Gaya Hidup
Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsApp
Purchase this articleDapatkan artikel ini
untuk diterbitkan semula

Rozianah Baharudin teruskan niaga demi anak

Setiap ibu ingin anaknya berjaya dalam bidang yang dicintai lagi menjamin masa depan. Sempena Hari Ibu, dua ibu selebriti berkongsi dengan BERITA MINGGU perjalanan hidup sebagai ibu dan isteri yang menjadi perhatian ramai. Yang seorang sudah lama menyepikan diri daripada dunia hiburan dengan fokus tertumpu pada perniagaan restoran manakala seorang lagi masih aktif berseni sana-sini dan kini bergelar ahli politik dan wakil rakyat.
May 14, 2023 | 5:30 AM
UBATI RINDU: Rozianah Baharudin yang pernah menjadi artis rakaman dan dikenali kerana lagu Jinak-Jinak Merpati hiburkan ramai di restorannya Porta Porta bagi acara makan malam Raya Italia With Rozianah. - Foto-foto BM oleh SHAFIQ APANDI
UBATI RINDU: Rozianah Baharudin yang pernah menjadi artis rakaman dan dikenali kerana lagu Jinak-Jinak Merpati hiburkan ramai di restorannya Porta Porta bagi acara makan malam Raya Italia With Rozianah. - Foto-foto BM oleh SHAFIQ APANDI -

APABILA suaminya meninggal dunia kerana barah paru-paru sekitar 13 tahun lalu, pemilik restoran makanan Italy, Rozianah Baharudin, berasakan dunianya remuk-redam.

Lantaran itu, pemenang tempat ketiga adubakat Inggeris Talentime (1980) itu tergerak ingin menutup sahaja restoran Porta Porta di kawasan Changi Garden.

Bagaimanapun, beliau teringatkan pesanan arwah suaminya, Antonino Laino, seorang usahawan marmar, yang yakin akan semangat wajanya untuk meneruskan perniagaan yang dibina bersama dengan penuh nyala rasa.

Kini, Porta Porta yang menyajikan makanan dari daerah selatan Italy sudah empat tahun berpindah ke 32 Jalan Pari Burung (berhampiran Simpang Bedok) dan menyambut ulang tahunnya yang ke-30 tahun ini.

Rozianah, 62 tahun, lebih teruja dan bersyukur dirinya dibantu anak tunggalnya, Danesh, 35 tahun, mengurus restoran itu dengan memanfaatkan strategi pemasaran digital seiring dengan tuntutan sezaman.

Sebelum ini, Danesh, bapa dua anak berusia tujuh dan lapan tahun, dalam sektor lain tetapi mengambil keputusan meringankan beban ibunya serta kendalikan perniagaan keluarga.

Selain Rozianah yang menyiapkan sendiri hidangan, mereka dibantu iparnya, seorang cef asal Italy.

Pada Ahad lalu, setelah sekian lama tidak menyanyi di khalayak ramai, atas usulan adiknya, Rozianah kembali membuai sekitar 50 pelanggan di Porta Porta pada acara makan malam amal Raya Italia With Rozianah dengan hasil jualan sajian lima 'course' disalur kepada kebajikan.

Ketika dihubungi Berita Minggu (BM), Rozianah yang sebelum ini penyanyi di Hotel Marco Polo dan sudah mengeluarkan dua album pada tahun 1980-an berkata:

"Tidak mudah kendalikan restoran sebab akan timbul isu mendapatkan pekerja yang komited dan sedia bekerja keras melayan keperluan pelanggan.

"Semasa pandemik, kami turut terjejas dengan operasi beralih lebih pada mengirim makanan. Harga bahan yang meningkat tahun demi tahun juga perlu diambil kira.

"Saya dapat rasakan desakan menutup perniagaan apabila suami saya meninggal. Kami memang sering berbincang tentang menu untuk disajikan serta keperluan lain yang perlu kami utamakan dari segi mutu makanan dan keperluan pelanggan.

"Apabila beliau tiada, saya ibarat patah sayap. Saya risau nanti orang akan kurang kepercayaan kerana wanita Melayu Singapura yang kendali bisnes masakan Italy. Suami orang Italy...lebih senang untuk orang yakin akan keaslian masakan yang Porta Porta sajikan.

"Namun, saya ingat pesan arwahnya sebelum pergi. Beliau beri saya keyakinan, saya kuat semangat dan boleh teruskan perniagaan.

"Memikirkan keadaan saya selepas pemergian suami, mencari rezeki itu perlu. Saya pun harus kuat untuk satu-satunya anak kami, Danesh, yang ketika itu berusia 21 tahun dan baru tamat pengajian."

Sepanjang mengendalikan perniagaan yang awalnya bermula sebagai khidmat katering untuk tempahan kedutaan dan badan korporat, Rozianah berasakan nyala rasa dan kesabaran amat penting.

"Apabila Danesh mengambil keputusan membantu saya sepenuh masa, saya bersyukur sebab beliau lebih bijak memikirkan tentang strategi pemasaran digital berbanding saya.

"Kita 'orang lama'. Saya lebih selesa di dapur dan menyiapkan hidangan serta mengekalkan mutunya macam awal-awal kami perkenalkan Porta Porta. Alhamdulillah, pelanggan kata, mereka suka dengan produk kami yang kekalkan keaslian rasa.

"Dahulu memang kami yang memulakan sajian Italy untuk pasaran Muslim. Sekarang, dah banyak restoran halal Italy di Singapura. Situasinya sudah berbeza.

"Masakan kami bagaimanapun tidak banyak menggunakan krim. Ia sajian sederhana, sihat dan tidak muak. Kerana orang kita sukakan keju, maka ini disisipkan dalam hidangan kami.

"Saya masih ingat suami ingin pelanggan rasa ketulenan sajian kami. Beliau selalu memujuk pelanggan yang sukakan masakan pedas agar tidak tambah cili untuk rasa perisa asli masakan Italy," ujarnya.

Ditanya apakah beliau tidak merindui bidang nyanyian kerana ramai yang masih ingatkan lagu popularnya Jinak Jinak Merpati dan Simfoni Cinta, Rozianah berkata:

"Rindu tetap rindu tetapi saya tidak mempunyai banyak masa terluang untuk buat rakaman televisyen kerana sibuk di restoran.

"Saya mengambil keputusan menggantung mikrofon dan tidak menyanyi secara profesional pada kemuncak kerjaya saya. Saya hanya menyanyi selama enam tahun. Saya sudah berumah tangga ketika itu dan ingin tumpukan perhatian pada keluarga dan menjadi ibu.

"Malah, selama lima tahun, saya di Italy dan banyak belajar siapkan hidangan Italy yang mudah. Kadangkala saya masak rendang dan kari untuk mentua saya.

"Apabila bisnes marmar suami lebih tertumpu di Asia, kami kembali ke Singapura dan saya juga ikutnya merantau ke Korea dan Jepun.

"Walau apa pun, saya tetap ingat jasa arwah Iskandar Ismail yang mengesan bakat saya dan menawarkan kerja di Hotel Marco Polo, juga tempat saya berkenalan dengan suami.

"Saya juga masih ingat pengalaman bekerja dengan S. Atan dan Yusnor Ef. Mereka antara tokoh seni kita yang banyak berjasa pada persada seni dan dunia hiburan Melayu," katanya.

"... Saya ingat pesan arwahnya sebelum pergi. Beliau beri saya keyakinan, saya kuat semangat dan boleh teruskan perniagaan. Memikirkan keadaan saya selepas pemergian suami, mencari rezeki itu perlu. Saya pun harus kuat untuk satu-satunya anak kami, Danesh, yang ketika itu berusia 21 tahun dan baru tamat pengajian." - Rozianah Baharudin.

Share on FacebookShare on TelegramShare on WhatsAppPurchase this article
Man IconQuiz LogoUji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
  • undefined-menu-icon
  • undefined-menu-icon

Khidmat pelangganan

6388-3838

Meja Berita

Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg