Subuh
5:35
Syuruk
6:56
Zuhur
1:03
Asar
4:25
Maghrib
7:07
Isyak
8:20
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

SEKITAR RAMADAN

Riuh rendah artis SG rai Ramadan

Bakat setempat rancak berseni kembali, buat kerja kebajikan dan cari ilham kekal relevan
Apr 08, 2022 | 07:23 AM



KEMERIAHAN dan semarak Ramadan yang menyusup di setiap penjuru kota Singapura lebih dapat dirasakan pelakon pentas dan televisyen, Fir Rahman, tahun ini.



Kesyukuran bukan sahaja dirasakan Fir, 41 tahun, kerana kegiatan seni yang kembali rancak setelah langkah pengurusan selamat bagi acara hiburan dilonggarkan.



Enam bulan lalu, beliau seisi keluarga baru sahaja berpindah ke rumah baru sekitar Toa Payoh, lantas dirinya tidak sabar untuk memasang lampu lap lip di koridor rumah bagi mengembalikan nostalgia Lebaran.



Sentimen gembira dan bersyukur pada Ramadan yang murni meskipun sibuk dengan bermacam projek seni, perniagaan dan kemasyarakatan adalah yang dikongsi beberapa selebriti lain yang dihubungi Berita Harian semalam.



Ketika dihubungi, Fir yang kini sedang sibuk berlatih untuk pementasan Bangsawan Gemala Malam yang akan dipentaskan di Panggung Victoria antara 2 hingga 4 Jun sempena Pesta Seni Antarabangsa Singapura (Sifa), berkata:



"Buat masa ini, masa saya dikhususkan untuk pementasan bangsawan yang dipadankan daripada karya William Shakespeare, A Midsummer Night's Dream.



"Barisan pelakonnya memang handal belaka seperti Hatta Said, Aisyah Aziz dan Munah Bagharib. Kami diiringi penari.



"Sembilan orang daripada kami diuji untuk dapatkan nada yang tepat dan sempurna bagi bangsawan muzikal ini. Sambil menyanyi, sambil menari mengikut rentak.



"Sememangnya, latihan begitu intensif ketika kami berpuasa sambil memastikan gerak tari dan nyanyian seiringan. Alhamdulillah, projek seni saya pada Ramadan ini satu sahaja kerana penglibatan dalam bangsawan ini memerlukan perahan jiwa dan raga serta masa."



Beliau juga akur kebanyakan masa tidak dapat berbuka dengan keluarga kerana latihan bangsawan yang bermula sekitar 6 petang kerana komitmen tugas pengarah dan pelakon.



Baginya, itulah pengorbanan yang perlu dilakukan kerana komited menjadi anak seni yang mencari rezeki buat keluarga.



"Mujurlah, isteri saya memahami amanah saya. Kami khususkan hujung minggu untuk membeli-belah sempena Raya dan berbuka bersama," tambahnya.



Dengan lebih ramai tetamu dijangka dapat datang berkunjung sempena Raya, Fir yang mempunyai empat cahaya mata, lebih teruja.



"Saya memang tak sabar nak sambut Raya memandangkan kami baru sahaja berpindah. Rumah baru ini mempunyai koridor. Bolehlah saya pasang lampu lap lip. Mudah-mudahan dapat jemput lebih ramai tetamu bagi acara rumah terbuka kecil nanti.



"Yang pasti anak-anak lebih seronok sebab sudah dua tahun tak dapat nak rasa 'mood' Hari Raya kerana sekatan pandemik," ujar Fir.



Dalam kesibukannya, beliau juga meluangkan masa menjalankan kerja kemasyarakatan bersama keluarganya yang akan mengumpul baju Hari Raya terpakai yang masih baik lagi untuk didermakan kepada masjid.



"Itulah sumbangan kecil kami pada bulan mulia ini," jelasnya.



LATIH ANAK PUASA



Sambutan Ramadan kali ini juga menyeronokkan buat pengacara dan pelakon Ainon Talib, 31 tahun.



Bukan sahaja beliau gembira dapat mengacarakan rancangan Warna Ramadan di televisyen tetapi dirinya juga teruja kerana ingin melatih anak sulungnya yang bakal berusia tujuh tahun berpuasa.



"Saya sendiri terkenangkan detik saya masih di sekolah rendah dahulu dan menangis sambil menelefon ibu saya kerana kelaparan dan dahaga.



"Sekarang giliran saya pula untuk pastikan bagaimana saya dapat latih anak saya berpuasa. Dulu kita curi-curi nak minum air semasa ambil wuduk atau mandi.



"Suami kata, biar anak kami lalui sendiri proses ini," katanya yang melihat orang sekeliling begitu teruja usahakan projek pertukangan menjelang Raya mahupun berkunjung ke bazar untuk rasakan semangat Ramadan.



GIGIH CARI WARISAN 'HILANG'



Kerja penerbitan dokumentari jalan terus pada Ramadan buat pasangan suami isteri Adi Yadoni, 57 tahun dan Wahyu Rahman, 45 tahun.



Ketika dihubungi, Wahyu yang mengendalikan bersama syarikat penerbitan Element Pictures bersama Adi, berkata:



"Kami sedang menyiapkan kajian untuk musim kedua dokumentari Hilang. Sebelum ini, dalam musim pertama, kami mengusahakan tentang kisah Orang Laut, bangsawan dan permainan tradisional.



"Kini, kami bertekad meneroka dan menyelami lebih banyak perkara yang 'hilang' namun memberinya nafas baru dari segi penyampaian.



"Tidak mudah bagi kami menjalankan kerja siasatan kerana perlu cuba dan cuba berulang kali sampailah dapat individu yang tepat untuk berikan penerangan.



"Misalnya, kami diberitahu ada seorang pak cik yang ingin kami jejaki selalu berada di kawasan di sekitar Bedok jadi hampir setiap hari kita ke sana untuk mencarinya. Kami hanya bertemu dengannya pada hari keempat.



"Memang penat tetapi seronok apabila perkara yang ingin diketahui akhirnya dijumpai. Perasaan gembira dan leganya sama apabila kita bertemu dengan sesuatu barang yang hilang," katanya.



Ramadan juga masa buat Wahyu luangkan bersama anak tunggalnya, Mika Yadoni, 15 tahun.



"Covid-19 mengajar kami berhenti seketika dan luangkan masa bersama keluarga dan orang tercinta. Anak pula cepat membesar. Tanpa disedari, masa bersama mereka hilang begitu sahaja," tambahnya.



Rasa teruja dapat menyambung kelas seni atau 'art jamming' di studio juga dirasakan Wahyu dan Adi menyusuli pelonggaran langkah pengurusan selamat yang diumum pemerintah baru-baru ini.



Adi juga sedang mengusahakan projek seni bagi sebuah restoran bagi membolehkan pelanggan menjamu selera sambil berinteraksi dengan seni.



SENANGI BAHANG BAZAR



Bagi penyanyi dan pelakon Ikah Jamil, 32 tahun, kembalinya bazar Ramadan di Singapura selepas dua tahun dibekukan dek pandemik Covid-19 adalah satu kesyukuran.



Setiap hari, beliau yang mengendalikan gerai Kream.Sg di Bazar Kampong Glam, dapat melihat ramai yang sudah bersedia membakar semangat menyambut Lebaran.



"Bayangkan hari pertama bazar dibuka suasana dah macam malam Raya! Mungkin ramai juga yang rindukan suasana bazar!" katanya.



Ikah yang dikenali ramai melalui lakonannya dalam Anak Metropolitan 3 berkata minat untuk meniaga datang daripada menolong ibu bapanya selama lebih 10 tahun di bazar dahulu.



Antaranya, keluarganya pernah menjual burger rendang, char kway sotong dan dendeng.



Kini ibunya pula membantu menyediakan kuah rendang bagi sajian "Flaming Cheese Rendang".



Di sebalik segalanya, pandemik Covid-19 sepanjang dua tahun juga membawa hikmah buatnya apabila persembahan 'live' ditiadakan.



"Saya menyewa dapur pusat di Geylang pada masa itu untuk fokus pada perniagaan makanan. Ia memberi kami lebih ruang dan fleksibiliti mengambil tempahan," jelasnya yang juga mengusahakan restoran Jom Chickata by Ikah Jamil di City Plaza.



"Apa yang saya pelajari adalah sebagai anak seni mahupun usahawan, kita perlu cepat buat perubahan jika mahu terus kekal relevan .



"Jangan takut ambil risiko tetapi pastikan risiko yang diambil itu berbaloi. Walaupun saya tidak ada tawaran berlakon buat masa ini, orang tetap menghargai dan mengenali saya, mungkin kerana watak jahat yang saya bawa terpahat di ingatan mereka.



"Tapi kalau diberi peluang berlakon semula, saya tak nak jadi watak jahat. Nak cuba peranan komedi pula," katanya. 




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >