Subuh
5:39
Syuruk
6:58
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:07
Isyak
8:18
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Rossa buka lembaran baru seni pasca pandemik

Hubungan diva Indonesia dengan bekas suami seperti abang dan adik yang kongsi amanah jaga anak remaja
Aug 08, 2023 | 12:38 PM



Jiwa cekal seorang penghibur yang sudah melalui pasang surut kehidupan dicorak daripada pengalaman silam yang mendewasakan.

Walaupun sudah beberapa tahun bergelar ibu tunggal pada anak remaja berusia 16 tahun, Rizky Langit Ramadhan, penyanyi Indonesia, Rossa, 44 tahun, tidak pernah menganggap segala gejolak rasa yang pernah diharunginya itu merupakan sesuatu yang harus ditangisi dan dikesali.

Sebaliknya, pelantun lagu runut bunyi (OST) filem pecah panggung Ayat-Ayat Cinta itu, menganggap kehidupannya kini dijalani penuh kesyukuran dengan bekas suaminya, Surendro Prasetyo, 47 tahun, amat memahami jadual sibuknya seandainya bantuan diperlukan untuk menemani Rizky.


“Hubungan saya dengan Yoyo (panggilan buat bekas suami yang merupakan pemain dram kumpulan Padi) seperti abang dengan adik kini. Beliau menyerahkan sepenuh tanggungjawab untuk saya menjaga Rizky yang kian meningkat dewasa. Kalau saya sibuk, boleh sahaja Yoyo meluangkan masa untuk Rizky. Tak ada masalah apa-apa.

“Saya ada masa ‘bonding’ (merapatkan ukhuwah) ibu dan anak. Yoyo juga mempunyai masa ‘bonding’ dengan Rizky. Kepercayaan yang kami beri pada satu sama lain untuk berkongsi amanah menjaga anak memberi saya ketenangan dan fokus untuk membangun kerjaya saya kepada skala yang lebih mantap agar terus relevan dalam industri muzik Nusantara,” ujar Rossa atau nama sebenarnya, Sri Rossa Roslaina Handiyani.


Sedang anaknya meniti usia remaja, Rossa ingin bertindak lebih sebagai teman yang mampu mendengar segala keluh-kesah dan penceritaan kehidupan seharian Rizky, baik yang manis atau pahit.

“Saya juga gembira Rizky masih okay sahaja berliburan dengan saya, mamanya. Tiada rasa malu atau segan untuk meluangkan masa dengan saya walaupun dia boleh sahaja keluar berliburan dengan teman-teman sebaya. Saya ini juga temannya yang akan sudi mendengar. Dia memang anak yang manja dan prihatin,” jelasnya.

Rossa ditemubual Berita Harian di ambang konsertnya di Singapura yang berjudul Rossa: Another Journey, The Beginning Live In Singapore yang akan berlangsung Sabtu ini di Teater The Star mulai 8 malam. Konsert anjuran Sah Enterprise ini merupakan konsert jelajah bersandarkan lagu-lagu album terbarunya yang dirakam sewaktu pandemik Covid-19.


Mengapa ia dianggap perjalanan yang baru bermula?

Kata Rossa:

“Sebab, selepas pandemik ini dilabuhkan tirainya, kita kembali memulakan perjalanan kita pada skala sifar untuk mengorak langkah baru. Sebelum ini, banyak ketidakpastian. Kita tidak begitu tahu sama ada kerjaya seni kita akan kembali seperti biasa. Pandemik datang dengan bermacam rasa takut tetapi yang pasti, bagi saya, ada banyak perkara yang dapat saya bangunkan.

“Pada masa itu, saya bikin album baru. Perbincangan jalan terus walaupun kebanyakan masa saya dan pasukan saya berbincang menerusi Zoom. Ia memberi kita keyakinan diri bahawa semuanya baik-baik sahaja tanpa ada hambatan walaupun situasinya pilu. Ramai yang kehilangan orang tersayang. Banyak sekatan yang perlu diperhatikan demi keselamatan.

“Pada masa itu juga, saya merakam lagu Hati Yang Kau Sakiti dalam bahasa Korea untuk menembusi pasaran K-Pop. Justeru, dalam krisis kesihatan itu, segala yang positif dapat kita wujudkan. Kita mencuba pelbagai cara baru untuk terus berkarya.”


Rossa akur sebagai penyanyi mapan yang sudah lama merasakan pasang surut dunia hiburan dan menyaksikan sendiri evolusi industri muzik serantau, beliau masih perlu belajar perkara baru untuk memperkasa dirinya dan kerjayanya.

“Pastinya ada tempoh sulit dalam kerjaya seni di mana kita tidak pasti sama ada kita boleh melangkah jauh dalam kerjaya seni. Tapi saya gembira sebab daripada yang muda pun, saya boleh belajar dari semangat inovatif mereka.

“Saya berterima kasih kerana keluarga dan teman-teman banyak membantu memberi saya harapan ada banyak keunikan dalam dunia seni ini yang boleh saya perluaskan. Walaupun teras konsert akan datang ini adalah memperkenalkan ramai pada karya baru sewaktu pandemik, lagu wajib seperti lagu hit saya tetap akan saya sajikan. Sebab kerana lagu-lagu inilah, saya mampu melangkah jauh.

“Menerusi lagu saya juga, ia menjadi semacam suara hati buat peminat meluah rasa. Kadangkala apa yang disampaikan dalam lagu cinta hampa saya itu juga adalah perasaan yang pendengar sendiri rasakan atau pengalaman yang mereka juga lalui.

“Sebagai penghibur, saya gembira lagu-lagu saya ini mampu menjadi penawar dan mengubati jiwa ramai yang remuk-redam atau perit memikirkan kisah hati mereka,” kongsinya.

Tiket $78 hingga $288 bagi konsert Rossa ini boleh ditempah di laman, kaunter dan talian Sistic.




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >