Subuh
5:54
Syuruk
7:15
Zuhur
1:18
Asar
4:41
Maghrib
7:19
Isyak
8:32
Gaya Hidup0

Rindu roker Yantzen terhadap anak di Yaman

Nov 24, 2020 | 05:30 AM

HATI ayah mana yang tidak gundah berjauhan daripada anak tersayang, lebih-lebih lagi jika itulah satu-satunya cahaya mata 'buah hati pengarang jantung'.

Inilah yang dirasakan roker kelahiran Singapura, Yantzen Juniwan, 61 tahun, yang kini bertanding malah layak ke peringkat suku akhir peraduan realiti Gegar Vaganza 7 (GV7), Ahad ini.

Beliau yang merupakan peneraju band legenda Singapura, Rusty Blade, sebelum menjadi vokalis kumpulan May, sudah lebih setahun tidak bertemu anaknya, Alif Ronan, 21 tahun.

Alif yang merupakan anak hasil perkongsian hidup dengan bekas isteri, pelakon dan usahawan Sharifah Haslinda, kini pelajar jurusan agama di maktab pengajian di Tarim, Yaman, Darul Qoum Al Ilmy.

Yantzen dan Sharifah Haslinda berpisah pada 2004 selepas mendirikan rumah tangga selama 10 tahun.

Mereka kekal bersahabat hingga ke hari ini.

Dalam satu wawancara bersama Berita Harian, Yantzen menjelaskan kerinduannya yang amat dalam terhadap Alif.

"Kami sudah lama tidak bertemu, lebih setahun lamanya. Memang berat hati nak lepaskan dia pergi tahun lalu tetapi demi ilmu yang bermanfaat, saya izinkan dengan iringan doa.

"Alif jauh memburu ilmu. Bidang agama merupakan pilihannya. Alhamdulillah. Sebagai ayah saya mendoakannya dan teman-temannya serta inginkan yang terbaik buatnya agar kembali ke pangkuan keluarga kelak dengan ilmu yang boleh dikongsi dengan masyarakat," jelasnya.

Beliau menyifatkan Alif sebagai anak yang prihatin dan mesra dengan keluarga.

Hubungan mereka anak beranak sangat akrab dengan Alif turut menemaninya dalam kunjungan melawat saudara-mara di Singapura seperti pada musim Lebaran atau ketika ada majlis perkahwinan keluarga terdekat.

Kerinduan Yantzen itu turut dilahirkan dalam satu episod GV7 di mana Yantzen begitu sebak seraya berkata:

"Kalau saya jumpa Alif, saya nak peluk erat-erat. Daddy rindukan kamu, sentiasa dalam diri ini mendoakan kamu," tambah Yantzen.

Astro selaku pihak penerbitan GV7 juga merakam suara Alif menerusi panggilan telefon dari kejauhan Yaman memandangkan rangkaian Internet tidak begitu baik untuk memancarkan sidang video.

Yantzen dan anaknya juga hanya mampu berhubung sebulan sekali kerana situasi rangkaian komunikasi itu.

Memaklumkan keadaannya dan teman-teman pengajian sihat di Tarim, Alif berkata:

"Alif selalu doakan Daddy dan keluarga. Selamat maju jaya buat Gegar Vaganza, break a leg and blow them away (ucap selamat bagi persembahan yang dibuat dan buat penonton kagum).

"Alif akan lama, empat atau lima tahun di sini. Kalau ada rezeki tahun depan, Alif ingin bawa Daddy jalan-jalan di Yaman dan berziarah ke Hadramaut. Sentiasa kekal positif dan gembira selalu."

Segmen tersebut menyentuh jiwa ramai warganet yang mengucapkan tahniah kepada Yantzen kerana membesarkan anaknya dengan baik sehingga Alif terdorong memilih pengajian agama untuk bergelar asatizah kelak.

Kata warganet Fiz Khair:

"Abang Yantzen memberi teladan yang baik. Dengan hasil pencarian dalam bidang muzik, beliau mampu menyekolahkan anaknya dalam bidang agama, pergi sejauh Yaman lagi.

"Kalau ada yang pandang rendah kepada roker dan kaitkan roker dengan perkara tak baik, beliau gambaran roker berwawasan. Moga Allah beri kemudahan buat Alif menimba ilmu."

Sebelum sibuk dengan tuntutan GV7, Yantzen kerap mencatat perkongsian tentang Alif yang dibimbing gurunya, Habib Husain AlHabshi.

Ada juga catatan tentang hadiah berupa Kitab Imam Ghazali yang beliau hadiahkan buat hari lahir anaknya dua tahun lalu.

"Dulu berinya hadiah mainan atau pakaian sewaktu kecil...sekarang beri hadiah lebih berat untuk dia pikul.

"Dia suka membaca tetapi dalam bahasa Arab dah..." tulisnya.

Bagi Yantzen sendiri, banyak pasang surut yang dilalui sebagai anak seni membuatkannya selesa menyampaikan nilai-nilai murni dalam lagu.

Lagu-lagunya sebelum ini seperti Insan (sebagai artis solo) dan Tiada Lagi Aku (bersama Rusty Blade) banyak mencerminkan tentang sikap kehambaan dan persahabatan.

Sedang Insan menekankan tentang semangat saling membantu yang perlu ada dalam diri manusia tanpa mengira kedudukan, Tiada Lagi Aku pula menceritakan tentang perlunya seseorang tidak melupakan diri dan teman apabila berjaya.

Sebelum ini, Yantzen juga pernah terlibat dalam album Rock Rohani yang memuatkan lagu rok dengan mesej ketuhanan dan kerohanian.


"Alif selalu doakan Daddy dan keluarga. Selamat maju jaya buat Gegar Vaganza, break a leg and blow them away (ucap selamat bagi persembahan yang dibuat dan buat penonton kagum). Alif akan lama, empat atau lima tahun di sini. Kalau ada rezeki tahun depan, Alif ingin bawa Daddy jalan-jalan di Yaman dan berziarah ke Hadramaut. Sentiasa kekal positif dan gembira selalu."
- Alif Ronan dalam satu rakaman suara yang ditujukan kepada ayahnya Yantzen, dan disiarkan semasa satu episod Gegar Vaganza baru-baru ini.

Video Baru

Podcast Baru

Try the new Halal Food Map