Setiap kali berkunjung ke Jakarta untuk menjamu selera di kafe bistro atau restoran, usahawan hiburan dan penganjur acara Raul Eusoff, terhibur dengan sajian lagu ‘galau’ (jiwa kacau dan patah hati) Indonesia yang berkumandang secara ‘live’.
Namun, sukar untuknya melihat konsep ‘galau’ itu diterapkan dalam gig pada skala kecil di pusat hiburan malam meskipun konsert ‘galau’ mula menarik perhatian ramai dengan berbondong-bondong pencinta muzik tampil untuk menyaksikannya.
Lantaran itu, Raul mendapatkan bantuan rakan seninya seperti gitaris Nur Halim Ismail; vokalis Aryan Band, Mohd Farid Mohd Yusof serta juara SG Mania 3, Rahila Rashun, yang telah menyerantau ke Malaysia dan Indonesia untuk menyertainya dalam misi mempromosikan lagu ‘galau’ Indonesia.
Band yang mengiring pula adalah Agung Suardika yang dianggotai gitaris Nur Halim; pemain bes, Muhammad Sultan Ali Ahamed; gitaris utama, Redwan Hamzah; pemain papan nada, Nathanael Nilesh dan pemain dram, Syazni Sukarman (Jenggo).
Setiap bulan dan pada Ahad minggu kedua, mereka akan mengadakan gig yang diberi nama Malam Galau Tapi Asik di restoran Highlander@Millenia Walk.
Pada 15 Disember, antara 9 malam dengan 12.30 malam, Malam Galau Tapi Asik yang keempat diadakan dengan orang ramai berpeluang mendengar lagu-lagu hit daripada ST12, Wali Band, Project Pop, Peterpan, Judika, Rossa mahupun Bunga Citra Lestari akan disampaikan.
Gig ini mula memenuhi cita rasa pendengar muzik Melayu dan Indonesia sejak September.
Ketika dihubungi Berita Harian (BH) menerusi Zoom, Raul berkata:
“Saya dapat inspirasi dari kunjungan saya ke Jakarta, di mana saya lihat ramai yang terasa santai makan dan minum sambil menyaksikan penyanyi dan band menghiburkan mereka dengan lagu putus cinta dan patah hati.
“Saya tahu konsert ‘galau’ menarik perhatian ramai tetapi saya fikir perlu ada persembahan pada skala lebih kecil dengan harga berpatutan untuk golongan yang mencari hiburan menenangkan jiwa pada waktu malam.”
Menurutnya, tidak mudah mendapatkan ruang hiburan yang bersetuju memberi pengkhususan pada lagu dalam bahasa Indonesia untuk tempoh melebihi tiga jam.
Ini memandangkan kebiasaannya, gig Inggeris lebih dapat menarik pasaran lebih luas berbanding yang tertumpu pada bahasa Melayu atau Indonesia.
“Dari Februari, saya dan Halim sudah rancang membawakan lagu yang disukai ramai seperti Ada Apa Denganmu, Bintang Syurga, Aku Bukan Superstar dan Kehilangan dalam persembahan berkonsep ‘galau’ yang akan menyentuh perasaan.
“Dengan banyak pasang surut kehidupan, saya akur ramai orang yang dihujani masalah dan pergolakan emosi boleh kaitkan diri mereka dengan lagu-lagu ‘galau’ Indonesia,” ujar Raul.
Farid pula sudah lama tidak menyanyi malahan sejak sibuk dengan perniagaan makanan, mengambil keputusan meninggalkan nyala rasanya dalam dunia seni suara.
“Tapi saya tak mampu menolak apabila diminta menyanyikan lagu ‘galau’. Hanya sebulan sekali, bolehlah saya lepaskan rindu pada bidang nyanyian.
“Saya suka dengan kehalusan bahasa Indonesia sendiri dengan susunan katanya yang memberi gambaran tepat tentang emosi dalam jalan cerita sesebuah lagu.
“Saya selalu amati bahawa orang kita menemui ketenangan dalam kesedihan,” kongsinya.
Rahila yang pernah mewakili Singapura dalam peraduan Dangdut Academy Asia Musim Ketiga (DAA3) pula menambah:
“Bagi saya, lebih puas menyanyi dalam bahasa Melayu atau bahasa Indonesia. Saya akan beri lebih 100 peratus dan luahkan emosi yang terpendam, khususnya apabila memikirkan ujian kehidupan.
“Tambahan pula, saya membesar dengan lagu ‘galau’.
“Pergi karaoke atau majlis kahwin, lagu patah hati dan jiwa retaklah yang selalu didendangkan. Ironi juga sebab majlis kahwin hari bahagia tapi kita pula terbawa dengan perasaan sedih dalam lagu.”
Tiket $25 bagi gig itu boleh diperolehi di pintu masuk Highlander@Millenia Walk.


Anda ada maklumat mengenai sesuatu berita menarik?
E-mel: bhnews@sph.com.sg