Subuh
5:40
Syuruk
6:59
Zuhur
1:04
Asar
4:22
Maghrib
7:08
Isyak
8:19
Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu

Pilih perkataan yang betul

1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
< Kuiz sebelumnya
Kuiz seterusnya >
Gaya Hidup
31
0

Usaha memasyarakatkan seni

'Rumah Sewa' pindah ke wadah digital dalam pandemik

Aug 26, 2020 | 05:30 AM



MENYELAMI watak Aisyah, janda yang dilanda kemurungan dan tekanan dalam pementasan bertajuk Rumah Sewa membuatkan mahasiswa Maktab Seni Lasalle, Cik Miza Syazwina Mustafa, bersemangat membantu golongan yang dihimpit masalah kesihatan mental.



Tangisan air mata marah dan benci benar-benar mengalir di pipi pelajar Politeknik Republic (RP), Cik Nureen Istiqamah Ayunie Abdul Karim, apabila beliau terkesan dengan tingkah laku watak Arjuna yang tidak berihsan.



Pasang surut emosi ini mampu dirasakan Cik Miza, 23 tahun, dan Cik Nureen, 20 tahun, yang merupakan aktivis belia kumpulan Aras Theater, sepanjang sesi latihan bagi pementasan semula Rumah Sewa pada 8 malam, 30 Ogos ini.



Pada 2017, naskhah tulisan dan arahan penggiat seni Encik Hidayat Nordin ini pernah dipentaskan di Blackbox, Sekolah Rendah Tampines.



Kali ini, dengan sokongan Majlis Seni Kebangsaan (NAC), ia disajikan pula menerusi wadah digital - laman YouTube Aras Productions dan saluran IGTV pada Instagram @arastheater.



Rumah Sewa adalah kisah tentang mangsa keadaan, Aisyah, yang tinggal seorang diri di rumahnya tetapi ditemani bisikan tiga 'teman khayalan' yang mengusik mindanya - Arjuna, Ummi dan Aqilah. Mereka wujud daripada hati nuraninya yang kacau-bilau.



Di alam realiti, Aisyah perlu berdepan dengan Tuan Tanah dan Liz yang mengingatkannya tentang kehidupan silamnya.



Ketika dihubungi, Encik Hidayat menjelaskan beberapa perubahan dibuat pada skrip asal tiga tahun lalu agar naskhah Rumah Sewa kekal relevan buat masa ini.



Karya yang disifatkan sebagai tidak tersekat pada era dan masa ini dipilih bagi dipentaskan semula di wadah digital dengan harapan pementasan yang disambut baik tiga tahun lalu itu dapat ditebarkan pesanannya kepada lebih ramai orang.



"Selain daripada lapisan pertama naskhah, ia mengandungi pelbagai lapisan lain untuk dikupas dan komentari sosial.



"Dalam situasi serba tidak menentu dek pandemik koronavirus kini, saya rasa tepat masanya bagi saya tebarkan pesanan tentang betapa segalanya sementara sahaja.



"Justeru, kita tidak seharusnya biarkan sesuatu yang sementara memerangkap kita, sebaliknya kesedaran harus ada dengan meskipun kita tiada kuasa menentang apa yang berlaku, kita mampu melakukan yang terbaik dengan apa yang tersedia atau ditakdirkan buat kita," jelas Encik Hidayat.



Cik Miza, yang merupakan siswa tahun pertama dalam jurusan lakonan, menceburi dunia seni secara aktif tiga tahun lalu.



Mata pelajaran Sastera Inggeris dan Sejarah sedikit sebanyak membuka ruang buatnya meminati bidang psikologi dan kemanusiaan.



Di Lasalle, beliau terdedah pada pelbagai kesenian Timur dan Barat termasuk bangsawan.



"Saya berharap dapat menjadikan teater sebagai ruang mendidik dan meningkatkan kesedaran awam tentang isu sosial sekeliling.



"Watak Aisyah yang saya lakonkan gagap. Saya gementar membawa watak sebegini bahkan menjalankan penyelidikan tentang kondisi orang gagap. Harapan saya, saya dapat hidupkan watak ini secara realistik tanpa menyinggung perasaan sesiapa.



"Saya banyak gunakan imaginasi saya bagi menghidupkan watak wanita yang berpengalaman dalam hidupnya," ujar Cik Miza lagi.



Cik Nureen, yang mengambil Diploma Penerbitan dan Rekaan Media, menyertai Kelab Drama di sekolah menengah dan melihat 'kuasa' teater menyentuh jiwa penonton dengan pelbagai isu kehidupan.



"Saya adalah Aqilah, 'rakan fantasi' Aisyah. Ada persamaan antara saya dengannya. Namun, saya mengambil sedikit masa untuk menerimanya sebagai sekadar satu lakonan dan bukan diri saya yang sebenar," ujarnya.



Aqilah ceria luarannya dan berusaha menjadi seorang yang positif walaupun kehidupannya penuh kesedihan dan kemarahan terpendam. Dia menyayangi Aisyah tetapi suaranya tidak diendahkan berbanding Arjuna dan Ummi.



Dengan pandemik Covid-19 ini, Cik Miza dan Cik Nureen belajar menyesuaikan diri berlakon dalam ruang sempit dan mencabar diri menyentuh emosi dan respons penonton yang tidak dapat dirasakan berbanding pementasan langsung.



"Walaupun keadaan tidak selesa, kami dapat rasakan fobia berada dalam ruang sempit dan sesak. Namun, ia tidak menghalang kami agar terus berkarya dan menimba pengalaman baru," tambah Cik Miza.




SEKILAS ARAS THEATER



- Ditubuhkan pada 2016 sebagai kumpulan kegiatan di Kelab Masyarakat Tampines West bagi melengkapi kehendak persembahan.



- Lama-kelamaan, matlamat kumpulan ini berubah bagi memberi tumpuan kepada kesenian teater dan bahasa.



- Ia juga dijadikan wadah bagi belia melakukan kegiatan positif dengan matlamat khusus dan bukan sekadar bagi hiburan semata.



- 'Rumah Sewa' yang mendapat sambutan positif apabila dipentaskan pada 2017 akan dipentaskan sekali lagi pada 30 Ogos ini mulai 8 malam di laman YouTube Aras Productions dan IGTV @arastheater




Video Baru

Uji pengetahuan anda dalam bahasa Melayu
Pilih perkataan yang betul 1/3
=
Pilih perkataan yang betul
Betul!
Salah!
< Kuiz sebelumnya
Cuba lagi! Bagus! Hebat! Markah anda: Out Of 3
Kuiz seterusnya >