Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:21
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Demam Gegar Vaganza kembali Ahad ini

Ruang 'rocker' S'pura Yantzen rai nostalgia, buru ilmu baru

Demam Gegar Vaganza bakal kembali lagi di saluran Astro Ria mulai 9 malam Ahad ini apabila peraduan realiti yang masuk musim ketujuh itu bersiaran. Siapakah bintang mapan yang masih ‘bertaring’ atau yang sudah lama menyepi yang akan masuk ke gelanggang pertandingan? BERITA HARIAN melaporkan.
Oct 06, 2020 | 05:30 AM



PADA usia 61 tahun, Yantzen Juniwan, penyanyi rok Singapura yang sudah tiga dekad berpangkalan di Kuala Lumpur, bersyukur rezekinya dalam bidang seni sentiasa bertali arus.



Tawaran menyanyi di sana sini tidak pernah putus. Masanya sentiasa terisi sehingga beliau tidak terfikir ingin menyertai sebarang peraduan realiti termasuk yang berstatus gah buat bintang mapan seperti Gegar Vaganza (GV).



Beliau yang mula dikenali pada 1980-an sebagai vokalis band legenda Singapura, Rusty Blade, yang pernah diberi jolokan Iron Maiden Singapura, bahkan ditawarkan menyertai GV beberapa kali.



Namun, komitmen pada persembahan luar serta tanggapan konsep program itu hanya buat mereka yang sudah lama menyepi dan ingin kembali ke dalam industri membuatnya tidak segera merebut tawaran yang diberi.



Pandemik Covid-19 yang membebaskan Yantzen daripada sebarang komitmen persembahan dek pelbagai acara ditunda atau dibatalkan demi keselamatan umum, bagaimanapun, mengubah segalanya.



Ahad ini, Yantzen, yang pernah juga bergelar vokalis kumpulan May, adalah antara 14 bintang GV7 (musim ketujuh) dan disiarkan mulai 9 malam di saluran Astro Ria.



Enam vokalis lelaki dan enam vokalis wanita serta dua kumpulan akan menggegarkan medan pertandingan.



Dari segi usia, Yantzen merupakan peserta paling 'senior' dan satu-satunya warga Singapura.



Di sesi sidang akhbar GV7 baru-baru ini, beliau mendapat pujian kerana masih mengekalkan suara emasnya.



Sebelum ini, wakil Singapura termasuk Ferhad, Hetty Sarlene, Jatt Ali dan juara GV6, Hady Mirza.



Pengurusa Saluran Astro Ria, Cik Emarina Mohd Kamal, menjelaskan:



"Edisi kali ini cuma menampilkan seorang sahaja wakil luar iaitu Yantzen, penyanyi kelahiran Singapura yang menetap di Malaysia.



"Seperti yang semua sedia maklum, 2020 merupakan tahun yang sangat mencabar buat seluruh dunia ekoran penularan pandemik Covid-19.



"Krisis berkenaan telah membataskan banyak perancangan Astro termasuk penerbitan GV sendiri yang sebetulnya sudah mempunyai senarai artis dari negara jiran yang ingin kami pelawa untuk bersama-sama memeriahkan musim ini."



Cogan kata yang digunakan GV7 kali ini pula adalah Mara Suara Membara.



Dengan mengekalkan format 100 peratus markah diberi juri, GV7 berlangsung di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) selama 10 minggu.



Ketika dihubungi melalui panggilan jauh baru-baru ini, Yantzen menceritakan:



"Sebenarnya, sudah beberapa kali saya dilamar menyertai GV. Namun, pada masa itu, saya menolak kerana masih lagi banyak persembahan di sana sini.



"Saya pun sangka program ini hanya buat mereka yang sudah lama menyepi dan ingin kembali dalam bidang seni atau kecapi kepopularan kembali.



"Sedangkan saya masih terus menyanyi ke usia sebegini dan masih aktif, jadi saya terfikir, tak perlulah nak masuk bertanding.



"Bagaimanapun, selepas meninjau musim-musim sudah, saya lihat ada juga penyanyi yang masih aktif menyertai peraduan ini untuk cabar diri mereka atau mencari jenama baru.



"Pandemik Covid-19 pula melanda dan banyak acara dibatalkan. Saya ada lebih banyak masa untuk tumpukan pada pertandingan intensif sebegini. Jadi mengapa tidak saya masuk GV7 untuk raih pengalaman baru."



Yantzen yang dibesarkan di kejiranan Queenstown dan terkenal dengan lagu Insan (selepas bergelar artis solo) bakal menyanyikan lagu tersebut dan lagu popular Rusty Blade, Tiada Lagi Aku, bagi konsert minggu pertama.



Katanya:



"Pihak penerbitan minta saya pilih satu lagu sahaja tetapi saya mohon diberi peluang menyanyikan kedua-duanya sebab ia amat bermakna bagi saya dalam dua tempoh kerjaya saya, sebagai vokalis band dan sebagai artis solo.



"Lagu Insan dengan liriknya yang menyentuh perasaan tentang sikap kehambaan dan saling membantu yang perlu ada dalam diri manusia tanpa mengira kedudukan membawa perubahan pada kehidupan saya.



"Tiada Lagi Aku juga begitu sinonim dengan Rusty Blade dengan inti liriknya pun menyentuh tentang kemanusiaan serta keikhlasan dan jangan lupa diri dan teman apabila berjaya."



Mengenai cabaran yang beliau jadualkan bakal dihadapi adalah dari segi menghayati lagu penyanyi lain dan mengingati liriknya.



"Maklumlah, seumur hidup, tak pernah nyanyi lagu orang lain...selalu diminta nyanyi lagu sendiri dan genre rok. Namun, saya rasa menerusi GV7, ia kesempatan buat saya belajar. Zaman sekarang, macam-macam. Media sosialnya lain...Mujur ada pasukan yang mengendalikan Instagram 'Yantzen Is Back'.



"Jadual saya jadi semakin padat dan sibuk dengan GV7 ini. Alhamdulillah," katanya.



Mengimbas jerih payahnya membina kehidupan sebagai anak seni, Yantzen, bapa seorang anak berusia 21 tahun, Muhammad Alif Ronan, berkata:



"Saya akan selalu ingat detik-detik sukar. Saya pernah buka kedai kaset di Joo Chiat Complex.



"Awal saya berhijrah ke Malaysia bagi mencari rezeki, selama enam bulan, mak saya risau dan datang ke Kuala Lumpur untuk masakkan saya...takut anaknya terabai walaupun saya beritahu, saya masaklah hidangan mudah.



"Pada akhirnya, jerih payah itulah yang menjadikan saya lebih cekal. Saya pun hargai jasa ibu bapa saya sebab mereka beri nama Yantzen. Ia satu jenama sampai hari ini, ini nama sebenar bukan nama pentas," katanya.



Mengenai harapannya dalam GV7, beliau meminta peminatnya di Singapura mendoakan beliau sihat dan mampu menjalankan amanah dengan baik.



"Jangan letakkan jangkaan tinggi seperti Yantzen pasti jadi juara. Saya cuma minta doa anda saya sihat sejahtera dan dapat memberi yang terbaik," katanya.




  • Ikuti interviu dengan ratu irama tradisional Noraniza Idris esok

     




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >