga perlu peka dengan kemahuan Raimi sebagai penulis naskhah pentas ini.



"Kami berdua memang datang daripada kolektif penulis teater yang sama iaitu Main Tulis Group.



"Saya faham mengapa Raimi menganggap bahagian tertentu dalam penulisannya itu begitu berharga dan adegan itu perlu dilakukan mengikut cara tertentu.



"Saya ingin membantunya merealisasikan idea beliau dan menyatukan cebisan idea ini untuk tatapan penonton. Ada banyak ciri-ciri yang perlu diperhatikan," jelas Adib.



Raimi pula menambah beliau sangat pentingkan penggunaan perkataan yang tepat diucapkan pelakon.



"Dalam proses menghafal skrip, ada satu dua perkataan daripada skrip asal yang kadangkala mereka gantikan. Saya amat prihatin dengan pertukaran perkataan ini kerana maksudnya boleh bertukar menjadi kurang tepat dan jitu dalam sekelip mata.



"Misalnya, pelakon ini gunakan frasa 'perjalanan kita' manakala saya pula gunakan frasa 'penghijrahan kita' dalam naskhah asal.



"Mungkin nampak remeh tetapi bagi saya, perjalanan dan penghijrahan ada bezanya. Penghijrahan menggambarkan perjalanan penuh emosi lagi. Ketepatan sangat perlu dalam pementasan teater kerana sekali diucap secara 'live' di pentas tidak boleh diulang lagi macam rakaman drama televisyen," ujarnya.



Raimi berharap Rindu Di Bulan dapat membuka mata penonton terhadap nilai silang budaya yang saling bertindih dalam masyarakat majmuk.



  • Tiket $27 bagi menonton 'Rindu Di Bulan' antara 19 dengan 23 Januari ini boleh ditempah menerusi pautan pada laman Esplanade atau laman sg.bookmyshow.com

 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >