Kanak-kanak yang kembali ke sekolah selepas bercuti di luar negara mungkin membawa balik virus yang belum tersebar secara meluas di sini, sekali gus membolehkan jangkitan merebak dengan cepat melalui hubungan rapat dan berpanjangan.
Menurut Agensi Penyakit Berjangkit (CDA), beberapa bulan pertama dalam penggal persekolahan lazimnya menyaksikan peningkatan jangkitan saluran pernafasan dan jangkitan yang merebak melalui sentuhan.
Ini disebabkan oleh peningkatan pergaulan dalam kalangan kanak-kanak serta persekitaran sekolah itu sendiri.
Pengarah Bahagian Penyakit yang Merebak melalui Udara dan Titisan di CDA, Dr Zubaidah Said, menjelaskan bahawa persekitaran sekolah sememangnya memudahkan penyebaran jangkitan kerana kanak-kanak menghabiskan masa lama dalam jarak yang rapat.
Menurutnya, kanak-kanak berkongsi ruang udara dan kerap menyentuh permukaan yang digunakan bersama seperti meja, pemegang pintu dan peralatan di taman permainan.
“Peningkatan jangkitan selepas sekolah dibuka semula didorong oleh pelbagai faktor, termasuk melancong ke luar negara semasa cuti sekolah, interaksi sosial yang lebih kerap dan tabiat bermain dalam kalangan kanak-kanak.
“Kanak-kanak kecil terutamanya cenderung berinteraksi secara fizikal dan dalam jarak yang berdekatan antara satu sama lain.
“Mereka sering menyentuh objek yang digunakan bersama dan kemudian menyentuh muka mereka, lantas meningkatkan risiko jangkitan,” terang Dr Zubaidah.
Pada awal 2025, poliklinik di sini mengendalikan lebih banyak kes jangkitan pernafasan akut, dengan purata bilangan kes harian meningkat kepada 3,392 pada minggu antara 26 Januari dengan 1 Februari, berbanding 2,470 dua bulan sebelumnya, kata CDA.
Menurut Dr Zubaidah, antara penyakit paling biasa pada permulaan tahun persekolahan termasuk jangkitan saluran pernafasan atas, seperti selesema, influenza, serta penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD).
Kanak-kanak yang dijangkiti saluran pernafasan biasanya menunjukkan gejala seperti hidung berair, batuk dan sakit tekak, manakala influenza boleh menyebabkan demam tinggi dan sakit badan, tambahnya.
Penyakit HFMD, yang disebabkan oleh enterovirus (virus dalam gastrousus) dan lazimnya menjejas kanak-kanak di bawah lima tahun, adalah endemik di Singapura dan boleh menyebabkan demam, ulser mulut, serta ruam atau lepuh pada tangan dan kaki.
Ia merebak melalui titisan pernafasan, sentuhan dengan permukaan yang tercemar, serta tangan yang tidak dibersihkan dengan betul.
Namun begitu, Kementerian Pendidikan (MOE) memberi jaminan bahawa sekolah mematuhi protokol yang telah ditetapkan bagi melindungi kesihatan dan kesejahteraan murid, serta mengurangkan risiko penularan penyakit.
Antaranya termasuk memperkukuh amalan kebersihan, seperti kerap mencuci tangan dengan sabun, membersihkan kawasan yang sering digunakan, membuang sisa dengan betul, serta menggalakkan kebersihan diri.
“Guru dan kakitangan sekolah juga sentiasa peka terhadap gejala biasa seperti demam dan batuk.
“Murid yang menunjukkan gejala ini akan diasingkan di bilik rawatan atau pejabat sekolah, supaya ibu bapa dapat membawa mereka pulang untuk berehat dan pulih,” kongsi seorang jurucakap MOE.
Menurutnya, ibu bapa memainkan peranan penting dalam mengukuhkan tabiat dan amalan sihat di rumah.
Ini termasuk memastikan jadual tidur yang tekal, menyediakan makanan berkhasiat, serta meminum air yang mencukupi bagi menguatkan sistem imun.
“Sekiranya ibu bapa mengesan sebarang gejala, mereka digalakkan memastikan anak duduk di rumah sehingga benar-benar pulih.
“Langkah ini bukan sahaja memberi masa rehat yang mencukupi kepada kanak-kanak yang tidak sihat, malah membantu dalam melindungi masyarakat sekolah secara keseluruhan, sekali gus mengekalkan sekolah sebagai persekitaran pembelajaran yang selamat dan kondusif,” tambahnya.
Di samping itu, Dr Zubaidah menasihatkan ibu bapa supaya memerhatikan tanda amaran seperti suhu badan mencecah 37.5 darjah Celsius atau lebih, batuk, bersin, ruam yang tidak jelas puncanya dan perubahan dalam tingkah laku anak.
“Jika seorang kanak-kanak kurang aktif daripada biasa, tidak makan atau minum dengan baik, kelihatan mudah marah atau tidak selesa, ini mungkin tanda sesuatu tidak kena, terutama bagi kanak-kanak kecil yang mungkin tidak dapat menyatakan apa yang mereka rasa,” ujarnya.
Dr Zubaidah turut menerangkan salah satu tanggapan yang tidak benar ialah kanak-kanak tidak lagi berjangkit selepas demam mereka reda.
Hakikatnya, beliau menjelaskan, kanak-kanak masih boleh menyebarkan penyakit walaupun demam telah reda, terutama jika terdapat gejala lain yang berterusan.
Menyentuh tentang ubat demam seperti paracetamol atau ibuprofen, beliau berkata mereka tidak merawat demam, tetapi sekadar mengawal gejalanya dan membuat kanak-kanak kelihatan sihat, yang bermakna mereka masih boleh berjangkit.
Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Dr Zubaidah menekankan pentingnya langkah pencegahan yang boleh diterapkan oleh ibu bapa di rumah, seperti mencuci tangan dengan sabun dan air sekurang-kurangnya selama 20 saat.
Antara langkah lain termasuk mengamalkan etika baik, seperti menutup mulut dan hidung ketika batuk atau bersin, serta memakai pelitup muka apabila tidak sihat.
“Sabun dan air tetap menjadi cara paling berkesan untuk menghilangkan kuman, terutamanya apabila tangan kotor,” katanya, sambil menambah bahawa pensanitasi tangan berasaskan alkohol harus mengandungi sekurang-kurangnya 60 peratus alkohol untuk berkesan.
Ibu bapa juga digalakkan memastikan anak mereka lengkap diberi vaksin mengikuti saranan Jadual Imunisasi Kanak-Kanak Nasional (NCIS), serta mempertimbangkan vaksin influenza tahunan, terutama bagi kanak-kanak kecil dan mereka yang mempunyai masalah kesihatan tertentu.
Dari segi barang yang kanak-kanak boleh bawa ke sekolah, Dr Zubaidah mencadangkan pelitup muka tambahan, pek tisu individu dan pensanitasi tangan berasaskan alkohol.
Menurutnya, barang-barang tersebut membolehkan kanak-kanak mengamalkan kebersihan dengan baik sepanjang hari, terutama apabila mereka tidak mempunyai akses kepada sabun dan air.
Dr Zubaidah menegaskan bahawa kanak-kanak perlu duduk di rumah apabila mereka tidak sihat dan ibu bapa harus memastikan mereka hanya kembali ke sekolah selepas demam reda sekurang-kurangnya 24 jam tanpa mengambil ubat penurun demam serta semua gejala telah pulih sepenuhnya.
“Menjaga anak yang sakit di rumah melindungi bukan sahaja anak itu sendiri, bahkan juga rakan sekelas, guru, dan masyarakat secara keseluruhan.
“Kanak-kanak belajar melalui memerhatikan orang dewasa.
“Apabila ibu bapa mengamalkan kebersihan dengan konsisten, kanak-kanak lebih cenderung untuk mengikutinya,” nasihat Dr Zubaidah.
PANDUAN UNTUK IBU BAPA JAGA KESIHATAN ANAK
Barang yang anak boleh simpan dalam beg sekolah
Bilakah anak perlu duduk rumah dan tidak ke sekolah?


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg